MASALAH ketidaksuburan adalah masalah biasa kerana ianya melibatkan lebih kurang 80 juta populasi di dunia. Ia dianggarkan bahawa kira-kira 15 peratus pasangan tidak dapat hamil pada akhir tahun kedua bersuami-isteri.

Dalam enam pasangan yang mempunyai masalah ketidaksuburan, dua daripadanya berpunca daripada kaum wanita, dua daripada lelaki manakala dua lagi merupakan gabungan lelaki dan wanita.

Kesuburan seseorang lelaki itu bergantung sepenuhnya kepada satu faktor sahaja, iaitu sperma yang dihasilkan olehnya.

Analisis Sperma

Analisis sperma adalah salah satu pemeriksaan awal yang harus dilakukan apabila ingin mengenalpasti punca ketidaksuburan.

Dengan pemeriksaan analisis sperma, seseorang pasangan boleh mengetahui volume jumlah sperma, bentuk (morfologi), pencairannya (likuifaksi), jumlah sel sperma per milliliter (mml), gerakan sperma (motilitas), PH, jumlah sel darah putih (leukosit), dan kadar fruktosanya (gula).

Ada juga terdapat sperma-sperma yang tidak normal, seperti pergerakan dalam bentuk bulatan sahaja, sperma berkepala dua, sperma berekor dua, sperma berkepala besar dan sebagainya. Sperma-sperma seperti ini diklasifikasi sebagai sperma ‘Teratozoospermia’, iaitu kelainan pada bentuk atau morfologi.

Seringkali, kaum lelaki tidak akan ketahui kesihatan kadar spermanya sehingga ujian Analisa Sperma dijalankan.

Masalah Tiada Sperma

Masalah 'tiada' sperma atau dikenali sebagai ‘Azoospermia’, ialah sel spermatozoa/ benih tidak terkandung di dalam air mani (semen). Ejakulasi akan kelihatan seperti biasa tetapi apabila diperiksa di bawah mikroskop, tidak terdapat bilangan sperma.

Azoospermia secara umumnya boleh disebabkan oleh kerosakan pada kilang sperma / kantung testis, atau juga akibat penyumbatan di dalam saluran tempat keluarnya sperma. Ia juga boleh disebabkan oleh kecederaan, jangkitan atau pembedahan seperti vasektomi.

Pembedahan boleh dilakukan untuk membaiki tiub sperma yang tersumbat.

Faktor – Faktor Ketidaksuburan Lelaki Yang Lain

Selain daripada punca umum (sperma), terdapat juga faktor yang mempengaruhi ketidaksuburan lelaki.

Antaranya ialah :

- Crytorchidism (ketiadaan satu atau kedua-dua testis dari skrotum. Ia adalah kecacatan kelahiran yang paling biasa pada anatomi kemaluan lelaki)

- Kemoterapi atau sinaran radioterapi

- Sejarah penyakit beguk

- Pendedahan kepada bahan toksin

- Pembedahan zakar

- Pembaikan hernia

- Kecacatan Reproduktif (ketiadaan vas deferens)

- Persekitaran bekerja seperti racun perosak, logam berat, bahan kimia toksik dan radiasi

Tahukah Anda?

Sperma memerlukan masa 3 bulan dari proses penghasilan sehingga ke tahap matang.

Hormon

Wanita sering dikatakan mempunyai masalah tidak subur berpunca daripada gangguan hormon, namun juga dengan kaum lelaki.

Jika hormon pembebasan Gonadotropin (GnRH) yang dibebaskan daripada kelenjar Pitutuari tidak mencukupi, ia tidak dapat merangsang testis untuk menghasilkan sperma. Ia juga mejejaskan kematangan sperma.

Gangguan pada hormon sering dilihat berlaku pada mereka yang mengambil ubat ‘steroid’ dalam jangka masa panjang. Sebuah contoh yang baik adalah kaum lelaki yang mengambil suntikan hormon testosteron untuk 'membina badan' atau mereka yang menggunakan testosteron untuk meningkatkan libido mereka.

Penggunaan steroid berpanjangan akan menyebabkan testosteron tidak dapat dihasilkan lalu membuatkan organ testis mengecut.

Faktor Gaya Hidup Yang Mengakibatkan Ketidaksuburan Kaum Lelaki

Selain daripada masalah genetik ataupun masalah sperma itu sendiri, gaya hidup seseorang lelaki pun memainkan peranan penting.

