TUGAS sebagai pemimpin masyarakat setempat yang terdiri daripada pelbagai kaum termasuk Melayu, India dan Cina bukanlah mudah jika tidak mempunyai kesabaran yang tinggi.

Namun bagi N Chandhiran, 46, yang memang mempunyai minat dalam aktiviti kemasyarakatan, cabaran tersebut dianggap sebagai satu tanggungjawab yang patut dilaksanakan sebagai seorang Pengerusi Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) Zon 17, Majlis Perbandaran Kulim.

“Tidak mudah sebenarnya untuk mengajak semua penduduk pelbagai golongan terlibat dalam setiap aktiviti kemasyarakatan dianjurkan.

“Namun kerana minat dan tanggungjawab sebagai pemimpin kawasan setempat saya tidak mudah berputus asa.

"Malah pelbagai pendekatan diambil dalam usaha melibatkan penduduk berbilang kaum dalam setiap program diadakan,” katanya.

Dalam menjalankan tugas diamanahkan, beliau mengakui pernah menerima kecaman daripada penduduk yang tersalah sangka terhadap kunjungan ke rumah dilawatinya.

“Memang selalu kena marah, kena kecam dan dihina oleh masyarakat yang mendakwa kami sebagai pemimpin tak buat kerja, tapi itu tidak mematahkan semangat saya.

“Saya cuba terangkan perkara sebenar sehinggalah mereka faham dan kembali berlembut. Memang sangat mencabar, sekiranya tak ada kesabaran yang tinggi, pergaduhan pun boleh tercetus,” katanya.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, beliau juga berusaha memastikan anak-anak penduduk di kawasan jagaan tidak tercicir dalam pelajaran.

“Saya amat menitik beratkan soal pelajaran, kalau ada yang boleh saya bantu, saya akan cuba sedaya upaya terutama yang tidak mampu untuk bersekolah atau melanjutkan pelajaran.

“Saya akan bantu mereka sebagai pemudah cara atau saya sendiri akan keluarkan elaun JPP untuk membantu setakat termampu,” katanya.

Chandhiran berkata, beliau juga terpaksa berkorban masa terhadap keluarga untuk memastikan segala perancangan dapat dilaksanakan dengan sempurna.

“Saya memang sangat sibuk, keluar pagi balik pula tengah malam. Banyak perkara yang perlu saya selesaikan dari buat kertas kerja, mesyuarat dan berjumpa dengan agensi-agensi kerajaan untuk selesaikan masalah sehingga kadangkala tiada masa dengan keluarga.

“Tapi saya bersyukur keluarga faham dengan kerja dan minat saya ini. Malah mereka juga sering beri semangat dan jadi tulang belakang untuk saya terus jalankan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin masyarakat,” katanya.

Selain itu, Chandhiran turut berbangga hasil usahanya menjaga masyarakat setempat mendapat perhatian kerajaan negeri apabila menerima beberapa pingat bakti.

“Walaupun sebenarnya saya buat semua ini kerana tanggungjawab dan minat, tapi bersyukur ada yang nampak dan yakin dengan saya sehingga menganugerahkan pingat

“Pada 2005, saya dianugerahkan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) dan pada tahun ini satu lagi pingat diberikan kepada saya iaitu Bintang Kebaktian Masyarakat (BKM), selain beberapa lagi anugerah lain termasuk pemimpin terbaik,” katanya.

Beliau tidak menafikan penganugerahan pingat-pingat dan anugerah tersebut sedikit sebanyak mendorongnya untuk terus berkorban dan berusaha menyatupadukan masyarakat dari akar umbi untuk kesejahteraan negara.

“Saya percaya rakyat yang pelbagai kaum ini perlu bersatu padu untuk membina dan memajukan kerajaan, sekali gus meningkatkan ekonomi negara,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.