Jelajah supercar berkuasa Shell Helix
$entry.content.caption.value

Bermula jam 8.30 pagi, peserta The Shell Helix Invasion Tour Kuala Lumpur – Penang : The Drive to Protect mula berkumpul di Pusat Kecemerlangan Proton (PCE) Shah Alam pada 10 Disember lalu. Lebih 60 supercar daripada pelbagai jenama terkenal - Porshe, Ferrari, Lamborghini, Lotus, Aston Martin, Maserati dan Nissan GT-R memenuhi kawasan kompleks tersebut.

Program dua hari anjuran Shell Helix, Zerotohundred.com (ZTH), Persatuan Blue Jackets (BJS) dan Lotus Cars Malaysia (Lotus) meneruskan misi penjelajahan kedua ke Pulau Mutiara, setelah menyempurnakan aktiviti yang sama ke Johor Baharu sebelum ini.

Pada kali ini, delegasi seramai 110 orang terdiri daripada pemilik supercar, ahli BJS, pihak Shell Helix dan wakil media.Turut sama sertai program itu ialah Jordan Ng, 25, pemenang pertandingan atas talian portal permotoran, www.zerotohundred.com.

Pengasas BJS, Erwin Azizi memberi taklimat mengenai etika dan keselamatan pemanduan kepada peserta. Keselamatan menjadi keutamaan dalam aktiviti berkonvoi, katanya yang mengasaskan BJS bersama Ray Hong pada 13 Januari lalu.

Pengurus Jualan, Acara dan Operasi Lotus Cars Malaysia, Edward Tan Yu Tho berkata, penajaan sebanyak lima kereta jenis Lotus Evora dan Lotus Exiges bertujuan untuk mempromosikan model tersebut kepada umum.
Pengasas ZTH, Tom Goh berkata pihaknya mengadakan pertandingan atas talian dan pemenangnya berpeluang sertai penjelajahan tersebut.

Tanam pokok bakau

Pengurus Pemasaran Kelompok, Shell Lubricants Selatan Asia Tenggara, Seow Lee Ming berkata melalui ekspedisi tersebut, pemandu boleh merasa keseronokan memandu dengan pecutan kuasa minyak enjin Shell Helix sepanjang perjalanan.

Di samping itu, misi penjelajahan tersebut turut mempromosikan penggunaan minyak enjin yang betul dan cara penjagaan enjin. Dengan diiringi anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), konvoi tersebut berhenti di Stesen Shell Rehat & Rawat (R&R) Tapah untuk mengisi minyak, seterusnya menuju ke Kuala Sungai Acheh, Nibong Tebal.

Di sana, peserta diberi taklimat daripada Pengerusi merangkap Presiden Persatuan Kebajikan Nelayan-Nelayan Pantai Pulau Pinang, Illias Shafie. “Sebanyak 500 anak pokok jenis Bakau Minyak dan Bakau Kurap disediakan. Penanaman bakau itu penting bagi menjaga ekosistem perairan tersebut.”

Destinasi seterusnya ke Batu Ferringhi untuk bermalam di di Hotel Golden Sand dan Hotel Rasa Sayang. Peserta berpeluang makan malam secara bufet dan barbeku di tepi pantai.

Keesokan harinya, peserta diiringi pihak polis, meninggalkan pulau tersebut dengan lancar, meskipun kesesakan jalan raya di sana seperti tiada kesudahan. Apa-apa pun, orang ramai dan pengguna jalan raya dihargai dalam memberi sokongan kepada konvoi kereta esotik terbesar itu.


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.