• Gaharu Ismail Ismail turut berpengalaman dalam menjalankan kerja penyuntikan inokulan dan inducer terhadap pokok gaharu.
1 /

KETIKA ini, damar gaharu mudah diperoleh tanpa perlu menunggu masa lama kerana pengusaha boleh menggunakan vaksin dan mengamalkan teknik penyuntikan untuk membentuk penghasilan teras gaharu dengan pantas.

Kejayaan kajian oleh Dr Richard Blanchart di Thailand pada 2007 dalam merangsang pembentukan damar membuatkan ramai pihak berusaha untuk menghasilkan formula tersendiri bagi tujuan sama.

Terdapat dua kaedah yang kini digunakan untuk mengeluarkan damar iaitu inokulan dan inducer. Kedua-dua kaedah ini membolehkan pengusaha mendapatkan hasil dalam tempoh antara dua hingga enam tahun sahaja.

Bagaimanapun, ia menimbulkan masalah lain kerana tidak semua pokok gaharu sesuai dengan kaedah itu kerana setiap spesies gaharu mempunyai keperluan yang berlainan.

Situasi ini terbukti di mana banyak pokok berusia puluhan tahun mati ekoran sikap pengeluar inokulan yang tidak mengkaji kelebihan dan kelemahannya terhadap setiap spesies pokok gaharu.

Penasihat Persatuan Penanam dan Pengusaha Gaharu Selangor, Ismail Kassan berkata, pihak berwajib perlu memberi galakan kepada pengkaji untuk menghasilkan inokulan dan inducer yang benar-benar berkesan untuk mengeluarkan damar dan menghasilkan teras pada pokok.

Menurutnya, sebuah dana khas penyelidikan inokulasi harus disediakan untuk memberikan kemudahan bagi mereka menjalankan kajian secara persendirian.

“Perlu diingat bahawa inokulan dan induser yang berjaya di Thailand adalah hasil daripada kajian individu tanpa pihak berkuasa mengeluarkan biaya besar untuk menjalankan kajian,” katanya pada InfoAgro.

Beliau berkata, sehingga ini masih belum ada satu pun inokulan atau induser yang berjaya menghasilkan gaharu di Malaysia walaupun terdapat banyak dakwaan kejayaan daripada pihak yang menjual inokulan.

Hasil inokulan berkesan

Pemain gaharu ini sendiri pun masih terus menjalankan kajian dengan menguji 40 formula berbeza untuk mengenal pasti satu formula terbaik dan mampu menghasilkan minyak serta damar paling maksimum daripada satu pokok.

“Untuk saya, inokulan atau inducer berjaya adalah inokulan yang berkesan dalam menghasilkan damar dan diterima oleh pembeli sebagai hasil sesuai di pasaran.

“Ini adalah kerana masih belum terdapat pihak yang memohon kuota Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Flora dan Fauna Terancam (Cites) untuk menjual damar gaharu inokulasi bagi pasaran eksport,” katanya.

Selain itu, satu kajian segera dan komprehensif perlu dijalankan ke atas semua bentuk inokulan terutama yang berasaskan fungus kerana tidak semua inokulan di Thailand sesuai seperti di Malaysia berikutan perbezaan cuaca.

Penyeludupan hasil gaharu semula jadi daripada hutan negara juga merupakan satu lagi perkara perlu diatasi. Perkara ini bukan tuduhan semata-mata kerana terdapat pemburu gaharu bangsa asing yang dengan mudah mengambil hasil gaharu tanpa kawalan sepatutnya.

Jika benar tiada pemburu haram dalam kalangan orang awam, maka kita perlu juga memantau orang asli yang tinggal berdekatan hutan kerana menebang gaharu merupakan salah satu daripada punca pendapatan mereka.

“Kita bimbang terdapat pihak tertentu yang menggunakan golongan ini untuk mendapatkan hasil gaharu dengan mudah. Oleh sebab itu, kita memerlukan mewujudkan skema penanaman dan sistem kawalan pemasaran yang khusus untuk masyarakat Orang Asli,” katanya.

Ismail turut mencadangkan agar satu skema pertanian kontrak diwujudkan dengan sokongan kerajaan bagi menggalakkan petani kecil yang memiliki tanah kurang daripada 1.21 hektar untuk menjalankan tanaman gaharu sebagai instrumen menjana pendapatan dalam jangka panjang.

Iktiraf sebagai komoditi

Selain itu, pihak berkuasa harus memberi tumpuan kepada produk hiliran dan tidak bergantung pada aspek huluan semata-mata. Adalah amat wajar jika mewujudkan satu jawatankuasa khas untuk melakukan koordinasi seluruh kajian berkaitan gaharu.

Menurutnya, barangkali sudah sampai waktu pihak kerajaan menubuhkan sebuah badan yang dinamakan sebagai Lembaga Gaharu Malaysia untuk memantau, merancang dan mengaktifkan aktiviti huluan dan hiliran industri ini.

“Dalam masa sama, pihak berkaitan boleh bekerjasama dengan ketua kampung untuk memberi maklumat tentang tanaman gaharu kepada petani kecil bagi memastikan segala urusan seperti pemantauan, pendaftaran, penanaman dan lain-lain berjalan lancar.

“Kita perlu mengubah garis panduan mutu dan harga damar dan minyak gaharu ladang kerana garis panduan sedia ada adalah untuk hasil semula jadi bukan gaharu ladang,” katanya.

Ismail berkata, industri gaharu memerlukan perancangan, kos dan pelaburan besar bagi mengangkat tanaman gaharu ke arah sebuah industri yang mampu menjana pendapatan tetap dan lumayan buat semua pihak yang terlibat.

Menurutnya, langkah itu adalah wajar kerana secara perbandingan jumlahnya tentu hampir menyamai jumlah insentif kerajaan sewaktu membangunkan industri getah dan kelapa sawit.

“Gaharu memang berpotensi untuk dibangunkan sebagai sektor pertanian moden dan instrumen menjana pendapatan penduduk negara. Oleh itu, kita perlu meningkatkan segala aspek dalam tanaman ini untuk menjadikan industri gaharu negara terbaik di dunia,” katanya.