• MRTC bernaung di bawah NATC dan ditubuhkan bagi melahirkan pekerja yang berkemahiran dalam industri pengeluaran padi. MRTC bernaung di bawah NATC dan ditubuhkan bagi melahirkan pekerja yang berkemahiran dalam industri pengeluaran padi.
1 /

Penubuhan Estet Padi haruslah mencapai sasaran yang telah ditetapkan. Sehubungan itu, bagi memantapkan lagi dan menambahkan kecekapan dalam pengurusan Estet Padi, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melalui Pelan Strategik Hala Tuju Agromakanan Negara 2012-2020, mengarahkan Majlis Latihan Pertanian Kebangsaan (NAT C).

NAT C telah ditugaskan untuk melatih belia supaya menjadi usahawan dan pekerja mahir yang akan menjadi Penyelia dan Pengurus kepada Pengurusan Estet bagi meneruskan kesinambungan industri padi negara.

Sehubungan itu, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) mengambil tanggungjawab yang diamanahkan bagi merealisasikan hasrat tersebut dengan menubuhkan Mada Rice Training Center (MRT C).

Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan Mada, Md Zuki Ismail berkata, MRT C bernaung di bawah NAT C dan ditubuhkan bagi melahirkan pekerja yang berkemahiran dalam industri pengeluaran padi.

“Misi utama MRT C ialah mentransformasikan industri padi ke tahap moden, cekap, mapan dan kompetitif, selain mempergiatkan penglibatan peladang dalam keseluruhan rantaian nilai (Total Value Chain) industri padi dan beras.

“Kami juga berusaha memaksimumkan pendapatan peladang melalui pelbagai sumber selain memajukan institusi peladang sebagai entiti yang berdaya maju,” katanya kepada InfoAgro.

Menurutnya, fungsi MRT C adalah sebagai Pusat Kecemerlangan Padi dalam memaju, menggalak, membantu dan mengusahakan pembangunan ekonomi dan sosial dalam Kawasan Muda.

“Kami merancang dan mengusahakan dalam Kawasan Muda apa-apa kemajuan pertanian mengikut sebagai mana yang diperuntukkan kepadanya oleh pihak berkuasa bagi Kedah dan Perlis,” katanya.

Selain itu, katanya, objektif utama penubuhan MRT C ialah melahirkan pekerja mahir ladang padi dan usahawan ladang padi.

“Ini dapat dilakukan dengan mempertingkatkan, melengkapkan anggota dan peladang dengan pengetahuan, kemahiran dan sikap yang bersesuaian melalui program pembangunan sumber manusia yang terancang berteraskan pembangunan kompetensi dan pembelajaran berterusan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut merancang dan melaksana keperluan latihan bagi menyediakan anggota berkelayakan, berkebolehan dan berkompetensi mengikut keperluan semasa ke arah kecemerlangan individu dan organisasi.

“Pusat latihan ini juga diurus dengan baik selain menyediakan kemudahan latihan yang lengkap, efisien dan terkini,” jelasnya.

Dalam pada itu, katanya, selaras dengan objektif utama MRT C, pihaknya turut berhasrat meningkatkan hasil padi ke arah purata 7.6 tan sehektar bagi semusim di seluruh Kawasan Muda menjelang 2015.

“Ini sekali gus dapat meningkatkan pendapatan keluarga tani kepada RM30,000 setahun menjelang 2015,” tambahnya lagi.


Latihan kemahiran

Md Zuki berkata, pada 6 September 2012, program di bawah MRT C telah mendapat Sijil Pentauliahan secara rasmi daripada pihak Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

“MRT C baru sahaja mendaftar masuk 23 pelatih baru yang merupakan perintis kepada program ini dan mereka merupakan peneraju pertama dalam pengajian Sijil Kemahiran Pengeluaran Padi di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, program ini berbentuk latihan kemahiran lebih menekankan latihan praktikal berbanding teori.

“Pelatih akan menjalani tiga tahap Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) iaitu SKM 1 selama enam bulan, SKM2 (enam bulan) dan SKM 3 sebagai Penyelia Ladang Padi selama 12 bulan,” jelasnya.

Tambahnya lagi, program tersebut bertujuan melahirkan peladang muda yang berpengetahuan tinggi dalam sistem pengurusan pertanian moden.

“Pelatih akan didedahkan dengan kemahiran menyelenggarakan jentera pertanian terkini, selain pengajaran berkaitan pengurusan Estet Padi,” katanya.

Menurutnya, program ini mempunyai kokurikulum berkaitan membentuk sikap personaliti, kekuatan jati diri, berfikiran positif dan mempunyai daya saing sebagai seorang usahawan,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Md Zuki mengharapkan setiap pelatih ini akan keluar sebagai Penyelia atau Pengurus yang cekap dan bijak mengambil peluang dalam setiap rantaian nilai industri padi seterusnya menjana pulangan maksima dalam bidang pertanian.


Membentuk modal insan

Sementara itu, Timbalan Pengurus Besar Pertanian Mada, Datuk Roslee Baharom berkata, kemasukan pelatih baru terbabit yang menjalani latihan bagi mendapatkan SKM selama dua tahun di harap dapat membantu membangunkan modal insan dalam sektor pertanian.

Beliau juga berharap 23 pelatih perintis ini dilihat mampu melahirkan generasi kedua dalam perusahaan tanaman padi sekali gus mampu meningkatkan pengeluaran sumber makanan di Malaysia.

“Apabila tamat sesi pengajian kelak, dengan kemahiran yang ada, semua pelatih boleh berkecimpung dalam sektor pertanian seterusnya menjadi penyelia bagi projek Estet Padi Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA ) di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK),” akhirinya.