PERTAMA kali menjejakkan kaki ke Kuala Balah, penulis agak terpegun mendengar kisah mengenai Kampung Kuala Balah Lama yang lumpuh akibat banjir hingga akhirnya wujud perkampungan baharu.

Sekali lagi terbit rasa kagum tatkala melihat papan tanda Kampung Tunku Abd Rahman Petra, kerana tidak menyangka jauh di hujung negeri ini terdapat perkampungan sebagaimana nama Perdana Menteri yang pertama.

Perasaan bangga kerana tidak menyangka nama Bapa Kemerdekaan negara itu dinobatkan pada sebuah perkampungan di negeri kelahiran sendiri.

Dalam benak turut mempersoalkan kenapa baharu hari ini mengetahui tentang adanya Kampung Tunku Abd Rahman Petra sedangkan ia sudah wujud begitu lama, sekitar 1960an lagi.

Tidak mahu persoalan terus tinggal persoalan, terus diluahkan perasaan ingin tahu itu kepada Penyelia Mukim Dun Kuala Balah, Rodzi Mohamad dan beberapa penduduk terawal mendiami kawasan tersebut.

Rodzi berkata, kewujudan kampung berkenaan kerana kegigihan Tunku Abdul untuk menggantikan Kampung Kuala Balah Lama yang ditenggelami banjir pada 1967.

Menurutnya, Kampung Kuala Balah Lama kini tidak lagi berpenghuni setelah semua penduduk berpindah ke Kampung Tunku Abd Rahman Petra dan membina penempatan di sini.

Tapak bangunan sekolah di Kampung Kuala Balah Lama menjadi saksi kampung berkenaan pernah dihuni sebelum ini.

Sementara itu, menurut penduduk terawal kampung berkenaan, Drani Mohamad, 88, banjir besar yang menenggelamkan Kampung Kuala Balah Lama pada 1967 menyebabkan penduduk tinggal sehelai sepinggang.

Tragedi itu juga turut mengorbankan enam nyawa penduduk yang sedang berteduh di Klinik Kuala Balah ketika itu.

“Kampung Tunku Abd Rahman Petra sebelum ini merupakan ladang getah, dan ia diteroka untuk dijadikan penempatan,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Syed Daud Syed Othman, 72, berkata, setelah hampir 50 tahun ditinggalkan, Kampung Kuala Balah Lama hanya dijadikan kawasan pertanian.

Menurutnya, tidak ada rumah penduduk dibina di kawasan tersebut biarpun sudah begitu lama tragedi berkenaan berlaku.

“Bagaimanapun, jika ke kampung berkenaan, bangunan sekolah, masjid lama dan pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Balah masih ada, namun agak usang dan terbiar," katanya.

Syed Daud berkata, itu antara kesan-kesan tinggalan tragedi berkenaan yang masih boleh dilihat dan dijadikan bukti kepada generasi baru untuk menyingkap sejarah kampung.

Kini, Kampung Tunku Abd Rahman Petra membangun dengan pesatnya di mana terdapat kira-kira 3,000 penduduk dan ramai darinya adalah merupakan penoreh getah.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BUKIT BETONG - Sebuah rumah tinggalan sejarah zaman kolonial British di Kampung Kelua, Bukit Betong, di sini, kini hanya tinggal kenangan.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.