Koko, kini adalah antara komoditi yang semakin mendapat mendapat permintaan tinggi. Tanaman koko kini dilihat sebagai salah satu cabang industri negara mendatangkan keuntungan. Melihat kepada potensi industri ini, pekebun kecil perlu yakin dan terima kaedah baru dalam penanaman koko. 

Jika dahulu memang wajar jika petani bimbang akan kerugian apabila mengendalikan tanaman koko, kerana khuatir dengan serangan penyakit dan harga koko yang rendah. Namun, hal itu bukanlah sesuatu yang memberatkan kerana kini mereka boleh mendapatkan bantuan melalui pelbagai agensi termasuk bantuan penanaman sebanyak RM6,500 setiap hektar bagi tempoh lima tahun. 

Harga koko di pasaran juga kini cukup tinggi iaitu RM2.50 sekilogram untuk biji koko basah manakala koko kering boleh mencecah antara RM8,000 dan RM10,000 setiap tan metrik. 

Bekalan biji koko tempatan bagi kegunaan industri tidak mencukupi sehingga Malaysia terpaksa mengimport biji koko termasuk dari Indonesia. 

Berdasarkan statistik Lembaga Koko Malaysia, pada 1989 keluasan tanaman koko di Sabah mencecah 205,260 hektar tetapi sejak 1990 an keluasan tanaman koko mula berkurang selepas koko digantikan dengan kelapa sawit. Pada tahun 2009, keluasan tanaman koko di Sabah cuma mewakili 7,913 hektar. 

Keluasan tanaman koko di negara ini pernah pernah mencapai 414,236 hektar tetapi pada tahun 2009 keluasannya hanya tinggal 20,561 hektar. 


SASAR 25,000 HEKTAR TANAMAN KOKO TEMPOH LIMA TAHUN

Media sebelum ini melaporkan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi menyasarkan 25,000 hektar lagi tanaman koko di seluruh negara dapat diusahakan dalam jangka masa lima tahun ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Hamzah Zainuddin berkata, pada 2010 sebanyak 5,000 hektar tanaman koko akan dimajukan bagi menambah sumber pendapatan negara berikutan tanaman itu mempunyai harga yang baik di pasaran dunia. 

Menurutnya, pada tahun 1980 an negara mempunyai 400,000 hektar tanaman berkenaan tetapi berkurangan berikutan kecenderungan petani dan agensi tertentu menukarnya dengan tanaman kelapa sawit dan getah. 

Katanya, itu disebabkan oleh pelbagai faktor antaranya banyak tanaman koko ketika itu diserang penyakit dan selain harganya rendah menyebabkan petani tidak berminat menanam koko dan mengubah kepada tanaman lain. 

Menurut Hamzah, kerajaan menyediakan bantuan subsidi kepada kumpulan petani dan pekebun kecil yang berminat untuk mengusahakan tanaman koko di mana sebanyak RM6,000 sehektar diberikan kepada mereka yang mahu mengusahakan tanaman itu. 

Katanya, individu atau kumpulan yang berminat mengusahakan tanaman koko boleh berhubung terus dengan kementerian bagi mendapatkan pelbagai kemudahan termasuk bantuan subsidi. 

Katanya, petani tidak perlu bimbang kerana Lembaga Koko Negara telah menyediakan klon-klon benih bermutu tinggi yang tahan penyakit serta serangan serangga perosak dan mengeluarkan hasil yang banyak. 

Hamzah yakin Malaysia mampu menjadi pengeluar koko dan coklat terbesar di Asia jika usaha menanam komoditi itu mencapai sasaran. 

Katanya Switzerland yang tidak mempunyai tanaman itu mampu menjadi negara pengeluar utama coklat dunia kerana pengurusan dan pentadbiran perniagaan yang bersistematik, mengutamakan kualiti produk serta pasaran luas membabitkan semua negara di dunia. 


MODAL & ANAK POKOK DIBERI PERCUMA 

Hamzah berkata, modal dan anak pokok koko telah diberi secara percuma kepada pekebun kecil serta sederhana sejak tahun lalu. 

