TAHUN antara 2009 hingga 2011 boleh dianggap sebagai era kegemilangan bola sepak negara.
 
Tidak keterlaluan untuk mengatakan tiga kejuaraan yang dimenangi skuad Harimau Malaya sepanjang tempoh itu mengatasi prestasi skuad kebangsaan negara yang mampu bermegah dengan kelayakan ke Sukan Olimpik 1972 di Munich dan Olimpik 1980 di Moscow. 
 
Walaupun kejuaraan tidaklah sebesar mana, tetapi tiga kejuaraan, iaitu dua pingat emas Sukan Sea (Harimau Muda) secara berturut-turut dan Piala AFF Suzuki mampu mengubati luka yang tercalar sekian lama.
 
Penantian 20 tahun bukanlah tempoh singkat, tetapi untuk memenangi pingat emas dua Sukan Sea berturut-turut suatu penantian yang berbaloi kerana sebelum temasya bermula, skuad diramal akan tersingkir awal.
 
Sudah pasti legenda bola sepak negara seperti Allahyarham Mokhtar Dahari berserta pemain seangkatannya jika masih hidup, akan berasa bangga dengan kejayaan anak-anak buah Ong Kim Swee dan K Rajagobal. Manakala anak-anak buah Kim Swee dan Rajagobal boleh berbangga kerana tidak menghampakan legenda-legenda bola sepak negara.
 
Kemampuan pertahankan pingat emas Sukan Sea yang dimenangi pada 2009 di Indonesia baru-baru ini dan merangkul Piala AFF Suzuki membuktikan kepada pengkritik, bahawa masa depan sukan bola sepak negara masih ada sinarnya, tidaklah seperti apa yang digambarkan oleh pihak-pihak tertentu sebelum ini.
 
Ia juga menghantar satu mesej yang cukup kuat kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bahawa pasukan kebangsaan utama yang sedia ada sekarang tidak harus dipecahkan atau dibiarkan begitu sahaja.
 
Skuad Harimau Malaya jadi skuad utama, manakala skuad Harimau Muda bawah 23 tahun sebagai skuad simpanan yang boleh dipertanggungjawabkan untuk menggantikan skuad senior jika keadaan memerlukan.
Untuk memastikan skuad ini terus mantap dan berdaya saing, perlu ada penjagaan, asuhan dan keserasian yang perlu diperkukuhkan setiap masa. 
 
Justeru, sudah tiba masanya FAM tidak terlalu kerap menggantikan jurulatih sekiranya sesuatu keputusan tidak memihak kepada mereka. Mereka harus mengambil model dari kelab Manchester United yang mana pengurus dan jurulatih diberikan masa mencukupi untuk membentuk sebuah pasukan digeruni masa kini. Kesudahannya, anda dapat saksikan dengan mata sendiri.
 
Sesungguhnya, skuad bola sepak negara yang kita ada sekarang mampu mara lebih jauh selepas ini jika berupaya meneruskan prestasi konsisten mereka dan tidak mudah alpa. Khairul Fahmi dan pasukannya tidak harus mudah berpuas hati dengan pencapaian sedia ada kerana pencapaian cemerlang di rantau Asia Tenggara hanyalah satu permulaan.
 
Tiada gunanya skuad bola sepak negara hanya bergelar jaguh di rantau sendiri tetapi di peringkat dunia, kita pasukan belasahan. Inilah yang harus diubah jika Malaysia mahu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan pasukan handalan dunia lain. Kedudukan ke-151 dunia dalam senarai FIFA ketika ini bermakna skuad bola sepak negara perlu melipatgandakan usaha jika mahu mengatasi ranking paling tinggi pernah dicapai pada Ogos 1993 iaitu pada kedudukan ke-75. 
 
Skuad bola sepak negara tidak hanya boleh bergantung kepada kelibat Safee Sali atau Khairul Fahmi untuk menunjangi pasukan berkenaan kerana untuk mara lebih jauh, pasukan tersebut perlu bergerak secara kolektif.
 
Meskipun peluang untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2012 di London dilihat agak tipis kerana kalah kepada Jepun, Syria dan Bahrain, skuad negara harus guna kejayaan di Sukan Sea baru-baru ini untuk mengukuhkan cengkamannya sebagai pasukan terunggul di rantau Asia Tenggara. Selepas berjaya menakluki Asia Tenggara, barulah memasang impian untuk menguasai rantau Asia.
 
Mungkin impian itu kelihatan agak idealistik, tetapi bola itu bulat. Segalanya adalah mungkin….
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.