• Kumpul figura aksi idaman Fairuz di samping sebahagian koleksi figura aksi siri superhero Super Sentai.
  • Kumpul figura aksi idaman Antara superhero Kamen Rider yang menjadi kegilaan Fairuz.
1 /

Menonton siri superhero Kamen Rider dan Super Sentai bagaikan keutamaan buat Mohd Fairuz Taib atau mesra dipanggil Fairuz. Beliau sebolehnya tidak mahu tertinggal menonton siri kegemaran ramai itu walaupun dihambat kekangan kerja yang bertimbun di pejabat.

Kebiasaannya, kanak-kanak yang sering dikaitkan dengan kegemaran mereka menyaksikan cerita superhero seperti Power Rangers, Ultraman, Flashman, Maskman dan Gaban. Namun itu bukan penyebab untuk Fairuz, 32 tahun melahirkan minat sama itu.

Menganggap dirinya sebagai penonton tegar siri superhero berkenaan, Fairuz memberitahu penulis bahawa segala macam jenis permainan dalam siri tersebut ada dalam simpanannya. Malah sebahagian besar figura aksi (patung aksi) Kamen Rider dan Super Sentai yang menjadi rebutan peminat cilik sekarang memenuhi koleksi peribadi Fairuz iaitu pengumpul setia figura aksi kalangan orang dewasa dan berkerjaya.

Baginya, mengumpul figura aksi ini adalah sesuatu yang sangat menyeronokkan dan menghiburkan hati. Apabila melihat kesemua figura disusun dan dipamerkan di dalam almari khas, ia kelihatan sangat menarik.

“Sesekali saya terasa bagaikan sedang beraksi dengan musuh tatkala melihat figura Kamen Rider dan Super Sentai. Begitulah kuatnya penghayatan dan pengaruh cerita super hero tersebut dalam diri ini," katanya.

Anak bongsu daripada tujuh beradik ini menonton siri Kamen Rider dan Super Sentai bukanlah melalui televisyen sebaliknya Fairuz melihatnya secara terus di Internet. Dia juga menonton di page Henshin Fever di Facebook yang menyediakan koleksi video Kamen Rider manakala di stream dan Admin M pula untuk video Super Sentai.

Fairuz sudi berkongsi maklumat dengan pembaca Sinar Harian yang mungkin meminati siri superhero tersebut namun tidak tahu latar belakang siri terbabit.

Beliau yang berkelulusan Teknologi Maklumat dari Universiti Teknologi Malaysia, Jalan Semarak ini, berkata,  Kamen Rider adalah drama bersiri sejak 1971 (ditayangkan di Jepun). Sehingga kini telah ada 23 drama bersiri Kamen Rider dan setiap satu siri mempunyai 50 episod.

Bagi Super Sentai pula, ia juga drama bersiri dan bermula sejak 1975 (juga di tayangkan di Jepun). Sehingga kini sudah ada 35 drama bersiri  Super Sentai.


Suit figura

“Saya mula teruja mengumpul patung aksi ini ketika berusia 21 tahun. Ia bermula setelah menonton rancangan itu di Internet dan berpeluang melihat koleksi berkenaan semasa mengunjungi pameran figura aksi masa lalu.

“Ketika kali pertama ingin mengumpulnya, saya berhadapan kesukaran mendapatkan patung aksi Kamen Rider dan Super Sentai kerana pengumpul tegarnya terlalu ramai.

“Bagaimanapun saya berjaya juga hasil pencarian ke serata kedai yang menawarkan figura tersebut,“ katanya yang kini membelinya secara atas talian dari Jepun kerana harganya yang jauh lebih murah malah beza harganya juga kadang-kadang cukup banyak.

Cerita Fairuz lagi, segala koleksi superhero berkenaan disimpan di dalam almari kaca dan juga di dalam kotak asal.

“Sepanjang mengumpulnya, tiada figura aksi yang rosak. Walaupun memiliki seorang anak, Farish Wafri berusia tiga tahun lebih namun dia tak pernah kacau koleksi saya. Sekadar bermain-main dengan mengerak-gerakkan tubuh badan super hero itu, saya tidak kisah.

“Farish memang gemar bermain figura. Paling dipuji sikapnya adalah dia akan letak semula superhero ini di tempat asalnya selepas puas bermain,“ ujar Fairuz yang turut mengumpul patung aksi Inggeris,  Iron Man dan Thundercats namun tidaklah sebanyak patung aksi dari Jepun.


Koleksi dalam simpanan

Lebih 100 figura aksi berjaya dikumpulkan Fairuz dari dulu hingga sekarang. Kesemuanya bersaiz enam inci. Segala macam warna, bentuk dan model ada pada patung aksi Fairuz. Semuanya cantik, unik dan comel sekali.Untuk koleksi Kamen Rider, Fairuz mula mengumpul daripada jenis S H Figuarts (SHF) bagi Kamen Rider Utama dan Kamen Rider Kedua sahaja.

“Koleksi Kamen Rider yang lain antaranya Kamen Rider Ichigo, Kamen Rider V3, Kamen Rider Black (pernah ditayangkan di Malaysia sekitar tahun 1989-1990 dan diberi nama Kesatria Baja Hitam), Kamen Rider OOO SaGorZo, Kamen Rider OOO ShaUTa, Kamen Rider OOO PuToTyRa dan banyak lagi.

“Untuk superhero ini juga, saya turut kumpul daripada jenis World Collectible Figure iaitu figure Kamen Rider yang dikecilkan serta daripada jenis Rider Mascolle Collection iaitu helmet Kamen Rider," beritahunya.

Bagi robot Super Sentai , Fairuz mengumpul dari siri DX, antaranya Go-Buster, Gokaiger, Shinkenger, Boukenger, Hurricanger, Ninja Megazord dan beberapa jenis robot lagi yang berharga sekitar RM160 hingga RM200 lebih.

Ujar Fairuz, segala koleksi ini akan terus disimpan namun ada sesetengahnya telah dijual memandangkan tiada ruang untuk disimpan.

Ditanya mengenai impian, kata Fairuz, beliau teringin bertemu dengan lebih ramai pengumpul figura aksi dari seluruh dunia serta dapat bertukar-tukar pendapat mahupun figura itu. Moga segalanya tercapai!