PROGRAM Ziarah Putra anjuran Sahabat Masjid Universiti Putra Malaysia (UPM) usaha murni dilaksanakan baru-baru ini.

Projek ini melibatkan aktiviti  mengumpulkan barang-barang mainan terpakai, dibersihkan dan kemudiannya diberikan kepada golongan kanak-kanak di Wad Pediatrik, Hospital Serdang.

Program melibatkan Wad 5A, 5B dan wad kanak-kanak tingkat 6.

Memberi pengalaman berharga kepada sukarelawan terlibat, aktiviti ini diketuai Penyelaras Program yang juga Pegawai Psikologi UPM, Rafidah Sadarudin dan disertai 30 sukarelawan yang terdiri daripada staf UPM serta dibuka juga kepada sukarelawan luar.

Kelab Sukan & Rekreasi Petronas turut menghantar 10 sukarelawan mereka serta maskot Ultraman yang membantu menggembirakan hari kanak-kanak yang berada di wad tersebut.

Tim sukarelawan menghidupkan semangat membantu dalam kalangan ahli sahabat terlibat.

Rafidah berkata, terdapat pelbagai aktiviti kerap dianjurkan oleh Sahabat Masjid untuk meluaskan jaringan perhubungan dengan masyarakat sekitar kampus khasnya dan kalangan komuniti amnya.

"Melalui aktiviti telah dilaksanakan sedikit sebanyak dapat membentuk nilai-nilai sahsiah murni dalam diri masing-masing selain mengeratkan ukhuwah sesama sukarelawan.

"Selain itu, ia bagi menggerakkan tenaga sukarelawan dalam membantu pembangunan sosial melalui berorganisasi dan penganjuran program amal.

Menyusun barang sumbangan sebelum bergerak ke lokasi untuk penghantaran.

"Program ini juga meluaskan jaringan  sukarelawan dengan masyarakat dan golongan memerlukan," katanya.

Menurutnya di samping itu, program terbabit juga telah berjaya diterjemah sebagai langkah sukarelawan menimba pengalaman berharga daripada segala segi, serta diharap mampu menyumbang bakti dan membuat perubahan kepada masyarakat umum.

Sambutan menggalakkan

Rafidah turut bersyukur program mendapat sambutan menggalakkan daripada penyumbang.

"Barang mainan terpakai masih elok yang kami dapat, melalui proses pembersihan iaitu kami basuh dan melalui langkah pemilihan. Mainan tajam dan berbulu tidak digalakkan diberi.

"Bagi barang permainan saiz besar dan boleh dimain secara berkumpulan, tim kami letakkan di playroom mereka. Syukur kerana sepanjang program ini, terdapat sumbangan daripada Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat Dan Endowmen (Wazan) UPM dan orang perseorangan bagi menjayakan program. Selain memberi mainan kepada pesakit, kami juga memberi sumbangan makanan kepada penjaga pesakit dan jururawat bertugas," katanya.

Menurutnya, paling bermakna apabila  kanak-kanak nampak gembira menerima mainan dan bertambah teruja apabila melihat maskot Ultraman hadir bersama. Pastinya peluang sesi bergambar bersama adiwira ini tidak dilepaskan.

 Persembahan ahli silap mata menghangatkan suasana program. Anak-anak turut diberi belon sebagai peneman mereka sepanjang hari itu.

Program ini mendapat maklum balas baik dan bermanfaat daripada sukarelawan dan ibu bapa pesakit di wad.

Rafidah berkata, semua terlibat memberikan kerjasama padu.

"Terima kasih daripada sukarelawan kepada pengurusan Hospital Serdang, penyumbang, penerima dan semua terlibat dalam menjayakan program ini," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • DI negara ini, aktiviti ekstrem 'parkour' iaitu latihan pergerakan yang dikembangkan dari latihan ala klasik lompatan halangan tentera mungkin jarang didengari atau masih asing kalangan masyarakat kita.
  • KES kanser kalangan kanak-kanak semakin meningkat setiap tahun. Dianggarkan juga, seorang daripada 600 kanak-kanak di Malaysia akan menghidap kanser pada usia di bawah 15 tahun.
  • ADA sisi tidak terlihat di sebalik pembawaan diri dan perwatakan Ikon pilihan Sukarela minggu ini. Secara luaran, semangat dan usahanya yang suka membantu masyarakat dilihat seakan adrenalina mengalir di tubuhnya sentiasa tinggi.
  • MEMILIKI pancaindera kelainan upaya tidak bermakna kurang kemahiran. Ini dibuktikan wanita kebanggaan Indonesia yang berjaya menjalankan syarikat sosial dinamakan Thisable Enterprise, fokus untuk membantu golongan kurang pendengaran dan orang kurang upaya (OKU).
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.