• Sepit rambut berwarna-warni menjadi koleksi aksesori kegemaran kanak-kanak. Sepit rambut berwarna-warni menjadi koleksi aksesori kegemaran kanak-kanak.
  • Elayanor Faiza membantu ibunya membuat kerongsang. Elayanor Faiza membantu ibunya membuat kerongsang.
1 /

Apa yang sering dilakukan jika di rumah anda mempunyai kain perca atau lebihan kain yang tidak lagi digunakan? Mungkin kebanyakan orang terfikir untuk membuangnya.

Tidakkah anda terfikir bahawa kain tersebut mampu menguntungkan jika dimanfaatkan sebaik mungkin.

Kain perca kain adalah kain sisa yang dipandang sebahagian orang tidak bermanfaat lagi. Namun di tangan orang yang kreatif, mampu menghasilkan beberapa benda daripada perca kain. Malah ia mampu menguntungkan seperti yang dilakukan seorang ibu tunggal, Zamzarina Abdul Hamid, 32, dari Pendang, Kedah, dalam menjadikan kerongsang bunga.

Memanfaatkan kain perca untuk dijadikan kerongsang bunga boleh menghasilkan pendapatan sampingan. Ini kerana kerongsang begitu diperlukan golongan wanita untuk dipakai sebagai penyeri pada pakaian dan tudung agar nampak lebih kemas, bergaya dan cantik.

Bersandarkan minat dan kreativiti, Zamzarina pada mulanya melakukan aktiviti kreatif dengan kain perca itu hanya sekadar mengisi masa lapang, selain menjaga anak keduanya yang kurang upaya, manakala anak bongsunya baru berusia empat tahun.

Dia mengolah kain perca tersebut sehingga menjadi bunga, seterusnya digarapkan sebagai kerongsang dan sepit rambut, Pada masa itu, terlintas di fikirannya untuk menjadikan produk tersebut sebagai satu jalan perniagaan yang boleh dimajukan.

“Disebabkan ketika itu saya tiada sumber pendapatan, jadi saya berusaha untuk mereka cipta beberapa bentuk bunga untuk mempelbagaikan jenis kerongsang.

"Malah dengan menjalankan aktiviti pembuatan kerongsang di rumah, ia boleh dapat memberi ruang masa untuk menjaga anak saya," kata Zamzarina yang kini produknya semakin mendapat sambutan pelanggan.     

Dia yang meminati bidang jahitan memberitahu tarikan minatnya tercetus sejak membeli sebiji kerongsang kain di pasar. Meskipun sukar untuk menyiapkan bunga daripada kain perca, namun lama-kelamaan dia mampu menyiapkan kira-kira 50 biji kerongsang dalam masa sehari secara sambilan.

Bentuk pelbagai

Zamzarina berkata, penghasilan kerongsang bunga daripada perca kain itu mampu menyerlah kreativiti seseorang apabila pelbagai jenis bunga yang direka mampu dihasilkan menggunakan kain.

Baginya, kerongsang kain ini menyerlahkan kreativiti seseorang dari segi reka bentuk kelopak sehingga menjadi bunga yang diperbuat daripada kain. Tambah menarik lagi jika kerongsang tersebut digayakan golongan wanita tanpa mengira usia kena pada pilihan jenis dan warna tudung mahupun pakaian.

“Penghasilan kerongsang bunga ini sangat rumit bergantung kepada jenis bunga yang ingin dihasilkan. Namun bagi saya kerongsang bunga yang dihasilkan lebih menitik beratkan kekemasan dan kecantikan dengan gabungan warna yang sesuai.

“Harga bagi sekuntum kerongsang bunga yang dijual saya adalah daripada harga RM1.50 sehingga RM5.00 bergantung kepada saiz dan jenis bunga,” katanya yang menetap di Kampung Jelai Mukim Bukit Raya dekat sini.

Zamzarina berkata, kini dia mampu menarik nafas lega apabila kerongsang yang dihasilkan kini dijual di pasaran oleh saudara-mara dan rakan. Hasil jualan kerongsang tersebut mampu menampung keperluan hidup sekeluarga, selain bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi anak sebanyak RM300 sebulan.

Dia turut menyeru golongan ibu tunggal dan wanita yang tidak bekerja agar menceburi bidang pembuatan kerongsang memandangkan bidang ini mampu menghasilkan pendapatan jika diusahakan secara bersungguh-sungguh. Selain kerongsang, Zamzarina turut memberi sentuhan bunga kainnya pada cekak rambut.