MALAYSIA berpendirian teguh mengkritik cadangan Kesatuan Eropah (EU) untuk melarang penggunaan bahan bakar bio berasaskan minyak sawit selepas 2021.

Kita sedang berusaha melobi dan menggunakan jalinan hubungan baik dengan pihak-pihak pemegang taruh di Eropah untuk menangani isu ini.

Saya telah menerangkan pendirian kita dengan jelas bahawa tindakan  EU ini adalah tidak boleh diterima sama sekali.

Ini kerana ia jelas mengancam periuk nasi pekebun kecil sawit kita.  

Kempen digital terbaru 'Faces of Palm Oil' yang diterajui oleh Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan disokong sepenuhnya oleh Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (NASH), FELDA, Lembaga Penyatuan & Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) dan Persatuan Penanam Kelapa Sawit Dayak Sarawak (DOPPA) telah memberi suara dan kekuatan kepada 650,000 pekebun kecil di seluruh Malaysia dan mendapat liputan meluas daripada media-media utama di Eropah.

Pertubuhan-pertubuhan pekebun kecil ini juga telah terlibat secara langsung dalam kempen ini.

Pada 16 Januari 2018 lalu, mereka telah berarak ke Kedutaan EU di  Kuala Lumpur untuk menyerahkan petisyen membantah cadangan larangan berkenaan yang ditandatangani oleh pemimpin-pemimpin mereka.

Salinan petisyen ini juga telah diserahkan kepada wakil-wakil  kedutaan ahli-ahli anggota Kesatuan Eropah pada hari hari yang sama.

Suara-suara ketidakpuasan hati mereka telah terdengar di sepanjang jalan hingga ke Brussels.

Secara keseluruhannya, 3.2 juta rakyat Malaysia - merangkumi pekebun kecil,  keluarga dan anak-anak mereka serta  masyarakat luar bandar bergantung kepada minyak sawit untuk kelangsungan hidup.

Masa depan jutaan sahabat-sahabat kita ini akan terancam secara mendadak jika cadangan larangan ke atas penggunaan bahan bakar bio berasaskan minyak sawit ini dikuatkuasakan kelak.

Penganjuran demonstrasi ini adalah tepat pada masanya kerana sehari selepas  penyerahan petisyen ini, Parlimen EU telah bersidang untuk menyatakan pendiriannya tentang cadangan larangan ini.  

Walaupun pada sesi itu majoriti ahli-ahli Parlimen EU telah mengundi untuk menyokong cadangan larangan ini, jumlah undian yang menyokong telah berkurangan dengan ketara dari 640 yang diperolehi  pada April 2017 lalu kepada 492.

Setidak-tidaknya, ini  merupakan indikator jelas bahawa  demonstrasi oleh pekebun kecil ini dan usaha-usaha kita bukanlah ibarat mencurah air ke daun keladi.

Hujah serta tentangan lantang kita turut mendapat sokongan daripada beberapa ahli-ahli Parlimen EU dari Parti Konservatif di United Kingdom yang telah mengundi membantah cadangan larangan ini.

Buktinya, menurut satu kenyataan rasmi yang telah mereka keluarkan, mereka bersepakat 'tidak menyokong pengharaman ke atas minyak sawit yang dilakukan dengan sewenang-wenangnya; dan akan menyebabkan inflasi pada harga makanan dan keruntuhan ekonomi di negara-negara membangun.'

Tidak cukup dengan itu, Daniel Hannan, salah seorang daripada  ahli Parlimen Kesatuan EU, telah mengkritik ahli-ahli Parlimen EU yang menyokong cadangan larangan bersifat diskriminasi ini dalam ucapannya semasa sesi Persidangan Parlimen EU tersebut.

Beliau berkata, “Realitinya, undi ini adalah untuk menjaga kepentingan para pengeluar tanaman biji sesawi di Eropah, khususnya industri bahan bakar bio di Kesatuan Eropah.”

Tambahan lagi,  57 ahli-ahli Parlimen ini dari Parti EPP, parti politik terbesar di Eropah, telah mencadangkan agar larangan terhadap minyak sawit ini dimansuhkan.

Ini menggambarkan sudah ramai antara ahli Parlimen EU yang kini seiring bersama dengan pendirian kukuh kita.  

Jutaan  terima kasih kepada mereka di atas sokongan ini.

Walau bagaimanapun, keputusan undian di peringkat Parlimen EU ini bukanlah sebuah noktah muktamad.

Langkah seterusnya, Parlimen EU masih perlu berunding dengan kerajaan Ahli-Ahli Majlis Menteri Negara-negara EU sebagai langkah susulan untuk menjadikan cadangan larangan ini sebagai undang-undang yang sah dan diiktiraf.

