GOLONGAN alternatif salaf mengatakan, “Apabila suatu ujian menimpa orang beriman, ia membuktikan keimanan orang itu. Manakala apabila ujian menimpa orang yang zalim, terbuktilah kezaliman dan kesesatan mereka.”

Apabila manusia diduga ALLAH SWT dengan musibah dan kesakitan, sebilangan masyarakat masih melakukan amalan syirik, khurafat, tahayul dan bidaah.

Adakah ruang untuk menganggap ia adalah usaha atau ikhtiar manusia di samping berdoa kepada ALLAH?

Mereka mengatakan ia adalah kaedah alternatif; seperti menggunakan khidmat bomoh, dukun, pawang, tukang ramal yang mana semua itu terlibat dengan kepercayaan syirik, khurafat, tahyul, sihir, dan hal seumpama dengannya.

Dalam Islam, usaha dan kaedah rawatan terbahagi kepada dua: Pertama, melalui kajian saintifik. Hal ini diiktiraf Islam.

Dalam bidang perubatan, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesiapa mengubati orang dan dia tidak mengetahui ilmu kedoktoran, maka dia bertanggungjawab (atas akibat kepada pesakit yang dirawatnya).” (Hasan. Riwayat Abu Daud)

Islam mengiktiraf ilmu sains dan ilmu yang terhasil daripada kajian. Sabda Nabi SAW, “Sesungguhnya ALLAH mencipta penyakit dan ubat, maka berubatlah dan jangan kamu berubat dengan yang haram.” (Hasan. Riwayat Ad-Daulabi dalam Al-Kuna, dari sahabat Abu Dardaa)

Kedua, melalui doa dan jampi (ruqyah). Doa sama ada kita meminta secara langsung daripada ALLAH, atau dengan mendirikan solat kerana solat juga adalah doa. Firman ALLAH, “Dan mintalah pertolongan dengan sabar dan solat”. (Surah Al-Baqarah: 45) Jampi dibenarkan dalam syariat Islam pula adalah bacaan ruqyah yang diajarkan lafaznya oleh Nabi Muhammad SAW dan sahabat dalam hadis sahih, lazimnya digunakan untuk merawat penyakit.

Antara yang masyhur adalah hadis daripada Abu Said Al-Khudri RA dalam Sahih Al-Bukhari apabila beliau meruqyah seorang ketua kampung yang dipatuk oleh haiwan berbisa; ada yang mengatakan ular, ada yang mengatakan kala jengking.

Beliau membaca surah Al-Fatihah dan kemudian meludah angin pada air. Air itu diberikan kepada ketua kampung itu dan dengan izin ALLAH, sakitnya sembuh. Itu yang dipanggil ruqyah. Nabi Muhammad SAW mengiktiraf hal ini dan Baginda SAW turut mengajar kita meruqyah. Namun ruqyah ada prinsipnya:

1. Amalan terbaik adalah pesakit meruqyah diri sendiri, iaitu pesakit membaca ayat ruqyah yang diajar dalam hadis untuk mengubati diri sendiri.

Sabda Nabi Muhammad SAW, antara ciri-ciri orang masuk syurga tanpa hisab adalah orang yang tidak meminta dirinya diruqyah. Hisab maksudnya dihitung amalan baik dan buruknya. Jika dia tidak minta dirinya diruqyah, ini merupakan ciri-ciri orang masuk syurga tanpa hisab.

2. Jika dia tidak tahu cara menjampi (ruqyah), dia boleh merujuk orang berilmu untuk meruqyah. Kalau dia pergi kepada orang yang memakai benda haram seperti rantai (bagi lelaki) dan tangkal, bagaimana kita mempercayainya untuk meruqyah kita? Dibimbangkan orang itu bomoh.

Sabda Nabi Muhammad SAW: “Barang siapa mendatangi dukun atau tukang sihir lalu mempercayai apa yang dikatakannya; maka dia telah kufur terhadap apa yang diturunkan kepada Muhammad SAW.” (Riwayat Al-Bazzar)

Pastikan orang yang hendak meruqyah itu mestilah orang soleh, solat berjamaah di masjid, ahli ibadah, dan jauh daripada kepercayaan, amalan syirik atau khurafat.

3. Pastikan ruqyah yang dibaca merupakan bacaan daripada al-Quran atau sunnah serta mesti dibaca dalam bahasa Arab. Adapun doa permintaan yang khusus, tidak ada masalah di dalam apa jua bahasa yang difahami.

Imam Ibnu Hajr Rahimahullah menyenaraikan syarat rukyah; iaitu doa rukyah mestilah daripada al-Quran dan sunnah sahaja, dan ia tidak berbentuk serapah. Tidak berbentuk serapah maksudnya bacaan setiap perkataan orang yang membaca rukyah itu mestilah jelas. Tidak dibolehkan meletakkan limau mahupun kemenyan. Islam mengajar rukyah hanya dengan air sahaja.


Syirik batalkan amalan

Islam mengajar semua ini kerana bimbang kepada syirik yang membatalkan semua amalan. Rugi solat, puasa, zikir, sedekah, semuanya habis apabila seseorang mensyirikkan ALLAH, kerana dia meletakkan kepercayaan kepada bomoh itu lebih tinggi atau setara dengan kepercayaannya kepada ALLAH.

Walau apa pun alasan diberikan, sama ada ikhtiar atau sekadar mencuba dan hasilnya serah kepada ALLAH, hendaklah kita fahami matlamat tidak menghalalkan cara.

Ini bukan soal cuba, ini soal cara yang kita lakukan itu bertepatan atau tidak dengan syarak dan prinsip akidah Islam. Ini kerana Islam adalah agama amalan, bukan agama simbolik.

