$entry.content.caption.value
TERENGGANU – Taman Tamadun Islam (TTI) yang terletak di Pulau Wan Man, Kuala Terengganu merupakan satu-satunya taman tema bercirikan Islam yang pertama di dunia dari segi reka bentuk dan kebudayaannya.
Objektif penubuhannya sebagai satu destinasi pelancongan bertemakan pendidikan dan libur diri (Edutainment), mengetengahkan personaliti, barisan pejuang-pejuang Islam, ahli sains, teknologi dalam taman tamadun Islam serta sebagai pusat penyebaran ilmu.
TTI terbahagi dua zon, Zon A (Taman Monumen) dan Zon B (Taman Awam).
Taman Monumen menempatkan 21 monumen dari seluruh dunia merentasi benua Asia, Eropah dan Afrika. Monumen-monumen berkenaan termasuk Masjid Negara (Malaysia), Masjid Kudus Minar (Indonesia), Masjid Pattani (Thailand), Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin (Brunei), Taj Mahal (India), Masjid Badshahi (Pakistan) Kubbah As Sakhrah/ Dome of The Rock (Palestine), Masjid Besar Samara (Iraq), Masjid Lutfallah (Iran) dan Makam Abu Nasr (Afghanistan).
Terdapat juga Masjidil Haram (Arab Saudi), Kota Aleppo (Syria), Masjid Mohammas Ali (Mesir), Masjid Nabawi, Madina (Arab Saudi), Masjid Sultan Suleyman (Turki), Masjid Besar Qairawan (Tunisia), Kota Al-Hambra (Sepanyol), Menara Kalyan, (Uzbekistan), Masjid Besar Agadez (Nigeria), Masjid Kul Sharif (Rusia) dan Masjid Xian (China).
TTI menyediakan kemudahan pengangkutan dalam Taman Monumen iaitu Tram, Buggy (beserta jurupandu) dan basikal. Tiket masuk RM15 (Dewasa) dan RM8 kanak-kanak.
Di samping itu, terdapat tiga tarikan baru yang kini boleh dilihat di Taman Monumen iaitu pembinaan Monumen ke 22 Masjid Sultan, Singapura, pembinaan Kincir Air dan Masjidil Haram.
Di Zon B - Taman Awam pula, menempatkan beberapa kemudahan, antaranya Pusat Konvensyen TTI, Restoran Bbeteng dan Jeti Tok ku Paloh dan banyak lagi. Pengunjung bebas memilih untuk bersiar-siar menyusuri sungai Terengganu secara santai (Cruising@RM 10) atau menikmati hidangan tradisional di atas bot. (Contoh: Pakej Makan Nasi Dagang Atas (Dining Cruise@RM 25).
Di zon ini juga, dilengkapi Arked Terengganu/Retail Shop yang menjual cenderamata eksklusif seperti T-shirt, topi, beg, rantai kunci dan pelbagai pilihan lain. Juga ada Tasik Pahlawan untuk sewaan Paddle Boat/Kayak/ Water Ball dan sebagai lokasi pertandingan memancing yang diadakan setiap tahun. Turut disediakan 4 unit Rumah Tamu untuk disewa.
Ikon bagi TTI ialah Masjid Kristal yang menjadi mercu tanda baru bagi Kuala Terengganu.
Masjid unik ini diperbuat dari kristal kaca dan besi serta boleh memuatkan hampir 700 orang dalam satu-satu masa. Pelbagai aktiviti di jalankan di sini antaranya, Program Smart Solat, Kuliah Maghrib, Ceramah Agama, Majlis Akad Nikah, Terawih & Qiamullail, Kembara Masjid Kristal dan sebagainya.
TTI sentiasa menawarkan pakej terbaik kepada setiap pengunjung. Terbaru, 'Mudik Sejarah', sebuah program menyusuri sungai Terengganu dari Jeti Tok Ku Paloh TTI ke Kampung Buloh.
TTI turut perkenalkan TTI Privilege Card kepada pengunjung. Keterangan lanjut, hubungi talian 09-627 8888.




