$entry.content.caption.value
Bagi mereka yang gila kereta sentiasa muncul dengan idea pengubahsuaian yang menarik bagi menyerlahkan kenderaan peribadi ketika pameran mahupun menyertai pertandingan. Menerusi pertandingan, dapat dilihat dunia pengubahsuaian menampilkan kreativiti pemilik kereta.
Kereta klasik mini buatan British ini juga tidak ketinggalan. Menerusi Karnival Karangkraf yang dianjurkan minggu lalu, himpunan kereta mini anjuran Sinar Harian dan Ahza Motorsports menarik perhatian pengunjung menerusi modifikasi yang membabitkan ruang dalaman, bahagian enjin dan penambahan aksesori.
Antara barisan mini yang dipamerkan, terdapat dua jentera yang begitu menarik perhatian penonton iaitu Mini Wagon dan Mini Pick-up. Menurut Khairul Aflah Ali dari Ahza Motorsport, pertandingan Kereta Mini Tercantik itu melibatkan 18 peserta.
“Penilaian dibuat berdasarkan kekemasan pendawaian, kebersihan enjin dan kecantikan modifikasi yang ditampilkan seiring dengan pertandingan yang dianjurkan, iaitu Kereta Mini Tercantik.
“Malah, himpunan kereta klasik mini ini turut mengembalikan kisah lampau selain membuktikan betapa berharganya kereta itu pada abad ini,” katanya.
Bagi pemenang pertama, Mahayon Kassim percubaan pertama menyertai pertandingan tersebut menerusi Mini Cooper keluaran 60-an itu memberi tuah kepada dirinya.
Katanya, untuk kereta mininya yang ketiga itu sahaja beliau sudah melaburkan kira-kira RM40,000.
“Pengubahsuaian melibatkan kira-kira 80 peratus barangan aksesori dan alat ganti diimport dari United Kingdom.
“Bahagian dalaman pula, saya menggunakan 40 peratus kemasan kulit dan barangan baru untuk keselesaan dan kelihatan mewah,” katanya yang turut memiliki Mini Cooper Pick-Up dan Mk V.
Pertandingan itu turut mendapat tajaan utama Hyrax Oil dan pemenang pertama sehingga ketiga membawa pulang minyak Hyrax sintetik, minyak brek dan coolant.
Selain pameran kereta mini, karnival turut digegarkan dengan ngauman 40 buah motosikal Harley Davidson sebagai simbolik penyerahan cek RM3,000 penyumbang utama daripada badan korporat Harley Davidson menerusi Timbalan Presiden Bahagian Pemotoran Kumpulan Motor Naza, Nik Danial Nik Mahmood. Himpunan Harley Davidson itu menjadi salah satu tarikan kepada pengunjung yang ingin melihat dengan lebih dekat.
Penyerahan RM3,000 itu dihulurkan kepada Yayasan Nur Karangkraf, iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan untuk membela nasib wanita teraniaya dan malang yang diwujudkan Kumpulan Media Karangkraf pada tahun 2002.
Tidak ketinggalan Sinar Harian juga turut mempamerkan teknologi pemotoran yang memberi peluang kepada pengunjung merasai dan mendekati kereta lumba terpantas ketika karnival.
Kerjasama bersama R&D Engineering Services itu adalah sebahagian usaha untuk memberi pendidikan tidak formal tentang jentera Formula Satu (F1).
Pertandingan F1 simulator dan pameran kereta F1 itu dapat memberi peluang kepada peminat F1 dan anak kecil merasai sendiri memandu jentera F1.




