JULAU - Bahang mentari pagi menyengat kulit semasa kami menanti di Pangkalan Entabai untuk menuju ke Rumah Panjang Anthony Bau, yang terletak di hulu Sungai Mujok.

Saya dan beberapa rakan media, yang turut menyertai Misi Klinik Bergerak anjuran UMW Corporation Sdn Bhd (UMW) dengan kerjasama Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia), menyangka akan menaiki bot berbumbung ke rumah itu di Nanga Sugai, Rantau Tapang, Mujok, yang memakan masa kira-kira lima jam perjalanan.

Namun, yang muncul adalah sampan panjang berukuran 9.75 meter dilengkapi enjin 15 kuasa kuda, yang hanya boleh memuatkan lima orang sahaja.

Hati berdetik bimbang apabila melihat sampan sebesar itu tetapi sebaik sahaja menaikinya dan semasa menyusuri Sungai Mujok, saya mula terpesona menyaksikan keindahan belantara tebal di sepanjang sungai itu sambil diiringi nyanyian unggas.

Tetapi, rasa damai dan tenang itu tiba-tiba bertukar panik apabila perahu panjang itu tersekat di celah batu-batu kawasan berjeram menyebabkan perjalanan kami yang baru setengah jam itu terhenti seketika.

KUDRAT WANITA

Dalam keadaan agak cemas itu, saya tergamam apabila melihat wanita yang duduk di bahagian depan sampan itu,  Ako Anak Pio, 58, tiba-tiba turun dan cuba menolak kenderaan itu bersama-sama suaminya, Magi Anak Mango, 80.

Lelaki muda yang duduk di bahagian belakang pula berhempas pulas mengendalikan sampan dengan membelok ke kiri atau kanan mahupun mengangkat bilah kipas enjin bagi mengeluarkan sampan daripada batu-batu itu.  Saya tertanya-tanya mengapa Ako yang terpaksa menolak sampan itu sedangkan ia tugas sukar dan mengapa beliau tidak hanya menjaga enjin sampan. Dari mana datangnya kudrat wanita warga emas itu?

Kaum wanita berpengalaman mengendali sampan panjang berukuran 9.75 meter dilengkapi enjin 15 kuasa kuda yang dinaiki sukarelawan, pegawai perubatan dan pengamal media yang menyertai Misi Klinik Bergerak anjuran UMW Corporation Sdn Bhd (UMW) dengan kerjasama Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia).- Foto Bernama

Semasa saya dan seorang rakan media mahu membantunya menolak sampan berkenaan, Ako menghalang dan berkata: "Jangan turun, bahaya! Kamu tidak tahu keadaan di bawah air sungai ini. Ada batu tajam, licin, boleh jatuh dan cedera.”

Ako kemudian menerangkan bahawa beliau dan suami amat memahami keadaan air Sungai Mujok dan ada sebabnya mengapa lelaki yang menjaga enjin.

“Enjin sampan berat dan kami (wanita) tidak mampu mengangkatnya, lagi-lagi kalau enjin 30 kuasa kuda.

"Nampak senang jaga enjin tetapi ia tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Kena pandai kemudi, ada masa perlu angkat kipasnya bila lalu kawasan jeram berbatu atau elak tunggul kayu,” katanya.

Ako berkata wanita Sungai Mujok membesar dengan pengangkutan tradisional itu dan mereka cekap mengendalikan sampan termasuk cara-cara menolak sampan.

"Jangan letak jari di tepi perahu bukan sebab buaya tetapi takut tercedera batu berjeram,” katanya.

Sepanjang perjalanan kami itu, banyak kali jugalah Ako perlu turun dan menolak sampan itu apabila tiba di kawasan cetek atau jeram yang berbatu.

Daripada 19 sampan yang membawa kami ke rumah Anthony Bau, hampir  separuh daripadanya diiringi wanita yang bertanggungjawab sebagai pembantu sampan dan kebiasaannya, mereka mengendalikan sampan itu bersama-sama suami.

JINAKKAN SUNGAI MUJOK

“Perjalanan kita bergantung kepada paras sungai. Nasib baik, semalam hujan selepas sebulan kemarau. Jadi, paras sungai tidaklah cetek dan boleh diredah dengan sampan. Jika paras sungai cetek, lambatlah perjalanan kita.

“Pernah ada perjalanan sampai 10 jam dan terpaksa bermalam di tebing sungai sebab perlu 'berbatak’ (menolak) sampan sebab paras sungai terlalu cetek akibat kemarau,” kata Ako.

Biasanya, pembantu sampan di bahagian depan berperanan sebagai pengemudi dengan mengarahkan pemandu sampan di belakang untuk membelok ke kiri dan ke kanan, memberhentikan enjin mahupun mengelak bahaya ada kalanya, pemandu sampan tidak nampak apa yang ada di depannya.

Wanita Sungai Mujok membesar dengan pengangkutan tradisional dan mereka cekap mengendalikan sampan termasuk cara menolak sampan. Daripada 19 sampan ke Anthony Bau, hampir separuh daripadanya diiringi wanita yang bertanggungjawab sebagai pembantu sampan dan kebiasaannya, mereka mengendalikan sampan itu bersama-sama suami. - Foto Bernama

Bagi masyarakat Sungai Mujok, sampan adalah pengangkutan utama kerana tiadanya akses jalan raya yang menghubungkannya dengan bandar berdekatan iaitu Sibu atau Sarikei.

Untuk ke Sibu, biasanya penduduk  perlu menyusuri Sungai Mujok sehingga ke Pangkalan Entabai sebelum beralih kepada pengangkutan darat.

Walaupun tiadanya ancaman ‘sang bedal’, namun menyusuri Sungai Mujok atau Batang Mujok tidak boleh diambil mudah kerana pengemudi perlu menguasai kemahiran membaca keadaan arus sungai.

Kesilapan percaturan boleh mengundang maut, kata pembantu pengemudi bot Anchang Anak Bandar, 30.

Pernah berhadapan situasi perahu dinaiki karam dan hampir lemas, Anchang berkata amat penting bagi seorang pemandu mahupun pembantu sampan tidak boleh alpa walau sedikit pun dan perlu sentiasa berwaspada dengan keadaan sekeliling.

Selain terdedah kepada risiko mati lemas, perkara buruk seperti bilah kipas enjin terkena batu atau sampan rosak terlanggar tunggul kayu boleh berlaku apabila tidak peka.

“Ini sedikit sebanyak menjejaskan pendapatan sebagai pemandu dan pembantu sampan sekitar Nanga Entabai.

"Kawasan jeram berbatu dengan arus yang sangat kuat menjadikan laluan di beberapa sungai ini berbahaya dan bukan mudah dilalui.

"Tempat paling bahaya di sepanjang sungai ini adalah kawasan jeram dekat Rumah Panjang Gerasi Anak Kapi. Sudah banyak sampan yang karam di situ kerana arus sungai yang sangat kuat serta adanya batu-batu besar yang menyempitkan laluan sampan,” katanya.

Selain bijak menjinakkan Sungai Mujok, pemandu dan pembantu sampan perlu mempunyai ‘ilmu’ sungai,  memiliki daya penglihatan yang tajam, bersikap tenang dalam apa jua keadaan termasuk sentiasa bersedia berdepan cuaca buruk.

Disunting oleh Nur-ul Afida Kamaludin - Bernama