KUALA LUMPUR - Sambutan Hari Koperasi Antarabangsa peringkat kebangsaan akan diadakan pada 21 Julai ini. Namun bagi peringkat antarabangsa ia disambut pada setiap Sabtu minggu pertama bulan Julai.  

Tarikh 21 Julai dipilih sebagai sambutan peringkat kebangsaan adalah bagi memperingati koperasi pertama "The Federated Malay States Posts and Telegraph Co-operative Thrift and Loan Society" yang didaftarkan pada 1922 di Taiping, Perak.

Kini, koperasi pertama ini dikenali sebagai Koperasi Kakitangan Telekom Malaysia Berhad atau KOTAMAS.


Pergerakan koperasi

Acara peringkat kebangsaan ini diadakan bertujuan memberi pengiktirafan kepada gerakan koperasi yang telah memberi sumbangan dalam pembangunan ekonomi negara serta menilai pencapaian gerakan koperasi dalam bidang ekonomi dan sosial selaras dengan konsep, prinsip dan falsafah koperasi.

Menurut Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Datuk Md Yusof Samsudin, Hari Koperasi Negara (HKN) turut menjadi platform untuk mendapatkan idea-idea baru dalam usaha memperkukuhkan pengurusan, pentabdiran dan perniagaan koperasi selaras dengan Dasar Koperasi Negara.

Di samping itu ia bagi mewujudkan semangat kerjasama di kalangan koperasi.  

Md Yusof berkata pada tahun ini, tema HKN 2012 adalah berdasarkan kepada tema tahun koperasi antarabangsa iaitu "Koperasi Membina Kesejahteraan Sejagat", yang bersesuaian untuk memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai koperasi dan sumbangannya kepada pembangunan sosio ekonomi negara.

"Selama ini, pemahaman rakyat Malaysia terhadap koperasi adalah sebagai sebuah organisasi yang hanya memberi perkhidmatan semata-mata kepada anggota koperasi dan masyarakat melalui jualan produk dengan harga yang murah.

"Sebenarnya peranan koperasi juga boleh dilihat melalui kebajikan yang diberikan kepada anggota koperasi dan masyarakat," katanya kepada Bernama di sini.


Dana

Md Yusof menjelaskan keuntungan yang diperoleh oleh koperasi digunakan untuk pembahagian tabung kebajikan seperti tabung pendidikan, bantuan kecemasan, biasiswa dan sebagainya.

"Ini yang dikatakan koperasi membina kesejahteraan sejagat iaitu dapat membantu masyarakat yang memerlukan bantuan. Dianggarkan lima juta anggota koperasi mendapat manfaat melalui tabung kebajikan ini," jelas beliau.

Selain itu, melalui tema ini juga dapat menggalakkan penubuhan dan perkembangan koperasi dalam kalangan individu dan institusi bagi memenuhi keperluan ekonomi bersama dan meningkatkan sosio ekonomi mereka.

Majlis perasmian ekspo dan pameran HKN disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 14 Julai di Bukit Jalil di sini.


Sejarah kelahiran

Disorot kembali 90 tahun yang lepas, koperasi diwujudkan untuk mengeluarkan anggota masyarakat daripada kancah kemiskinan, penindasan orang tengah, keberhutangan di kalangan petani dan penjawat awam.

Koperasi pada ketika itu, berjaya memainkan peranannya untuk mengatasi permasalahan yang dihadapi.

"The Ulu Langat Malay Co-operative Shop Society", yang ditubuhkan pada tahun 1936 boleh dianggap sebagai perintis kepada koperasi pengguna di negara ini.

Pada tahun 1950an, kerajaan telah menggalakkan penubuhan koperasi pengguna dengan tujuan untuk menstabilkan harga barangan keperluan utama dan mengawal pembekalan barangan makanan terutama ketika negara menghadapi Darurat. Menerusi galakan oleh kerajaan sebanyak 24 buah koperasi pengguna ditubuhkan sehingga akhir 1956.


Penambahbaikan

Md Yusof menjelaskan, pencapaian gerakan koperasi negara sejak ia bertapak pada tahun 1922 telah menunjukkan peningkatan yang ketara.

