Sanggup berhabis duit asalkan mendapatkan Transformers tercapai
$entry.content.caption.value

Mohd Helmy Taib, 25, memiliki pelbagai sebab untuk mengumpul lebih 110 koleksi permainan animasi Transformers sejak daripada kecil lagi. Baginya, koleksi kesayangan itu banyak membantu dia menjana idea terutama dalam membuat keputusan harian secara logik. Mungkin ia kedengaran agak lucu namun itulah realiti yang berlaku pada diri Helmy.

“Setiap kali ada masalah, saya pandang koleksi robot Transformers ini. Dari situ, saya akan dapat idea untuk jalan penyelesaiannya. Memang betul-betul ajaib,” katanya kepada penulis.

Helmy berkata, walaupun sudah lama dia mengumpul koleksi permainan Transformers itu, namun perasaan teruja untuk melihat koleksi berkenaan tetap menebal.

“Setiap kali pulang dari kerja, saya akan pastikan untuk melihat robot Transformers ini. Tak tahulah kenapa. Ada satu perasaan yang sangat bernilai apabila pandang mereka.

“Walau sekejap melihat koleksi robot unik ini, saya puas hati,” katanya sambil mengakui kesukaran untuk mendapatkan koleksi berkenaan sentiasa menghantui dirinya.

Malah Helmy sanggup turun padang ke merata negeri semata-mata untuk memenuhi hobinya yang gemarkan Transformers.


Daya imaginasi

Berkongsi cerita mengenai fanatiknya terhadap koleksi mainan robot, Helmy berkata, semenjak dari kecil lagi dia gemarkan apa jua jenis mainan.

“Dalam banyak mainan ini, saya sangat tertarik dengan Transformers. Mungkin disebabkan robot berkenaan boleh bertukar menjadi kereta kebal berbanding mainan yang lain.

“Lagi pula ayah saya, Taib Ismail dan ibu, Noraizam Ahamad sentiasa belikan mainan Transformers ketika saya masih kecil,” katanya turut melahirkan rasa terkilan apabila sebahagian koleksinya sejak zaman kanak-kanak ada yang hilang.

Menurut Helmy, koleksi Transformers yang dikumpulnya itu bukan hanya berorientasikan permainan sahaja. Sebaliknya ia ada cabang kejuruteraan tersendiri. Boleh menjana daya imaginasi seseorang untuk menjadi lebih inovasi malah mampu mencabar minda apabila ingin ditransformasikan.

Anak muda ini juga memberitahu bahawa sehingga kini terdapat pelbagai model robot Transformers yang kini tersimpan rapi di bilik tidur rumahnya.

“Antara modelnya seperti Masterpiece Rodimus Prime, Masterpiece Thundercracker, Human Alliance Soundwave, Henkei Hound, Masterpiece Megatron dan War for Cybertron Scourge.

“Setiap model ini mempunyai kenangan yang tersendiri. Misalnya, ada koleksi mainan Transformers ini dibeli hasil daripada kegigihan mengumpul duit hasil gaji pertama.

“Juga kenangan paling sukar dilupakan apabila ada antara robot Transformers ini dihadiahkan tunang tersayang, Nur Liyana Dalila Jamaludin,” kata Helmy sambil tersenyum.


Belanja RM15,000

Helmy masih ingat pada koleksi pertama yang berjaya diperolehnya adalah model Nightwatch Optimus Prime yang berharga RM245. Model tersebut dibeli di salah sebuah kedai mainan di ibu kota dan sangat berharga kerana itulah titik tolak kepada dirinya untuk mula mengumpul Transformers yang seterusnya.

Sepanjang mengumpul koleksi yang menjadi pilihan ramai itu, jelas Helmy, dia berdepan dengan banyak cabaran. Paling utama adalah cabaran berkaitan soal harga. Ada sesetengah penjual meletakkan harga mahal sebab mereka tahu Transformers ini ramai pengikutnya.

“Cabaran kedua, kesukaran mendapat koleksi Transformers yang terbaru kerana stoknya yang sering tidak mencukupi. Situasi ini mengakibatkan kesedihan buat saya kerana gagal mendapat robot terbaru Transformers,” katanya yang telah membelanjakan sebanyak RM15,000 untuk mengumpulkan koleksi robot tersebut.

Helmy bercerita, pernah satu ketika dulu ramai yang mempertikaikan perihal hobinya itu yang dianggap sebagai satu pembaziran, namun dia tidak peduli.

“Tak kisahlah apa orang nak kata. Mereka sebenarnya tidak tahu betapa Transformers menjadi pembakar semangat untuk mencapai impian dalam kehidupan,” jelasnya yang akan terus mengumpul koleksi itu selagi termampu.

Helmy dengan nada bersungguh-sungguh berkata koleksi Transformers itu tidak akan dijual sebaliknya akan kekal sebagai koleksi peribadinya yang paling berharga.


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.