JAUH di negara bergolak, Syria dan Yaman, anak-anak kecil yang tak berdosa, terus menjadi mangsa pengeboman serta kezaliman. Tiada apa lagi yang tinggal untuk mereka.

Mereka terpaksa menempuh Ramadan dan Syawal tanpa bekalan makanan serta air yang sempurna. Tiada lagi tempat perlindungan, malah nyawa turut dirampas.

Di Yaman dan Syria, keadaannya begitu daif, bantuan dari luar sangat terhad. Ditambah pula dengan pelbagai sekatan ke atas negara yang memberi bantuan kemanusiaan.

Keadaan penduduk kampung di Tuhayta, Yaman.

Pekerjaan pula terlalu sukar diperoleh membuatkan mereka tiada wang membeli walau sesuap makanan.

Dek kerana kedaifan itu juga, mereka terpaksa berhimpit dalam sebuah ruang kecil yang diberi nama rumah kerana untuk menyewa rumah, mereka tiada wang.

Di ruang yang sempit itu, duduknya sehingga tiga  keluarga besar. Di ruangan yang sempit itu jugalah mereka menghamparkan ‘tilam’ keras sebagai lapik tidur.

Keadaan rumah di Tuhayta, Yaman.

Lebih teruk lagi di Yaman, warganegaranya bukan sahaja diancam masalah kebuluran yang semakin serius, malah kini berdepan dengan penyakit Chorella.

Ketua Pegawai Eksekutif, Al-I’tisam Relief Program Association (Al-I’tisam) Mohd Shah Sapiei berkata, lebih 17 juta penduduknya diancam kebuluran disebabkan kehancuran akibat peperangan.

Menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), krisis kekurangan makanan di Yaman adalah yang terburuk di dunia.

Bilik uli dan doh.

Sementara itu di Syria, pertempuran di sekitar Damascus menyebabkan kira-kira 300,000 orang awam terperangkap dan terputus sebarang bantuan kemanusiaan.

“Sekiranya bantuan makanan tidak sampai dalam masa terdekat, mereka bakal berdepan krisis kebuluran. Bantuan perubatan juga amat sukar memasuki kawasan bergolak.

“Silap langkah, bantuan mereka pula dirampas kumpulan pemberontak,” katanya.

Keadaan rumah dan kehidupan penduduk di Zabid, Yaman.

Atas dasar kemanusiaan, Al-I’tisam mensasarkan bantuan kepada 500 keluarga yang merupakan mangsa perang dan warga miskin.

Di Syria, bantuan diberikan di sekitar kawasan Damascus, Eastern Ghouta, Western Ghouta, Qalamoun dan Arsal. Manakala di Yaman, bantuan tertumpu di kawasan Zabid, Tuhaytah, Hodeidah dan Sana’a.

Sementara itu, Pengurus Projek Al-I’tisam di Yaman, Ab Hafiz Ab Khalik menceritakan, Yaman tidak pernah sunyi daripada pertelingkahan dan selama 20 tahun warganya hidup menderita silih berganti presiden dan sehingga kini masih tiada jalan penyelesaian.

“Peluang nak mendapatkan makanan dan minuman sangat sukar. Kalau ada air sekali pun belum tentu  boleh diminum.

Di Syria, kanak-kanak turut membantu keluarga mengambil bantuan makanan.

“Ada sesetengah keluarga ini, simpan semula roti yang tidak habis untuk bekalan keesokan harinya.

“Ada pula yang  ‘berpuasa’ selang sehari sebelum mendapat bekalan roti. Selain menyalurkan sumbangan pada kilang roti, kami dalam rangka untuk membuat projek telaga menggunakan sistem solar,” katanya.

Menurutnya, telaga yang ada ketika ini menggunakan minyak diesel.

Untuk membeli minyak, adakala harganya mencecah sehingga tujuh kali ganda. Dengan harga yang terlalu mahal, agak mustahil penduduk boleh membelinya.

“Kita juga dalam proses membangunkan projek kilang roti di Yaman, supaya tiada insan yang kebuluran. Dan berharap projek telaga solar boleh dilaksanakan,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • GEORGETOWN - Lelaki ini mungkin dianggap bertuah kerana masih terselamat sehingga ke hari ini walaupun pernah berjuang ketika Perang Dunia Kedua (WWII).
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.