• Kelab kereta lama
1 /

KETIKA ramai anak muda gilakan kenderaan terkini, masih ada yang meminati dan menggunakan kereta model lama sebagai kenderaan masing-masing. Berbangga memiliki kereta lama, akhirnya mereka mewujudkan Kelab Kereta Lama.

Usia kereta yang menyertai KKL adalah berusia di bawah 20 tahun yang rata-ratanya adalah jenama keluaran negara matahari terbit. Model yang sudah pun dihentikan keluarannya ini tentunya sukar untuk mendapatkan alat ganti asli.

Kawasan tumpuan bagi mereka tentunya kedai barangan lusuh untuk mencari alat ganti selain dari laman e-bay. Malah bermula dari situlah ahli-ahli ini bertemu dan menubuhkan KKL yang kini ahlinya sudah pun mencapai 2000 orang.

Presidennya Muhd Shuhaizad Hassan, 29, berkata sejak ditubuhkan pada 2008 KKL menghimpunkan kira-kira 15 jenama kereta antaranya, Mitsubishi, Ford, Subaru, Toyota, Nissan, Volkswagen dan kereta mini keluaran 1960-an hingga awal 1970-an.

“Objektif penubuhan kelab adalah menghimpunkan peminat kereta model lama dalam satu komuniti bertujuan menghargai kepakaran jurutera zaman lampau.

“Selain itu ia juga bertujuan berkongsi minat dan pengetahuan di kalangan ahli sekali gus dapat menyumbang idea dalam usaha mengekalkan kewujudan kereta lama selain mendapatkan alat ganti,” katanya

Lebih mesra dikenali sebagai Ejad dalam kalangan ahli kelab, beliau begitu meminati model keluaran Toyota Dutson sejak dari belajar lagi.

Katanya dirinya tidak pernah tertarik dengan kereta baru di pasaran. Bermula dengan Dutson Sunny 120 terus berubah ke Dutson Skyline 180k dan kini memiliki Bluebird 510.

Dari segi pelaburan, Ejad telah melaburkan hampir RM20,000 untuk mencantikkan Dutson Bluebird kuningnya itu. Walaupun hanya melakukan modifikasi tanpa perubahan besar terhadap kenderaan kerana ingin mengekalkan bentuk asalnya, Ejad berkata seperti warga emas, tentunya kereta lama ini memerlukan perhatian lebih dek kerana usianya.

Katanya lagi, kebanyakkan ahli berusia 18 tahun hingga 50 tahun yang mewarisi kereta lama daripada bapa atau beli sendiri untuk dijadikan kereta seharian atau kereta kedua.

Mengangguk setuju di sebelahnya, Muhammad Firdaus Sa’adon Badri, 25 berkata pemilikan kereta lama memberikan kepuasan kepada mereka walaupun terpaksa berbelanja ribuan ringgit untuk modifikasi.

Katanya berseloroh , “walaupun kereta kami nampak buruk dan lama, sebenarnya duit banyak juga.”

Lebih terkenal dengan panggilan sebagai Bakat, jelasnya jentera Bluebirdnya sendiri untuk enjin sahaja beliau melaburkan sebanyak RM5,000 untuk mengekalkan enjin lama.

“Walaupun pelbagai jenis kereta baru melambak di pasaran, saya memilih kereta lama kerana minat terhadapnya.

“Pemilihan kereta lama bukan saja tahan lasak kerana buatannya asli tetapi juga mudah dikendalikan sebagai sebuah mesin selain nilainya yang begitu tinggi pada masa depan,” kata mahasiswa ini.

Dengan sedikit penambah baik enjin, kita lebih menghargai kereta lama ini dan sedikit mencabar untuk menjaga kondisinya.

Tambahan dengan kesukaran untuk mendapatkan alat ganti.

Katanya, kadang kala untuk memperoleh alat ganti asli bergantung kepada nasib.

“Bila kita dah temui barang yang diinginkan ada yang tawarkan pada harga yang di luar akal, dan ada juga terpaksa ditempah terus dari Jepun mahu pun dicari sekitar kedai barangan lusuh.

“Apabila menyertai kelab ini cukup memberi kelebihan di mana kita boleh bertukar informasi bersama rakan,” katanya.

Sudah menjadi kewajipan, bagi setiap ahli-ahli kelab tentunya program konvoi menjadi agenda penting dalam kelab. Tahun lalu sahaja mereka pernah menganjurkan konvoi yang disertai sebanyak 800 buah kereta ke Port Dickson.

Mengakhiri perbualan, Ejad berkata KKL tidak mengehadkan penyertaan ahli mereka, katanya mereka yang tidak memiliki kereta tetapi meminati kereta lama turut dialu-alukan menyertai KKL.