• KTM pilihan lasak
1 /

Motosikal motorcross atau motard kini menjadi trend belia di Malaysia. Mungkin kerana kelasakan mahu pun keseronokan menunggangnya menjadikan ia sebagai pilihan antara jentera dua roda yang digunakan secara harian ataupun riadah.

Salah satu jenama yang menjadi perhatian adalah produk KTM keluaran Austria. Produk yang tidak asing lagi bagi syarikat permotoran Kronrief Trunkenpolz Mattighofen (KTM) ini mula memasuki bidang pemotoran di Malaysia sejak tahun 1997.

Di Malaysia, mereka yang memilih KTM adalah kerana cirinya yang lasak dan ekstrem sinonim dengan jenamanya yang digunakan untuk Sukan Rali Dakar. Perkara ini diakui sendiri oleh ahli Kelab KTM.

Bagi Presiden Kelab KTM, Adnam Besar, ahli-ahli kelab KTM rata-ratanya daripada pelanggan KTM Pyoorr Cycle (M) Sdn Bhd di Selayang. Majoriti ahli menunggang model Street Motard 690 Duke.

“Bermula dari situ kami tubuhkan kelab KTM yang kini ahlinya seramai 30 orang, umur dalam lingkungan 22 hingga 40 tahun.

“Ditubuhkan 2010, kami sering menganjurkan aktiviti menunggang pada hujung minggu dan memenuhi jemputan konvoi bagi majlis atau program,” katanya kepada Pemotoran.

Menyentuh tentang konvoi, Adnam berkata pada usia dua tahun, begitu sukar untuk mengumpulkan kesemua ahli untuk berkonvoi. Tetapi, katanya ada antara ahli sudah pun mengembara sehingga ke Mynmar, Laos dan Kemboja pada 2009 dan antara konvoi terbesar pernah dianjurkan ialah ke Pulau Pinang dan Kelantan.

Bukan itu sahaja, tiga orang ahli KTM telah pun menakluki jalan Mae Hong Son (1,000 selekoh) di Utara Thailand yang menjadi destinasi wajib bagi setiap kaki motor untuk menguji kemahiran menunggang mereka.

Jelasnya, menunggang jentera KTM lebih selesa kerana perwatakannya yang ringkas dan begitu mudah untuk mencelah ketika kesesakan lalu-lintas berbanding motosikal kuasa besar lain.

Sependapat dengan itu, Razali Sadeli, 28, berkata menunggang KTM benar-benar memberi rasa tunggangan yang berlainan di samping rekaannya yang berbeza.

“Sekiranya tersekat di kesesakan lalu-lintas, KTM begitu mudah untuk menyelit kerana paras cermin sisinya lebih tinggi berbanding cermin sisi kereta, jadinya penunggang tidak perlu membetulkan posisi berbanding motosikal sisi besar.

“Bagi mereka yang mencari kelainan KTM ini adalah jawapannya kerana motosikal KTM mempunyai pelbagai jenis kapasiti enjin yang berbeza bermula dari 100cc hingga 1,190cc. Ia memudahkan orang ramai untuk memilih sendiri kelajuan yang diingini dan bentuk motosikal yang digemari,” katanya yang menunggang KTM 690 SMR.

Katanya, mula jatuh hati dengan model KTM, beliau mula mengetahui tentang Kelab KTM menerusi kedai jualan KTM di Selayang. Bermula dari situ, Razali mula bertukar pendapat dan berkongsi maklumat tentang kondisi dan penyelenggaraan motosikal.

Seperti diketahui KTM adalah sebuah syarikat permotoran yang menumpukan kepada aspek perlumbaan dan kelajuan. Bagi pemilik superbike KTM RC8 Red Bull edisi terhad, Aldrin Adnan, 35 produk KTM sememangnya sudah diketahui kelasakannya.

“RC8 adalah percubaan pertama KTM mengeluarkan jentera Superbike dan menerusi bacaan ulasan di internet, rata-rata menyatakan RC8 adalah antara yang terbaik.

“Dari segi superbike ia memang mudah untuk dibawa, posisi tunggangan tidak memenatkan dan kawalan pengendalian yang terbaik,” katanya.

Sejak menyertai KTM, Aldrin yang lebih mesra dikenali sebagai Ben berkata beliau pernah menyertai konvoi Kelab KTM pada Oktober lalu melibatkan 17 ahli menuju ke Kelantan.