Contoh mudah, sebahagian orang Islam meletakkan mushaf al-Quran di bawah bantal, bilik, rumah, kereta untuk menghalau syaitan. Mereka terpengaruh dengan ajaran Kristian yang menggunakan simbol salib, maka mereka menggunakan al-Quran.

Sedangkan syaitan bukan takut dengan mushaf atau lembaran al-Quran, sebaliknya syaitan takut dengan pengamal dan pembaca al-Quran.

Sebab itu kita dapati dalam masjid pun ada orang mencuri tabung masjid.

Di dalam masjid pun ada orang berzina sedangkan terdapat beratus-ratus al-Quran di situ. Jika syaitan tidak masuk masjid sebab takut al-Quran, tidak ada kecurian dan malah masjid tidak perlu dikunci.

Syaitan sendiri pernah mengajar Abu Hurairah RA ayatul Kursiy. Syaitan membacanya dari mula sehingga akhir. Sehingga Nabi Muhammad SAW berkata kepada Abu Hurairah, “Sesungguhnya dia telah jujur kepadamu, padahal dia adalah pendusta.” (Riwayat Bukhari)

Jadi Islam berbeza daripada agama lain. Islam bukan agama simbolik yang bergantung pada kepercayaan seperti menggantung ayat kursi untuk takutkan hantu, letak al-Quran bawah bantal, letak itu, tampal ini.

Tidak, bahkan jika wujud kepercayaan bahawa ia boleh menghindar mudarat, hukumnya sama seperti hukum memakai tangkal yang dilarang dalam agama.

Hakikatnya ajaran Islam bergantung pada amalan orang itu terhadap al-Quran dan mengikuti sunnah Rasulullah SAW. Ulama ahli Sunnah wal Jamaah membahagikan syirik kepada dua; syirik besar dan syirik kecil.

Syirik besar mengeluarkan pelakunya daripada Islam, dan kekal dalam neraka jika tidak bertaubat, manakala syirik kecil secara prinsipnya tidak mengeluarkan pelakunya dari Islam tetapi boleh membawa kepada syirik besar. Penting untuk umat Islam mengenal syirik untuk menjauhinya.


Bahagian syirik

Menurut Syaikh Soleh bin Fauzan Al-Fauzan, syirik besar terbahagi kepada empat: syirik pada niat, syirik pada doa, syirik pada ketaatan, dan syirik pada kecintaan. Saya akan jelaskan satu persatu melalui gambaran umum agar kita faham.

1. Syirik pada niat: iaitu berniat melakukan sesuatu perkara keranaselain ALLAH. Contohnya, menyembelih binatang kerana kubur, bomoh, pemujaan, menghilangkan penyakit, dan seumpamanya. Berlaku dalam masyarakat di mana orang membawa binatang untuk disembelih di tanah perkuburan, sama ada sebagai korban atau nazar untuk mendapatkan sesuatu. Sabda Nabi Muhammad SAW, “ALLAH melaknat sesiapa yang menyembelih untuk selain ALLAH.” (Riwayat Muslim). Ulama sepakat mengatakan ini adalah syirik besar yang membatalkan dan menggugurkan seluruh amal kebaikannya.

Firman ALLAH SWT dalam al-Quran, “Jika kamu syirik, nescaya terhapuslah segala amal (kebaikan) kamu dan kamu termasuk orang-orang yang rugi.” (Surah Al-Zumar: 65)

2. Syirik pada doa: iaitu memohon kepada selain ALLAH. Contohnya pergi ke kubur dan memohon kepada (atau perantaraan) orang soleh, wali atau nabi yang wafat. Itu semua syirik. Kita disuruh meminta pertolongan hanya kepada ALLAH. Adapun meminta kepada orang yang hidup untuk mendoakan kita, itu dianjurkan dalam Islam. Yang dimaksudkan syirik adalah berdoa melalui perantaraan orang mati, binatang, atau benda selain daripada ALLAH SWT.

3. Syirik pada ketaatan; iaitu mentaati manusia dalam perkara yang diharamkan oleh ALLAH. Contohnya mentaati manusia dalam menghalalkan apa yang ALLAH haramkan dan mengharamkan apa yang ALLAH halalkan.

Seorang sahabat yang baru masuk Islam bernama ‘Ady bin Hatim pernah datang kepada Nabi Muhammad SAW dengan memakai salib. Baginda SAW menyuruhnya tanggalkan salib danmembaca firman ALLAH SWT: “Mereka menjadikan orang alim dan rahib mereka sebagai tuhan selain ALLAH” (Surah Al-Taubah: 31). ‘Ady Ibn Hatim RA berkata: “Wahai Rasulullah, kami tidak menyembah paderi kami.”

Rasulullah SAW bersabda, “Bukankah mereka menghalalkan untuk kalian apa yang ALLAH haramkan sehingga kalian pun menghalalkannya, dan mereka mengharamkan apa yang ALLAH halalkan sehingga kalian pun mengharamkannya?”

Dia berkata: “Benar”. Rasulullah SAW bersabda, “Itulah beribadah kepada mereka.” (Sahih. Riwayat Ahmad) Oleh itu apabila kita bersaksi Laailaahaillallaah bererti kita membulatkan segala ketaatan, pengesaan, doa, kecintaan, niat, dan keikhlasan kepada ALLAH semata-mata tanpa menyekutukanNya dengan apa pun. Hendaklah kita mempelajari dan menghayati maksud kalimah tauhid ini agar dapat dipraktikkan dalam dalam kehidupan dan terselamat daripada bahaya kesyirikan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.