APABILA cuti umum semakin dekat, pastinya rakyat Malaysia amat gembira menantikan saat tersebut. Tahun Baharu Cina misalnya, akan disambut pada minggu depan dan pasti ramai keluarga telah  melakukan pelbagai rancangan seperti pulang ke kampung halaman atau melancong ke lokasi menarik.

Bagaimanapun, di sebalik keterujaan mereka ini, ada juga yang turut bergembira menanti hari cuti berkenaan.

Ketika majoriti masyarakat bergerak ke lokasi yang dituju, pihak ini pula sedang mengintai peluang melakukan rompakan dengan menjadikan rumah kosong sebagai kawasan sasaran.

Justeru, pelbagai kempen dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan kejadian pecah rumah ketika musim perayaan tidak berlaku.

Selain itu, beberapa badan bukan kerajaan (NGO) juga semakin aktif menjalankan kempen bagi memastikan kejadian tidak diingini tidak berlaku di saat ramai yang sedang bergembira bersama sanak-saudara.

Lakukan langkah pencegahan

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, beliau tidak menolak kemungkinan rompakan boleh berlaku terhadap sesiapa sahaja.

Namun katanya, sekiranya masyarakat melakukan pelbagai langkah pencegahan, peratusan bagi kumpulan perompak untuk pecah masuk rumah begitu minimun.

“Jadi kepada mereka yang akan meninggalkan kediaman pada musim perayaan ini, saya sarankan supaya langkah-langkah ini dilakukan.

“Apabila anda lakukan perkara ini, saya yakin rumah anda dalam keadaan selamat dengan kadar peratusan tinggi,” katanya.

Menurutnya, perkara utama yang mesti dilakukan oleh mereka yang tiada di rumah pada musim perayaan adalah mengurangkan peluang penjenayah untuk pecah masuk ke rumah mereka.

"Antara usaha yang boleh dilakukan adalah memastikan semua pintu rumah dikunci dan tingkap ditutup rapat.

“Jika boleh, pakai mangga kunci berkualiti supaya perompak susah nak buka. Selain itu, jangan letakkan barang atau peralatan yang berpotensi boleh digunakan perompak untuk pecah masuk seperti tangga, gril pintu dan sebagainya,” katanya.

Jangan beri penunjuk tiada di rumah

Lam Thye turut menasihati orang awam supaya tidak memberi penunjuk mereka tidak berada di rumah.

Menurutnya, tindakan seperti meletakkan nota di hadapan rumah boleh membuatkan penjenayah boleh meneka sama ada penghuni sesebuah rumah itu ada di rumah atau sebaliknya.

“Selain itu, penjenayah boleh meneka anda mungkin tidak berada di rumah setelah melihat beberapa naskhah akhbar terbiar di halaman rumah anda.

“Jadi, jangan lakukan perkara ini. Hentikan sementara melanggan akhbar atau minta kedai tidak hantar surat khabar di rumah anda,” katanya.

Beliau turut menasihatkan masyarakat supaya berbaik-baik sesama jiran tetangga supaya mereka dapat meminta bantuan jiran untuk menjenguk rumah mereka.

Katanya, semangat kejiranan yang tinggi dalam sesebuah komuniti perumahan mungkin dapat mengurangkan indeks kecurian di kawasan berkenaan.

“Sekiranya sesebuah kawasan ada organisasi Rukun Tetangga, peratusan gejala kecurian mungkin lebih rendah kerana pencuri mungkin tidak berani melakukan jenayah di kawasan terbabit.

“Oleh itu, saya mengharapkan lebih banyak Rukun Tetangga yang wujud dalam kawasan perumahan di seluruh Malaysia,” katanya.

Maklum kepada polis

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Seri Tajudin Md Isa meminta orang awam supaya memaklumkan ketiadaan mereka sepanjang perayaan Tahun Baharu Cina kepada polis.

Menurutnya, individu yang tiada di rumah boleh mengisi borang maklumat balik kampung yang boleh didapati di balai polis berdekatan atau boleh dimuat turun melalui portal rasmi PDRM.

“Bagi memudahkan orang ramai menyalurkan maklumat mengenai berlakunya sesuatu kejadian jenayah, laporan polis boleh dibuat melalui aplikasi Volunteer Smartphone Petrol (VSP) dalam Sistem Rakan Cop.

“Setiap masyarakat haruslah memainkan peranan penting bagi memastikan persekitaran kita sentiasa selamat,” katanya.