$entry.content.caption.value
Peluang mengikuti program Kembara Muslim di China anjuran Radio Internasional China (CRI) baru-baru ini memberi ruang kepada penulis meninjau masyarakat di China yang kepadatan penduduknya mencecah 1.4 bilion.
Kedudukan geografi Kashgar yang bersempadan dengan lapan negara seperti Afganistan, Turmenikistan, Krgystan, Pakistan dan Kazakhstan memberi keunikan yang berbeza terutama pada bentuk fizikal dan raut wajah mereka yang jauh berbeza dengan kaum majoriti, Han.
Ketika menjejak kaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Diwobao, Kashgar, penulis rasakan seperti bukan berada di China, sebaliknya di Rusia atau Asia Barat apabila melihat warna kulit, bentuk mata dan wajah mereka yang iras masyarakat Arab, Turki, Iran mahupun Afghanistan. Malah pemakaian tudung dalam kalangan wanita di sana juga hampir menyerupai wanita Turki.
Berkepadatan penduduk seramai 4.0 juta orang, 90 peratus penduduk Kashgar yang majoritinya dari Etnik Uygur adalah beragama Islam. Tidak hairanlah senibina, pakaian dan makanan di sini dipengaruhi etnik Uygur selain terdapat campuran pengaruh dari Asia Barat seperti negara-negara Arab dan Turki.
Mempunyai bahasa dan tulisannya sendiri, nama Uygur ditetapkan sebagai nama rasmi etnik itu sejak 1935. Bentuk tulisannya berakarkan daripada aksara Arab yang jelas membuktikan betapa kuatnya pengaruh Islam di sini yang menjadi satu daripada laluan terpenting pedagang Arab ke China melalui laluan sutera satu ketika dahulu.
Melihat papan tanda jalan, bangunan pejabat di sini, kebanyakannya memaparkan tiga bentuk tulisan, iaitu tulisan Uygur di atas, diikuti tulisan Mandarin dan tulisan rumi paling bawah.
Terkenal dengan buah-buahan segar seperti anggur dan tembikai, menjadikan Kashgar dikenali sebagai pusat buah-buahan untuk pasaran tempatan dan seluruh China. Selain itu, etnik Uygur juga cukup terkenal dengan seni budayanya terutama tarian dan nyanyian.
Difahamkan sejak dari kecil kanak-kanak dan wanita Uygur didedahkan dengan tarian dan mereka akan menari mengikut rentak muzik tradisi yang turut dipengaruhi muzik timur tengah. Makanan di sini segalanya berasaskan kambing seperti kebab kambing, nasi yang berisikan daging kambing, sup kambing dan pelbagai lagi.
Roti naan yang menjadi makanan wajib di sini tidak jauh bezanya terutama dari segi rasa dengan roti naan yang terdapat di Malaysia, cuma ia lebih garing dan boleh disimpan sehingga tiga bulan.
MASYARAKAT MUSLIM KASHGAR
Islam telah berakar umbi di Kashgar semenjak tahun 627 Masehi. Pembinaan lebih 5,000 masjid di sekitar Kashgar membuktikan masyarakat di sini masih kukuh pegangan agamanya. Tidak sukar untuk mengenali lelaki Uygur di sini. Jika di Malaysia, kopiah menjadi penutup kepala, namun di sini mereka bersongkok berbucu empat yang menjadi identiti etnik itu.
Mereka mudah mesra. Apabila diberi salam, nampak kemesraan pada raut wajah umpama menyambut satu talian persaudaraan baru. Walaupun kebanyakan mereka kurang fasih berbahasa Mandarin apatah lagi bahasa Inggeris, namun mereka faham apabila penulis menyatakan ‘Muslim’ kepada mereka.
Mereka bertanya, penulis dari negara mana dan apabila menyatakan dari Malaysia, mereka terus tersenyum dan memberikan salam sambil berkata “subhanallah” yang bermaksud maha suci ALLAH SWT.
Masyarakat di sini hidup sederhana dan kebanyakan kaum lelaki menjalankan aktiviti pertanian sebagai punca pendapatan selain aktif dalam perniagaan, manakala wanita hanya di rumah menguruskan keluarga.
Penulis mengunjungi sebuah masjid paling terkenal di Kashgar, Masjid Eidgah yang dibina pada zaman Dinasti Mingiaitu pada 862 Hijrah atau 1442 Masehi.
Menjadi antara 10 masjid lama paling terkenal di dunia, reka bentuk Masjid Eidgah menggabungkanunsur dan gaya pembinaan masyarakat Uygur pada bangunan utama untuk ruang solat, bilik kelas agama, kubah, menara dan pintu utama masjid.
Semenjak 1955, iaitu apabila kerajaan wilayah Autonomi Uygur Xinjiang dibentuk, masjid ini telah beberapa kali dibaiki pulih dan pada 1962 diwartakan sebagai warisan Islam serta tapak warisan sejarah pada 25 Julai tahun ini.
Masjid ini juga adalah satu-satunya masjid yang boleh dikunjungi wanita Islam untuk menunaikan ibadat, kerana wanita di sini dilarang ke masjid dan hanya beribadat di rumah.
TABUNG MASJID
Berkeluasan 16,000 meter persegi, Masjid Eidgah dapat menampung jemaah sehingga 100,000 orang setiap kali solat sunat Aidilfitri dan Aidiladha. Bayangkan betapa luasnya kawasan masjid ini dan ketika rombongan media ke sini , masyarakat sekitar sedang sibuk membuat persiapan hari raya Qurban yang akan disambut tiga hari kemudian.
Menurut Imam masjid Eidgah, Hilama, 50, masyarakat di Kashgar akan bercuti selama tiga hari bagi membolehkan mereka melakukan ibadah korban.
Ibadah korban biasanya dilakukan di rumah masing-masing dan hanya kulit binatang sembelihan seperti kulit kambing akan disedekahkan kepada masjid sebagai sumbangan kepada tabung masjid.
Penulis melihat sendiri kemeriahan di bazar Kashgar yang mempunyai kira-kira 6,000 kedai yang menyediakan pelbagai jenis barangan termasuk pakaian, barang hiasan, buah-buahan dan rempah ratus. Pendek kata 1,001jenis barang ada dijual di sini yang dibuka dari pukul 10.30 pagi hingga 9.30 malam.
Kaum lelaki pula, berkumpul di beberapa kawasan lapang sekitar bandar Kashgar sambil membawa binatang ternakan mereka terutama kambing untuk dijual kepada mereka yang ingin melakukan ibadah korban. Di Jalan Guza, kami melihat urusan jual beli kambing di satu kawasan lapang yang dibuka selama tiga hari sebelum hari raya Qurban.
Ada yang datang sejauh 40 kilometer membawa kambing masing-masing untuk dijual di sini dengan harga antara 2,500 yuan dan 3,500 yuan, mengikut jenis dan saiz kambing.
Uniknya urus niaga yang dijalankan di sini dibuat secara tradisonal di mana peniaga menggunakan isyarat tangan bagi menetapkan harga dan pembeli pula akan berbisik ke telinga peniaga, sama ada setuju atau tidak dengan harga yang ditetapkan sehingga mereka dapat mencapai kesepakatan harga. Itulah antara keunikan masyarakat Islam Uygur.