“Kita mahu memajukan lagi industri penanaman koko supaya kita boleh memproses dan mengisar produk sendiri tanpa perlu bergantung kepada negara luar. 

“Walaupun, nilai perolehan eksport dan produk koko pada tahun lalu meningkat kepada RM4.2 bilion, namun jumlah import biji koko juga adalah tinggi iaitu sebanyak RM3 bilion,” katanya sambil memberitahu kini hanya terdapat 13,000 pekebun kecil menanam koko melibatkan kawasan ladang seluas 3,000 hektar 


PENGELUARAN KOKO KISAR MENURUN

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Lembaga Koko Malaysia (MCB) pada Julai lalu, menyatakan kapasiti pengisaran koko negara bagi suku kedua 2011 turun empat peratus kepada 72,089 tan berbanding tempoh yang sama tahun lalu sebanyak 75,071 tan. 

Katanya, catatan bagi suku kedua tahun ini juga telah menurun sebanyak 11.5 peratus berbanding suku pertama tahun ini. 

Bagaimanapun, dalam kenyataan itu, MCB tidak menyatakan punca penurunan tersebut. Namun, kadar pengisaran koko bagi separuh pertama tahun 2011 telah meningkat 3.3 peratus berbanding separuh pertama tahun lalu. 


KHIDMAT SOKONGAN PEMASARAN PETANI KOKO

Lembaga Koko Malaysia (LKM) telah melancarkan Skim Khidmat Sokongan Pemasaran Petani Koko pada awal 2010 bertujuan membantu memasarkan biji koko kering kumpulan petani. 

Antara objeknya adalah memastikan petani mendapat harga yang berpatutan dengan kualiti biji koko kering yang dikeluarkan dalam negara dan mewujudkan rantaian pembekalan biji koko yang bersepadu di dalam negara. 


FAEDAH YANG DIPEROLEH

a) Petani: Meningkatkan pendapatan petani koko yang lumayan dan mendapatkan harga biji koko kering dari pembeli yang berpatutan berdasarkan gred SMC. 

b) Peniaga: Mendapat sumber biji koko kering yang berkualiti dan menawarkan harga biji koko kering yang berpatutan kepada petani berdasarkan gred SMC. 

c) Industri koko: Meningkatkan tanaman koko yang lestari di dalam negara dan meningkatkan pengeluaran biji koko kering dalam negara untuk mengurangkan pengimportan biji koko luar negara. 


PROGRAM KOKO UNTUK RAKYAT

Program Koko Untuk Rakyat telah dilancarkan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Tan Sri Bernard Dompok, di Penampang, Sabah. Sempena majlis tersebut, sebanyak lebih 1,000 anak pokok koko telah diedarkan kepada wakil-wakil pejabat kerajaan; sekolah-sekolah; persatuan-persatuan dan individu. Program ini menggalakkan tanaman koko di sekeliling rumah, pejabat, sekolah dan taman rekreasi. Objektif program Koko Untuk Rakyat adalah meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai tanaman koko dan seterusnya meningkatkan keluasan dan pengeluaran biji koko Negara. 

Malaysia kini menduduki tangga kelima di antara negara pengisar koko utama dunia dan terbesar di kalangan negara Asia-Oceania. 

Oleh itu, menerusi memperkenalkan program Koko Untuk Rakyat, LKM sebenarnya memperlihatkan usaha positif dalam menyokong perkembangan industri hiliran, selain program ini sebagai salah satu pendekatan tambahan kepada program-program peluasan kawasan utama sedia ada. 

Objektif Koko Untuk Rakyat ini adalah bagi meningkatkan pengeluaran biji koko; sumber pendapatan sampingan keluarga; meningkatkan kesedaran mengenai tanaman koko; dan memaksimumkan penggunaan tanah dan sebagai tanaman landskap bagi menyahut seruan global terhadap kehijauan bumi (greening the earth). 


Sumber: Lembaga Koko Malaysia & Bernama