DIA mahu menjadi orang pertama mengibarkan Jalur Gemilang kerana amat sayangkan negara. Semangat patriotik itu disemai dalam diri Musa Ali, 67, sejak dia berusia 20 tahun.

Peneroka Felda Jengka 2 yang lebih dikenali sebagai Musa teksi itu berkata, sebulan sebelum menyambut kemerdekaan, dia sudah mempersiapkan Jalur Gemilang dan bendera Pahang serta mengibarkannya bermula 1 Ogos, setiap tahun.

"Masuk saja bulan Ogos saya dan isteri akan pasang bendera-bendera itu di sekeliling rumah, kereta dan motosikal sebagai tanda semangat kebangsaan kami sekeluarga.

"Saya dilahirkan di Chenor dengan keluarga berlatar belakang politik. Bapa saya selalu berpesan supaya cintakan negara kerana di sinilah tanah tumpah darah dan merupakan warisan nenek moyang kita.

"Apatah lagi kita selaku bumiputera, sewajarnya perlu mempunyai semangat kenegaraan yang paling tinggi berbanding orang lain," katanya.

Anak jati Pahang yang dilahirkan di Chenor namun dibesarkan di Kampung Pengkalan Baru Batu 5, Terengganu itu mula menduduki peperiksaan Special Malay Class Entrance Examination dan terpilih memasuki sekolah Inggeris, Tengku Ampuan Intan School.

Tahap pendidikannya, menjadikan warga emas ini begitu fasih berbahasa Inggeris.

Selain pernah berkhidmat di Malaysian Rubber Development Corporation, Musa memilih menyertai Felda pada 1978, sebagai peneroka tambahan di Felda Jengka 2.

Selain mengibarkan Jalur Gemilang di bulan kemerdekaan, bapa enam cahayamata ini turut aktif menyertai perarakan kemerdekaan menggunakan motosikal Honda 70 miliknya.

Tahun lalu, dia menyertai perarakan di Kuantan bersama isterinya dan turut menganjurkan aktiviti konvoi merdeka melibatkan belia setempat.

"Pada tahun ini, Insya-ALLAH saya mahu anjurkan konvoi atau perarakan Jalur Gemilang sekali lagi, sama ada sebelum atau selepas Aidiladha.

"Saya turut menyediakan hadiah istimewa untuk pertandingan pasang Jalur Gemilang pada motosikal untuk remaja berusia 20 tahun dan ke bawah, sebagai usaha menanam minat dan kecintaan terhadap negara.

"Saya mahu anak-anak muda mempunyai kesedaran yang tinggi mengenai nilai patriotrisme.

"Sebagai Rakyat Malaysia kita perlu mempunyai semangat yang luar biasa sayang, terhadap negara. Kitalah yang kena mendaulatkan negara," katanya.

Menceritakan pengalamannya menyambut kemerdekaan kali pertama pada 1957, Musa berkata, ketika itu dia baru berusia tujuh tahun.

"Saya masih ingat orang kampung bina sebuah jambatan besar menggunakan kayu. Orang kampung berhimpun ramai-ramai tepi jalan dan duduk di atas jambatan kayu itu untuk bersama-sama melaungkan perkataan keramat Merdeka sebanyak tiga kali.

"Itulah pengalaman yang sangat berharga. Kesusahan dan keperitan ketika penjajahan seakan lenyap selepas laungan merdeka diucapkan. Hanya orang orang tua sahaja yang betul-betul menjiwai apa itu kemerdekaan.

"Sebab itu, saya selalu aktifkan bulan merdeka. Saya mahu anak muda juga seperti saya. Doa saya supaya generasi sekarang tidak hilang jati diri sebagai rakyat Malaysia," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.