Memiliki kulit wajah cantik dan bentuk badan menarik sudah menjadi lumrah bagi setiap manusia terutamanya wanita. Ini kerana kecantikan akan memberikan lebih keyakinan kepada seseorang apatah lagi jika ia berkerjaya.

Kini, produk kesihatan yang mengandungi kolagen begitu popular bagi kecantikan kulit wajah dan mendapatkan bentuk badan yang menarik.
 
Kolagen adalah sejenis protein untuk memelihara keremajaan serta keanjalan kulit. Namun sedarkah anda kebanyakan kolagen yang terdapat di pasaran kini dihasilkan daripada khinzir atau haiwan lain yang diragui status halalnya.
 
Bertitik tolak dari inisiatif untuk menghasilkan produk kolagen yang benar-benar diyakini halal, sekumpulan penyelidik dari Universiti Putra Malaysia (UPM) melakukan penyelidikan bagi menghasilkan bahan tersebut. 
 
Penyelidikan selama 12 tahun ternyata membuahkan hasil apabila negara bakal mempunyai kilang pengekstrak kolagen halal daripada kulit ikan tilapia yang pertama di rantau ini. 
Produk itu bakal dikomersialkan melalui kerjasama antara UPM dengan syarikat Bionic Lifesciences Sdn Bhd.
 
Pengarah projek kajian, Prof Dr Jamilah Bakar berkata, pasukannya menjalankan kajian bagi membangunkan sendiri teknologi pengekstrakan kolagen akuatik daripada kulit ikan tilapia.
“Masyarakat kini mula menyedari kepentingan kelogen yang berfungsi memelihara kecantikan kulit, mempercepatkan penyembuhan luka serta membantu memulihkan kekenyalan otot dan masalah sendi.
 
“Pelbagai rangkaian produk berasaskan kolagen dijual di pasaran, namun difahamkan tiada sumber kolagen dihasilkan di dalam negara dan menyebabkan ia banyak diimport dari China dan Korea Selatan yang diragui status halalnya.
 
“Kami adalah pertama di rantau ini menghasilkan kolagen akuatik yang benar-benar diyakini status halalnya,” katanya ketika ditemui selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara UPM dan Bionic Lifesciences bagi memasarkan kolagen itu secara komersial.
 
MoU itu ditandatangani oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM, Prof Ir Dr Mohd Saleh Jaafar manakala bagi pihak Bionic Lifesciences diwakili oleh Pengarahnya Ir Mohd Salleh Yahya.
 
Beliau berkata, bagi menghasilkan kolagen daripada kulit ikan tilapia, ia memerlukan beberapa peringkat iaitu pembersihan kulit-kulit ikan, pengekstrakan menghasilkan kolagen, pembersihan kolagen dan penghasilan serbuk kolagen.
 
Menurutnya, berkata produk kolagen yang dihasilkan daripada kulit ikan tilapia itu boleh digunakan untuk pelbagai tujuan sama ada dalam bentuk minuman, makanan serta produk peribadi kesihatan seperti produk minuman burung walit.
 
Sehubungan itu, beliau berharap hasil penemuan itu memberi satu perspektif baru kepada pengguna kolagen halal dalam semua produk kosmetik atau makanan tambahan selain menyokong industri halal negara.