KUCHING - Jika kek lapis sangat sinonim dengan Bumi Kenyalang ini, bagaimana pula dengan kuih bulan?

Kuih bulan yang merupakan kuih tradisional masyarakat Cina itu kini semakin mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat Islam di sini.

Bagaimanapun, kuih bermusim itu hanya ‘timbul’ ketika Perayaan Pertengahan Musim Luruh iaitu pada akhir Ogos hingga akhir September setiap tahun.

Memang sukar untuk mendapat kuih bulan yang halal dan boleh dimakan oleh masyarakat Islam, kecuali di sesetengah tempat terutamanya di hotel-hotel di bandar-bandar besar di negara ini.

Kini, dengan adanya kuih bulan yang boleh ditempah secara dalam talian, pastinya memberi peluang bagi masyarakat Islam untuk menikmati kuih tradisional masyarakat Cina itu.

Tidak menang tangan terima tempahan

Seorang suri rumah, Rimba Melati Othman yang tinggal di Bandar Baru Samariang dekat sini, kini mengambil tempahan kuih bulan secara dalam talian.

Bermula sebagai hobi, kini kuih bulan yang dihasilkan beliau semakin mendapat sambutan ramai terutamanya melalui tempahan di media sosial.

Segalanya bertitik-tolak daripada minatnya menyediakan pelbagai jenis kuih-muih serta berkongsi gambar-gambar yang dirakamnya melalui akaun Facebook.

Kini, wanita berusia 39 tahun itu tidak menang tangan cuba memenuhi tempahan kuih bulan terutamanya ketika berlangsungnya musim perayaan kuih bulan yang akan berakhir pada hujung bulan ini.

Sejak awal Ogos, Rimba Melati sibuk menyiapkan kuih bulan yang ditempah oleh peminat kuih dari seluruh Malaysia.

“Saya membuat hampir 1,000 kuih bulan sejak itu, dan boleh dikatakan kesemuanya adalah tempahan daripada kenalan Facebook.

“Mungkin sukar untuk membeli kuih bulan yang halal, jadi semestinya mereka yang ingin mencuba atau sememngnya menggemari kuih bulan akan menempah apabila mengetahui bahawa ada produk itu keluaran Muslim,” katanya kepada Bernama.

Pelbagai pilihan menanti

Rimba Melati menghasilkan kira-kira 15 jenis kuih bulan dengan pelbagai inti, termasuk ‘red bean egg yolk’, ‘pandan egg yolk’, ‘green tea salted bean’ dan ‘ white bean and yam’.

Lazimnya, kuih bulan diperbuat daripada adunan manis yang berinti sama ada kacang merah, adunan biji teratai dan kuning telur  masin.

“Saya memang tak sangka bahawa hobi berkongsi gambar masakan di Facebook boleh jadi pendapatan sampingan. Saya mahir membuat kuih bulan sejak dua tahun lepas tetapi hanya untuk dimakan sendiri.

“Saya belajar membuat kuih bulan melalui beberapa kaedah termasuk internet, daripada pengusaha bakeri, menghadiri kelas masakan dan juga pembelajaran jarak jauh,” jelas Rimba Melati.

Kuih bulan yang dihasilkan beliau tidak terhad kepada bentuk bulat atau warna keperangan, krim atau hijau seperti yang sering kali dilihat di pasaran sahaja malah selain bulat, ada berbentuk empat segi, tiga segi dan juga berbentuk ikan. Ada juga yang berwarna-warni.

“Perbezaan ketara kuih bulan saya berbanding yang dijual di pasaran adalah kuih bulan jenis ‘baked’ biasanya berwarna ‘plain gold’ atau satu-satu warna tertentu sahaja

“Untuk memberikan kelainan, saya jadikan bentuk bunga timbul yang berwarna warni dengan menekap doh satu persatu pada acuan, jadi menimbulkan perbezaan bagi warna bunga dan daun,” jelas beliau.

Jadi acara tahunan

Perayaan pertengahan musim luruh ‘The Kuching Inter-Cultural Mooncake Festival’ berlangsung selama lapan hari bermula 6 petang hingga 11 malam, dari 17 September-24 September di Lebuh Carpenter di sini.

Bertemakan “Perpaduan Dalam Kepelbagaian”, festival itu diadakan setiap tahun oleh Persatuan Masyarakat Bahagian Kuching bersama Persatuan Komuniti Pasar Lama Kuching dengan tujuan untuk memupuk perpaduan pelbagai kaum di negeri ini.

Pelbagai aktiviti diadakan termasuk persembahan budaya pelbagai kaum, pesta tanglung, nyanyian serta jualan makanan bagi menarik kehadiran pengunjung.

Kira-kira 30 gerai makanan pelbagai komuniti di negeri ini menyertai festival yang kini merupakan edisi ke-17. Pesta  Kuih Bulan adalah perayaan kedua disambut meriah oleh masyarakat Cina selepas Tahun Baharu Cina. - Bernama