Walau apa pun keputusan mereka nanti, cadangan ini adalah satu ancaman yang nyata kepada kita dan sebuah diskriminasi yang nyata bertentangan dengan semangat perdagangan bebas.

Walaupun ada pihak mereka di Malaysia yang cuba meremeh-remehkan serta sengaja mengelirukan dengan penggunaan jargon teknikal seperti perkataan ‘larangan’, hakikatnya, keputusan rasmi pengundian  daripada Parlimen EU membuktikan sebaliknya, “Ahli-ahli Parlimen Kesatuan Eropah mendesak agar penggunaan bahan bakar bio dari minyak sawit diharamkan bermula dari 2021”.

Ini membuktikan bahawa institusi Parlimen EU bersifat anti-sawit dengan mengharamkan penggunaan bahan bakar bio berasaskan sawit.

Sekiranya EU komited tentang kemampanan, mereka sepatutnya berganding bahu dengan kita untuk mengukuhkan lagi skim Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang mula diterima pakai oleh pekebun kecil sawit di Malaysia.

Ketika ini, kita telah mencapai kemajuan yang baik dengan jumlah kawasan penanaman sawit yang diiktiraf di bawah skim MSPO telah meningkat sebanyak 135 peratus kepada 518,794 hektar pada tahun lepas berbanding 221,322 hektar pada 2016.

Di sini, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pekebun kecil sawit yang menyokong skim MSPO ini.

Bagi pihak Kerajaan Malaysia, kepada 650,000 pekebun kecil di seluruh pelosok negara, Kami Mendengar Rintihan Anda, Kami Bersama Anda, dan Kami Akan Terus Berjuang Untuk Anda.

Usul larangan EU ini adalah satu bentuk ‘apartheid tanaman’.

Ini kerana cadangan larangan ini adalah usaha yang sengaja diada-adakan untuk mengharamkan hasil tanaman yang dikeluarkan di Malaysia, sementara tanaman dihasilkan di Perancis, Jerman, dan negara-negara Kesatuan Eopah yang lain boleh terus diterima dan digunakan sebagai bahan bakar bio.

Ini merupakan satu bentuk diskriminasi yang paling teruk yang pernah dilakukan.

Kerajaan Malaysia sedang melakukan segala-galanya untuk memansuhkan larangan ini: kita  sangat tegas dalam komunikasi dan tindakan kita mengenai isu ini.  

Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga telah mengumumkan bahawa Malaysia tidak akan teragak-agak mengambil tindakan balas terhadap sebarang usaha EU untuk memperkenalkan larangan ke atas penggunaan bahan bakar bio berasaskan minyak sawit.

Bagi pihak Kerajaan Malaysia juga, saya telah menulis kepada semua Menteri Tenaga di  EU tentang pendirian Malaysia mengenai tindakan diskriminasi ini.

Ini akan disusuli dengan pertemuan dengan mereka di Eropah.

Dalam pertemuan ini nanti, kita mesti terus mengingatkan mereka bahawa minyak sawit keluaran Malaysia telah memenuhi piawaian-piawaian ketat yang diperlukan, dan ia telah diperakui sebagai lestari oleh skim-skim kemampanan Eropah yang terkemuka, termasuk Skim  Pensijilan Kelestarian & Karbon Antarabangsa (ISCC) dari Jerman.

Malaysia mengeksport hampir dua juta tan minyak sawit ke  EU pada tahun lepas, iaitu kira-kira 12 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport minyak sawitnya.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 0.6 juta tan digunakan sebagai bahan mentah untuk  menghasilkan biodiesel di sana,  manakala sebanyak 0.215 juta tan biodiesel berasaskan minyak sawit diimport terus dari Malaysia.

EU adalah pembeli kedua terbesar selepas India. Usaha-usaha untuk melindungi eksport minyak sawit kita memerlukan sokongan padu daripada semua pihak; kerajaan, pekebun-pekebun kecil serta industri.

Untuk makluman,  EU adalah pasaran yang besar untuk minyak sawit Malaysia: berbilion ringgit daripada pendapatan ini boleh lesap dalam sekelip mata jika cadangan larangan EU ini menjadi realiti.

Kerajaan Malaysia bertekad untuk memastikan ia akan dimansuhkan.

Tiada apa yang lebih penting daripada kehidupan rakyat Malaysia, hak mereka untuk mengusahakan tanaman sawit, meningkatkan pendapatan dan menyara keluarga mereka.

Kerajaan Malaysia bersama anda, dan  kita akan terus  memberi tekanan kepada Kesatuan Eropah setiap hari untuk menghentikan larangan yang mendiskriminasi dan tidak adil ini.

* Datuk Seri Mah Siew Keong, Menteri Perusahaan Perladangan & Komoditi