KEPESATAN pembangunan di Kampung Tanjung, Kuala Terengganu, tidak memadamkan peninggalan sejarah yang masih tersimpan rapi serta tidak kurang hebatnya untuk tatapan generasi akan datang.

Kawasan Tanjung terdiri daripada  beberapa kampung antaranya Kampung Surau Tanjung, Kampung Surau Besar, Kampung Surau Pasir dan Kampung Tanjung Kapur yang merangkumi kawasan berhampiran Hotel Grand Continental hingga ke Kompleks Astaka.

Ketua Bahagian Sejarah Muzium Negeri Terengganu, Azuan Harun berkata, suatu ketika dahulu, kawasan ini pernah menjadi kawasan kubu pertahanan di negeri ini berdasarkan khazanah peninggalan sejarah yang masih ada.

Menurutnya, di kawasan itu terdapat pelbagai jenis meriam yang dibuat dari dalam dan luar negara seperti Sepanyol, Portugis serta meriam buatan dari Tanah Melayu.

Katanya, menurut masyarakat setempat, dikatakan terdapat kira-kira tujuh pucuk meriam di kawasan berkenaan yang dipercayai tertanam sejak sekian lama, ketika era pemerintahan tentera asing di tanah itu suatu masa dahulu.

“Kawasan ini dipercayai salah satu daripada sistem kubu pertahanan yang terdapat di Kuala Terengganu dengan kedudukan selari menghadap laut serta muka kuala dalam menguasai serta melindungi negeri daripada ancaman luar.

“Kubu pertahanan di kawasan ini dikatakan dibina semasa pemerintahan Sultan Terengganu Kedua, Sultan Mansur I (1733-1793),” katanya.

Azuan berkata, berdasarkan kisah yang diceritakan oleh penduduk asal kampung itu, meriam-meriam yang ditemui itu sengaja ditanam ketika era pentadbiran tentera Siam di situ.

Dikatakan, hanya sebahagian kecil penduduk asal kawasan tersebut yang mengetahui peristiwa penanaman meriam di kawasan berkenaan.

“Peristiwa penanaman meriam dikatakan berlaku semasa Terengganu berada dalam pentadbiran tentera Siam pada 1943 hingga 1945. Ketika itu, dikatakan pasukan pemerintah melarang keras semua rakyat yang memiliki senjata.

“Sekiranya didapati memiliki senjata, mereka akan ditangkap akan dihukum oleh pihak tentera pada ketika itu,” katanya.

Azuan berkata, disebabkan takut dengan ugutan dikeluarkan, sebahagian besar masyarakat terutama penduduk kampung di kawasan Tanjung mengambil keputusan menanam pelbagai senjata termasuk meriam yang terdapat berhampiran rumah mereka.

Katanya, meriam itu ditanam dengan cara meletakkan ia di sebelah tapak asal tempat meriam itu terletak sebelum ini.

“Walaupun peristiwa itu telah sekian lama, hanya sebahagian kecil penduduk asal perkampungan tersebut yang mengetahuinya.

“Kini, setelah berlaku rancangan pembangunan yang sedang giat dijalankan oleh kerajaan negeri, maka kawasan itu mula terdedah kembali kepada umum dan membawa kepada penemuan beberapa pucuk meriam yang ditanam,” katanya.

Beliau berkata, penemuan meriam yang merupakan khazanah Kampung Tanjung berlaku pada 1993, 1997 dan 2015.

“Penemuan terdahulu direkodkan oleh Lembaga Muzium Negeri Terengganu iaitu penemuan meriam besar terletak di Kampung Surau Besar, Kuala Terengganu pada  Julai 1993. Ia ditemui tertanam berhampiran telaga rumah penduduk kampung berkenaan.

“Manakala pada tahun yang berikutnya satu lagi meriam yang bersaiz agak kecil sedikit ditemui di Kampung Tanjung Kapur (kini belakang Hotel Grand Continental, Kuala Terengganu) sementara pada 2015, meriam ditemui berhampiran Kompleks Astaka (yang kini dikenali sebagai Emporium Hock Kee Seng) pada jarak kira-kira 100 meter dari muka Kuala Sungai Terengganu,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.