"Bermula dengan hanya 11 koperasi kredit, bilangan koperasi pada tahun berkenaan telah meningkat berlipat ganda kepada 9,600 koperasi," katanya.

Menurut beliau, koperasi kini lebih aktif dalam pelbagai sektor ekonomi termasuk pemborongan dan peruncitan, perladangan, perumahan, pelancongan, perkhidmatan, pengangkutan, pertanian dan industri asas tani.

"Dengan disokong lebih tujuh juta anggota koperasi, gerakan koperasi mampu mengumpul modal berjumlah RM10.49 billion dan daripada aktiviti perniagaannya pula berjaya menjana perolehan bernilai RM23.09 billion.

"Ini membuktikan gerakan koperasi terus menjadi penyumbang kepada ekonomi negara," katanya.


Tranformasi

Sejajar dengan era transformasi kini, kerajaan sedang berusaha untuk mentransformasikan koperasi melalui Dasar Koperasi Negara (DKN) 2011-2012.

Melalui dasar ini perubahan akan dilakukan ke atas lanskap gerakan koperasi yang selama ini dianggap satu gerakan di luar bandar yang kecil dan bertumpu kepada perniagaan berbentuk perkhidmatan sahaja.

Justeru itu, kerajaan berhasrat agar koperasi yang telah ditransformasikan menjadi suatu entiti perniagaan yang lebih besar serta mampu meningkatkan pendapatan anggota koperasi.


Bantuan kewangan

Kerajaan menurut Md Yusof, melalui SKM menyalurkan bantuan kewangan kepada koperasi dalam bentuk geran dan pinjaman.

"Bantuan kewangan ini bertujuan untuk membantu koperasi yang memerlukan pembiayaan untuk mengembangkan operasi perniagaan dan menjalankan aktiviti mereka," katanya.

Md Yusof berkata, terdapat dua kategori geran yang disediakan oleh SKM kepada koperasi iaitu Geran Pembangunan dan Geran Pelancaran.

"Geran Pembangunan diberikan kepada koperasi yang tidak berkemampuan bagi melaksanakan program pembangunan yang dirancang seperti geran pelancaran, geran untuk membangunkan produk, promosi dan pemasaran serta penyelidikan dan pembangunan (R&D).

"Sementara itu, Geran Pelancaran dengan jumlah maksimum RM30,000 diberikan kepada koperasi untuk membangunkan infrastruktur asas perniagaan. Manakala geran bagi R&D sehingga RM300,000 boleh diberikan kepada koperasi," katanya.

Kerajaan juga menyediakan pinjaman mudah kepada koperasi dengan kadar keuntungan yang kompetitif iaitu Tabung Modal Pusingan.

"Tabung ini dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan dengan syarat mudah bagi membantu koperasi membangunkan perniagaannya.

"Lebih menarik lagi koperasi yang ingin menjalankan perniagaan yang berskala besar, tabung ini memberi kemudahan pinjaman sehingga RM10 juta," jelasnya.

Tabung ini terbuka kepada semua koperasi yang berdaftar di bawah Akta Koperasi 1993.


Kedai Coop 1 Malaysia

Pengenalan kedai Coop 1 Malaysia oleh SKM dengan kerjasama Felda Trading Sdn. Bhd. ke pasaran merupakan kesinambungan daripada kejayaan program Transformasi Kedai Runcit (Tukar) di kalangan koperasi.

Md Yusof menjelaskan kedai Coop 1Malaysia adalah satu program dan usaha kerajaan untuk membantu pengguna mendapatkan barang keperluan dengan harga yang lebih murah.

"Kini pengguna boleh membeli barangan keperluan dengan harga yang lebih murah di kedai Coop 1 Malaysia tetapi mempunyai kualiti yang sama dengan kedai runcit yang lain," katanya.

Kemudahan ini, menurut Md Yusof turut dinikmati oleh pengguna di Sabah dan Sarawak.

Sebanyak 71 jenis produk dengan jenama Coop 1Malaysia dijual di 500 kedai koperasi di seluruh negara.

"Pertambahan jenis produk ini dapat memberi banyak pilihan kepada pengguna apabila berbelanja," tambahnya lagi sambil menjelaskan sambutan terhadap jenama Coop 1Malaysia amat menggalakkan. - Bernama