- Memakai pakaian ketat seperti seluar dalam yang keta t mengakibatkan penurunan dalam jumlah sperma kerana testis sentiasa berada dalam keadaan panas

- Kerap menggunakan ‘sauna’ atau ‘ steam room’ di gim

- Selalu meletakkan komputer riba di riba turut mengurangkan jumlah sperma kerana haba yang dihasilkan

- Pengambilan dadah rekreasi

- Ubat-ubatan yang mengganggu pengeluaran sperma seperti ubat darah tinggi iaitu calcium channel blocker atau ubat kulat

- Pengunaan narkotin dari rokok biasa atau vape

- Minuman beralkohol

- Obesiti

- Tekanan emosi, rasa bimbang, kurang tidur dan tahap aktiviti senaman

Keadaan Zakar

Jika bukan hormon atau sperma yang menjadi punca ketidaksuburan, masalah lain mungkin berpunca daripada keadaan zakar yang bermasalah.

Ketiadaan ‘vas deferens’ (tiub panjang yang menyalurkan sperma), menyebabkan sperma tidak boleh keluar melalui pancutan air mani. Ini menyebabkan air mani tidak mengandungi sperma

langsung apabila dianalisis. Selain itu, masalah vas deferens tersumbat juga menyebabkan air mani tidak dapat disalurkan. Namun, ini dapat diatasi melalui pembedahan,  pengambilan ubat dan biopsi.

Vas deferens yang tersumbat juga mungkin berpunca daripada penyakit kelamin atau tibi.

Gangguan seks

Masalah seks seperti mati pucuk atau ejakulasi awal adalah perkara yang biasa berlaku. Ini biasanya  disebabkan tekanan, pengambilan ubat antidepresan, masalah tekanan darah tinggi atau berlebihan kolesterol.

Rawatan

Setiap pasangan yang sudah setahun berkahwin atau enam bulan bagi mereka berusia 35 tahun ke atas yang masih belum mendapat zuriat, dinasihatkan berjumpa dengan pakar segera.

Pakar ginekologi akan memeriksa sistem reproduktif wanita dan lelaki pula akan dirujuk dengan pakar urologi.

Doktor selalunya menasihati pesakit terus menjalani rawatan kesuburan seperti IVF dan ‘Intrauterine insemination’ (IUI) dengan meletakkan sperma terus di dalam rahim wanita untuk memudahkan persenyawaan. Matlamat IUI adalah untuk meningkatkan jumlah sperma yang sampai ke tiub fallopio dan seterusnya meningkatkan peluang persenyawaan.

Faktor masa penting dalam proses rawatan kesuburan. Jangan tunggu lama untuk berjumpa pakar, kerana semakin lama ditunggu, semakin lambat membetulkan apa yang perlu.  

Wanita pula, semakin berusia semakin berkurangan telur yang akan dihasilkan. Kaum wanita dilahirkan dengan telur, jadi semakin usianya meningkat, begitulah usia telurnya juga.

Jika masalah didapati di dalam sperma, doktor akan memberikan ubat-ubatan bagi membantu penghasilan jumlah sperma.

Jika vas deferens tersumbat, doktor akan melakukan pembedahan dan membaiki saluran tersebut.

Bagi masalah ketiadaan vas deferens pula, doktor akan melakukan pembedahan mengeluarkan sperma lalu melakukan proses persenyawaan seperti IUI atau IVF.

Perubahan Yang Anda Boleh Lakukan

- Tingkatkan imuniti

- Tahap imuniti seseorang menurun akibat daripada kekurangan nutrisi-nutrisi yang penting. Ambil vitamin tambahan untuk membekalkan semua nutrisi yang diperlukan tubuh.

- Elakkan makanan ringan

- Makanan ringan mengandungi banyak bahan pewarna dan perisa yang boleh mengakibatkan kegemukan dan obesiti. Cuba mengekalkan diet yang seimbang dan sihat.

- Amalkan gaya hidup sihat

- Elakkan daripada merokok dan mengambil minuman beralkohol bagi memastikan badan sentiasa sihat dan tidak terdedah kepada ketidaksuburan

- Senaman yang sesuai

- Amalkan senaman yg sesuai mengikut usia untuk memastikan tubuh dalam keadaan sihat dan bertenaga.

- Elakkan Stress

- Individu yang sering stress, cenderung untuk mengalami masalah kesuburan.

- Akhir sekali, pengambilan vitamin dan supplemen

Vitamin dan supplemen berikut memainkan peranan penting dalam pembentukan dan mengekalkan sperma yang sihat. Antaranya ialah :

-    Vitamin A

-    Vitamin C (dalam kandungan tinggi, sebanyak 750mg sehari)

-    Vitamin D

-    Vitamin E

-    Iodin

-    Selenium

-    Zat besi

-    Zink

-    DHA, EPA dan Omega-3

Dr Eeson Sinthamoney, Pakar Obxtetrik, Gonekologi & Pakar Fertiliti

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.