KUALA LUMPUR - Kehebatannya menunggang motosikal secara berdiri bukan sahaja meletakkan namanya di Malaysia Book of Record (MBR) malahan mendapat gelaran "King of the Bike" daripada ahli kelab penunggang motosikal tempatan.

Dia juga digelar "Success P.Nada", gelaran yang diberikan oleh sebuah akhbar tamil tempatan yang menyiarkan kisahnya sedikit masa dahulu.

Aksi hebat Nadarajan Periasamy, 49, yang berasal dari Air Hitam, Bahau, Negeri Sembilan membolehkan namanya dicatat dalam Ripley's Believe It Or Not.

Kejayaan demi kejayaan yang dicapainya itu adalah atas ingatan kasih sayang yang tidak terhingga terhadap anak lelaki sulungnya, N.Velu.

Satu impian   

Nadarajan atau nama mesranya "P.Nada" dan anaknya, N.Velu, sepatutnya menjadi gandingan hebat ayah dan anak.

Sehati sejiwa dalam hobi menunggang motosikal, P.Nada dan anaknya aktif menyertai acara menunggang motosikal lasak "motorcross".

Kedua-duanya turut giat berlatih sejak 2005 kerana merancang menyertai pertandingan menunggang motosikal pada 2007.

"Setiap Sabtu dan Ahad kami berlatih menunggang motosikal di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang.

"Kami mempunyai motosikal yang sama, Honda 750 cc. Nombor pendaftaran motosikal saya PBU 21 sementara N.Velu, PPA 21," katanya.

Impian ini bagaimanapun tidak menjadi kenyataan. N.Velu meninggal dunia dalam satu kemalangan motosikal pada 16 Jan 2006. Usianya ketika itu hanya 19 tahun.

Bagi P.Nada, kematian anak lelaki kesayangannya itu bukan sahaja memusnahkan impian tersebut tetapi juga kecintaannya kepada dunia bermotosikal.

"Dia adalah satu-satunya anak lelaki saya. Kami begitu rapat walaupun kerja saya membuatkan kami sekeluarga terpaksa berpindah-randah dari Velu kecil sampailah dia berusia 19 tahun.

"Dunia ini terasa gelap dengan kematiannya," P.Nada memberitahu Bernama dalam satu wawancara di sini baru-baru ini.

Kesan besar

Suara P.Nada masih bergetar dengan nada sedih semasa berkongsi kisah kematian anaknya.Lebih-lebih lagi apabila dia mengenangkan isterinya yang begitu tertekan dengan kematian N.Velu.

"Setahun isteri saya bersedih. Kami bernasib baik ada seorang lagi anak, anak perempuan, namanya N.Nishaanthini," kata P.Nada.

Menurut P.Nada, anaknya belajar di sebuah kolej di Pasir Gudang, Johor dan tinggal bersama sepupunya.

Kemalangan yang meragut nyawanya itu berlaku pada waktu malam ketika dia keluar membeli barang.

"Motosikalnya terlanggar lubang dan dia jatuh. Ada paku tertusuk di belakang kepalanya," cerita P.Nada.

P.Nada berada di Pulau Pinang bersama isteri dan anak perempuannya apabila sepupunya menelefon dan meminta izin untuk menggunakan kad perubatan N.Velu untuk menghantarnya ke hospital.

"Sepupu saya kata N.Velu kemalangan tapi dia tak kata serius dan saya tak perlu datang ke Johor Bahru.

"Tak lama kemudian baru sepupu saya telefon kata N.Velu mahu jumpa saya, emak dan adiknya.

"Sebaik sahaja kami tiba di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, saya hampir pitam melihatkan ramai saudara-mara kami ada di pintu masuk hospital.

Hati saya berdebar-debar, isteri saya pula sudah tiga kali pengsan dan anak perempuan kami pula ketakutan," katanya sambil menambah doktor kemudian menasihatkan supaya isterinya dibawa pulang kerana keadaannya yang lemah.

Menurut P.Nada tatkala dia dibawa masuk ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana anaknya ditempatkan dan kemudian menyentuh tangan anak yang sejuk, di dalam hatinya dia tahu anak kesayangannya itu sudah tiada.

"Doktor masih memberitahu anak saya tak apa-apa. Saya minta doktor bercakap benar, barulah dia panggil beberapa doktor lain dan menjelaskan keadaan anak saya.

"Selepas bercakap dengan doktor saya keluar sekejap dan setengah jam kemudian saya masuk balik berjumpa dengan doktor. Saya kata saya nak derma organ anak saya.

"Doktor terperanjat dan berunding dengan beberapa orang saudara saya. Dia mahu pastikan yang saya tahu apa yang saya cakapkan. Lepas itu doktor berjumpa semula dengan saya," kata P.Nada.

