• Ibadah korban yang dilakukan perlulah mematuhi segala tuntutan Islam. - Gambar hiasan Ibadah korban yang dilakukan perlulah mematuhi segala tuntutan Islam. - Gambar hiasan
1 /

SEMEMANGNYA istilah korban bukanlah perkara asing bagi masyarakat Muslim di negara ini. Apatah lagi menjelangnya hari perayaan yang terbesar di sisi umat Islam pada bulan Zulhijah nanti iaitu Hari Raya Korban atau digelar Aidiladha.

Hari tersebut adalah antara hari kebesaran dan perayaan yang disambut oleh umat Islam seluruh dunia, walaupun akhir-akhir ini didapati masyarakat mula hilang serinya dalam menyambut kedatangan Hari Raya Aidiladha.


Sikap ambil mudah

Jika direnung, terdapat segelintir daripada umat Islam sendiri mengambil sikap mudah dan tidak membuat sebarang persiapan dalam menyambutnya. Sedangkan mengikut panduan agama, sambutannya perlulah selama empat hari berturut-turut bermula 10 Zulhijah sehinggalah hari Tasyrik ketiga (iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijah). Selama empat hari itu jugalah, umat Islam disunatkan untuk melaungkan Takbir hari raya dengan semangat pengorbanan yang berkobar-kobar.

Sesungguhnya sambutan Hari Raya Korban ini mengambil pengajaran daripada dua peristiwa besar dalam sirah Islam, iaitu pertamanya semasa peristiwa pengorbanan kedua anak Nabi Adam iaitu Habil dan Qabil. Keduanya pula ketika menghayati peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim dengan anaknya yang tercinta, Nabi Ismail.

Kejadian besar ini telah dirakamkan dalam kitab suci al-Quran sebagai paparan dan teladan umat terkemudian melalui firman ALLAH SWT bermaksud: "Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada ALLAH). Lalu diterima korban seorang daripadanya (Habil), dan tidak diterima (korban) daripada yang lain (Qabil). Berkata (Qabil):”

Sesungguhnya aku akan membunuh mu!”. (Habil) menjawab: “Hanya ALLAH menerima (korban) daripada orang yang bertakwa.” (Surah Al-Maidah: 27)

Jelas peristiwa ini menunjukkan bahawa segala perlakuan atau tindakan yang ingin dijadikan satu ibadat yang diterima dan diredai ALLAH, semestinya didahulukan dengan konsep pengorbanan yang sempurna serta berkualiti.

Jika sesuatu perkara dilakukan dengan sambil lewa tanpa sebarang sistem pengurusan yang berkualiti, nescaya akan mendatangkan permasalahan pada akhir nanti, sama ada dari aspek keberhasilan produk atau perkhidmatan mahupun penerimaan di sisi ALLAH SWT.

 Justeru, kita selaku umat Islam yang mementingkan kesempurnaan (Itqan) dan nilai Ihsan dalam setiap amal tindakan, haruslah membuat perancangan yang teliti demi memastikan kejayaan yang hakiki (al-Falah) di dunia dan akhirat nanti.
 

Kisah pengorbanan paling besar

Selain itu, teladan seterusnya daripada kisah pengorbanan Nabi Ibrahim ialah kita sebagai hamba kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa seharusnya tanpa syak dan sangsi wajib melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah dan dedikasi tanpa sebarang penipuan, ketidakadilan atau kezaliman terhadap pihak lain.

Contohilah akhlak Nabi Ibrahim yang melakukan segala perintah ALLAH tanpa banyak soal bermula perkara sekecil-kecilnya hinggalah perkara yang besar iaitu peristiwa penyembelihan anaknya sendiri, Nabi Ismail.

Cabaran dan dugaan besar yang dihadapi Nabi Ibrahim semasa menyampaikan dakwah ditempuhinya dengan sabar dan penuh berhati-hati walaupun sehingga membawa kepada peristiwa pembakarannya oleh Raja Namrud yang zalim dan angkuh.

Firman ALLAH yang bermaksud: “Kemudian, seruan Nabi Ibrahim tidak dijawab oleh kaumnya melainkan dengan kata-kata (tentangan yang keras): ‘Bunuhlah dia atau bakarlah dia’. Maka ALLAH selamatkan Nabi Ibrahim daripada api (yang disediakan oleh kaumnya).
Sesungguhnya peristiwa yang demikian, mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan ALLAH) bagi kaum yang (mahu) beriman”. (Surah Al-Ankabut: 24)


Kepatuhan Nabi Ibrahim, Nabi Ismail

Kepatuhan dan ketaatan Nabi Ibrahim tiada tolok bandingnya yang telah menjadikan Baginda sebagai pemimpin contoh yang terulung dan terhebat.

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. (Setelah itu) ALLAH berfirman lagi: ‘Sesungguhnya Aku melantik mu menjadi Imam (pemimpin ikutan) bagi umat manusia’. Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: ‘(Ya Tuhan ku!) Jadikanlah juga (apalah jua kiranya) dari keturunan ku (pemimpin-pemimpin ikutan)’. ALLAH menjelaskan lagi: ‘(Permohonan mu diterima, tetapi) janji Ku ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim”. (Surah Al-Baqarah:124)

Sempena Zulhijah yang bakal tiba nanti,  diseru kepada umat Islam seluruh pelosok dunia khususnya anak muda yang terdiri daripada pemuda-pemudi bakal pemimpin negara; Ayuh ! Berkorbanlah demi keredaan ALLAH, pulanglah kepada asal fitrah semula jadi kita.

Janganlah lagi kita asyik leka dan lena dibuai keseronokan mimpi yang tidak ke mana.

Ubahlah perangaimu dengan membentuk nilai dan akhlak terpuji menjadi seperti hamba ALLAH  yang digelar sebagai khalilullah (Kekasih ALLAH) iaitu Nabi Ibrahim  serta anak Baginda, Nabi Ismail. Buanglah sikap ego dan sombong mu, kembalilah taat dan patuh hanya kepada ALLAH semata, rebutlah peluang hasanah di dunia dan juga akhirat, jagalah pertuturan mu, bersihkanlah tingkah laku mu daripada tipu daya syaitan, elokkanlah cara pemakaian mu dengan menutup aurat serta pastikan pemakanan dan minuman kamu hanya perkara yang halalaltoyibban sahaja.

Hal ini demikian kerana mafhum hadis Rasulullah SAW diriwayatkan Imam Ahmad dan Tirmizi "setiap darah daging yang tumbuh hasil daripada sumber rezeki yang haram, maka bahan pembakar paling layak ialah api neraka."