Koleksi Coca-Cola pilihan Rohailani
$entry.content.caption.value

Dari dulu hingga kini, Rohailani Wakaf, 40, dari Klang, begitu menggemari minuman berkarbonat jenama Coca-Cola. Baginya, Coca-Cola begitu dekat dengan dirinya.

Memandangkan dia menjadi penggemar minuman tersebut, maka lahirlah hasrat hatinya untuk mengumpul apa sahaja barangan yang tertera perkataan Coca-Cola.

Ratusan barangan seperti tin, botol minuman, baju, tuala, mug, rantai kunci, poster, kalendar, jam tangan, dulang, bingkai gambar dan magnet yang berjenama Coca-Cola berjaya di kumpul Rohailani dalam tempoh beberapa tahun lalu. Kesemua koleksi Rohailani adalah barangan original jenama berkenaan.

Berkongsi tentang hobinya yang begitu menggemari jenama Coca-Cola, Rohailani berkata, semua itu berlaku tanpa dirancang.

“Sebelum ini saya hanya berusaha mengumpul syiling lama, setem, kalendar poket, tutup botol lama dan banyak lagi. Tapi, entah kenapa setiap kali saya membeli minuman Coca-Cola ini, hati terasa ingin mengumpulnya.

“Saya akui memang mengambil masa yang agak lama untuk barangan berkenaan kerana bukan mudah untuk mendapatkannya. Namun saya bangga kerana berjaya mengumpul koleksi yang menjadi idaman hati selama ini,” katanya kepada penulis.


Minati merah dan hitam

Bapa kepada tiga anak berkata, banyak sebab mengapa dia begitu teruja mengumpul koleksi jenama Coca-Cola. Antaranya, dia sukakan warnanya, merah dan hitam. Unik dan menarik. Mungkin sebab itulah dia obses terhadap apa sahaja barangan jenama Coca-Cola.

“Jika ada kelapangan, saya bersama isteri dan anak melancong ke tempat yang menarik. Dari situ, saya berjaya mendapatkan koleksi unik Coca-Cola daripada setiap tempat yang dilawati.

“Selain itu, rakan yang pergi ke sana seperti Korea dan Thailand,” katanya.

Tambah Rohailani, segala koleksi yang ada amat disayangi olehnya.

"Memang berat hati nak jual walaupun ada yang menawarkan harga lumayan.

“Sebolehnya saya ingin mengumpul koleksi Coca-Cola ini selagi terdaya dan berharap hobi ini akan diteruskan sehingga ke legasi seterusnya,” cerita Rohailani.


Gelas pelbagai jenama

Satu lagi kegemaran unik Rohailani adalah mengumpul gelas pelbagai jenis dan bentuk sebagai koleksi peribadi. Setiap kali singgah ke pusat membeli-belah dan mendapati ada gelas unik, dia pasti akan membelinya.

“Namun, kebanyakan gelas unik sebegini hanya boleh didapati dengan pembelian sesetengah produk. Walaupun produk ini tidak digunakan, namun saya tetap akan membelinya asalkan saya berjaya dapatkan koleksi gelas idaman,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, isteri Rohailani, Norlina Misdi, 37, memberitahu, minat suaminya terhadap koleksi barangan Coca-Cola sebenarnya sudah sebati sebelum mereka berkahwin lagi.

“Memang saya tahu dia penggemar setia koleksi Coca-Cola. Apa saja yang berkaitan dengan jenama itu, dia akan pastikan akan mendapatkannya walaupun dengan apa cara sekalipun,” katanya yang turut menyokong hobi suaminya.

Sementara itu, Rohailani sambil tersenyum berkata, biarpun nilainya kecil, segala koleksi itu tetap akan disimpan untuk selama-lamanya. Mungkin ada yang mengatakan bahawa hobi berkenaan membuang masa dan tenaga, namun tidak baginya.

“Hanya mereka yang tahu menilai, pasti akan menghargai segala nilai yang ada pada barangan itu,” katanya mengakhiri perbualan.


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.