Tidak sia-sia

Kematian yang tidak sia-sia. P.Nada bulat hati membuat keputusan mendermakan organ anaknya dan doktor membedah mengeluarkan dua pasang mata anaknya di samping jantung, paru-paru dan buah pinggang.

Dua bulan selepas itu, dia menerima undangan untuk hadir pada majlis kempen pendermaan organ yang dianjurkan Kelab Lion di Johor Bahru.

"Saya hanya dapat bercakap beberapa patah perkataan sahaja kerana masih sedih dengan kematian anak saya, tambahan apabila saya nampak isteri saya menangis.

"Saya dibawa turun dari pentas dan datang seorang lelaki Melayu memeluk saya. Di mata lelaki itu saya nampak mata anak saya.

"Saya tidak diberitahu siapa penerima organ-organ anak saya tetapi saya yakin lelaki itu menerima sepasang mata anak saya. Isteri saya juga kata begitu.

"Walaupun anak saya meninggal dunia tetapi dia dapat memberi sumbangan dan dia seakan hidup dalam diri orang lain," katanya.

Bukan setakat mendermakan organ anaknya, P.Nada, isterinya P.Samundeswari dan anak perempuannya juga mengikrarkan organ mereka untuk didermakan selepas kematian mereka.

"Anak saya telah melakukannya, dengan keputusan yang saya buat bagi pihaknya. Sekarang giliran saya untuk melakukannya," jelas P.Nada mengenai keputusan menjadi penderma organ.

Bangkit semula

Kehilangan N.Velu sememangnya memberi kesan yang berat ke atas P.Nada. Dia yang menunggang motosikal sejak usia 15 tahun berhenti daripada menunggang motosikal selepas kematian anaknya.

"Lepas kemalangan yang meragut nyawa anak saya, saya tak berani menunggang motosikal walaupun motor kapcai," katanya.

Lebih sebulan selepas anaknya meninggal dunia, P.Nada memberitahu dia bermimpikan anaknya yang memberikannya semangat baru.

"Saya ada buat sembahyang untuk anak saya dan pada akhir 30 hari, saya mimpikan anak saya. Dia minta saya jangan bersedih dan meminta saya meneruskan apa yang telah kami rancang sebelum kematiannya.

"Walaupun begitu saya tak boleh teruskan rancangan kerana pertandingan itu mensyaratkan penyertaan ayah dan anak lelaki menggunakan dua motosikal," jelas P.Nada.

Dia kemudian menjual motosikal miliknya dan anaknya. Sebagai ganti P.Nada membeli motosikal model Honda Gold Wing 1500 cc.

Pada permulaannya, dia menyimpan motosikal tersebut di rumah kawannya dan hanya menggunakannya pada Sabtu dan Ahad untuk berlatih di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang.

Tiga bulan dia secara bersembunyi berlatih menunggang motosikal besarnya kerana tidak mahu isterinya bimbang dan marah.

"Isteri saya dapat tahu juga apabila diberitahu seorang kawan. Dia marah tetapi saya tetap teruskan juga rutin saya dan bertekad mahu mencipta sesuatu dengan menunggang motosikal.

"Saya menulis kepada Malaysia Book of Record (MBOR) pada 2007 tetapi ditolak. Mereka anggap apa yang saya hendak lakukan tak lebih sebagai aksi lagak ngeri," jelasnya.

Terus bersemangat

Tidak patah semangat. Secara tidak rasmi P.Nada meneruskan rancangannya pada 2006 iaitu menunggang motosikal secara berdiri dari Seberang Perai (Pulau Pinang) ke Batu Caves (Selangor) ke Maran (Pahang) dan balik semula ke Seberang Prai.

Selepas usahanya dan berbekalkan keratan akhbar, dia mencuba sekali lagi memohon kepada MBOR supaya percubaannya menunggang motosikal secara berdiri dapat diiktiraf dan dimasukkan ke MBOR.

Sekali lagi permohonannya ditolak!

Nasib kemudian menyebelahi P.Nada apabila dia menyertai Jelajah Merdeka 2006 yang keseluruhannya mengambil masa 21 hari iaitu meliputi Sabah, Sarawak, Brunei Darussalam dan Kalimantan, Indonesia.

"Datuk Yazid Othman, Presiden Persatuan Wartawan Melayu Malaysia pelawa saya menyertai Jelajah tersebut iaitu projek Kembara 1Malaysia.

"Aksi saya menunggang motosikal secara berdiri selama 21 hari menarik perhatian Yazid. Beliau beritahu akan menemui Datuk Danny Ooi dari MBOR.

"MBOR kemudian menyuruh saya memohon sekali. Masa itu tahap keyakinan diri saya cukup tinggi kerana saya telah melakukan tunggangan secara berdiri itu sebanyak dua kali walaupun tidak rasmi," jelasya.

Cipta rekod  

P.Nada mencipta rekod MBOR pertama pada 15 September 2007. Rekod tersebut adalah untuk "Menunggang Motosikal Paling Lama Secara Berdiri dengan Honda Gold Wing 1500cc."

Tunggangan bermula dari Gelang Patah, Johor sehingga ke Bukit Kayu Hitam melalui Lebuh Raya Utara-Selatan dengan jarak sejauh 933km.

Beliau mengambil masa sekitar 10 jam 45 minit untuk menghabiskan tunggangan tersebut.

"Anak saya N.Velu adalah inspirasi kejayaan saya ini. Sebenarnya dia yang merancang untuk menghasilkan rekod baru MBOR ini bersama dengan saya," kata P.Nada yang berusia 44 ketika mencipta rekod tersebut.

Isteri serta anak perempuannya pada mula tidak memberi sokongan terhadap usaha itu tetapi akhirnya menukar fikiran.

"Pada mula mereka ikut konvoi setakat Rawang kemudian tukar fikiran dan tunggu saya di Tol Juru. Mereka ikut sehingga ke Bukit Kayu Hitam.

"Apa yang saya buat diatur secara profesional, ada doktor, ada ahli fisioterapi dan polis pengiring termasuk kereta peronda polis.

"Saya amat berterima kasih kepada polis kerana masa itu bulan puasa dan mereka masih menjalankan tugas," kata P.Nada.

Lagi rekod  

Semangat P.Nada untuk membuat rekod lain terus membara. Rekod kedua dicipta pada 26 Disember 2010.

Rekod tersebut adalah untuk "Tunggangan 12 jam dengan Honda Gold Wing 1500cc" yang berlangsung di Litar Grand Prix Antarabangsa Sepang.

"Dua belas jam tanpa henti, bermula dari jam 6 pagi hingga 6 petang, dengan jumlah 165 pusingan bersamaan 875 kilometer," jelasnya.

Rekod ketiga adalah untuk "Tunggangan Motosikal Secara Berdiri Paling Jauh dari Komtar, Pulau Pinang ke Pattaya, Thailand yang dicatat pada 12 Feb 2011.Ia meliputi jarak sejauh 1,410 kilometer yang disempurnakan dalam masa 18 jam.

Rekod itu diiktraf Ripley's Believe It Or Not" dan untuk pencapaian tersebut beliau diberi pengiktirafan rasmi serta sijil di Muzium Ripley di Pattaya, Thailand.

Rekod berikutnya adalah untuk "Tunggangan Motorsikal Secara Berdiri dari Komtar, Pulau Pinang ke Hua Hin,Thailand yang dibuat pada 2 Dis 2011.

Beri motivasi

Banyak yang telah dilakukan oleh P.Nada dan meskipun usianya akan menjangkau 50 tahun November ini, beliau belum bercadang untuk bersara.

Kalau boleh dia mahu mencipta rekod setiap tahun.Sasaran P.Nada seterusnya ialah untuk mencipta rekod dunia pada 2013 dan dia perlu meningkatkan latihan dan kekal fokus untuk mencapai impiannya itu.

Ingatan terhadap anak lelakinya akan terus membakar semangatnya untuk terus mencipta kejayaan.

Beliau juga mahu membuktikan banyak yang boleh dilakukan dengan motosikal kalau ia digunakan dengan niat yang baik.

"Ada orang kalau fikir motosikal fikir mat rempit. Konsep itu salah dan saya mahu tunjukkan terutama kepada orang muda," katanya.

Dalam kesibukannya juga, P.Nada masih sempat meluangkan masa untuk memberi ceramah motivasi.

Memandangkan kebolehan berbahasa Melayu yang terhad, beliau setakat ini banyak memberi ceramah di sekolah-sekolah Tamil sahaja.

Beliau turut merancang untuk memberi ceramah motivasi kepada pelajar-pelajar universiti.

Sewaktu datang ke Wisma Bernama, motosikal Honda Gold Wing 1800cc P.Nada dipenuhi dengan pelekat 1Malaysia.

Dia berkata tujuan melekatkan 6,000 keping pelekat 1Malaysia itu adalah untuk memberi penghormatan kepada Perdana Menteri Malaysia keenam.Angka '000' melambangkan rakyat yang menyokong semangat "1Malaysia" yang mahu menyatu-padukan masyarakat pelbagai kaum Malaysia.

"Saya membelanjakan RM2,800 dan mengambil masa tiga minggu untuk menampal pelekat ini. Harap saya dapat lakukan sesuatu dengan motosikal saya dalam masa enam bulan ini kerana pelekat mungkin rosak selepas tempoh itu," kata P.Nada. - Bernama