SUNGAI Perak yang mengalir dari Hulu Perak ke Beting Beras Basah di Bagan Datuk merupakan antara kebanggaan rakyat negeri ini.

Sungai sepanjang 400 kilometer itu mempunyai banyak cerita malah dulunya merupakan sumber pengangkutan utama masyarakat.

Terdapat banyak pulau sepanjang sungai tersebut dan jika di daerah Kuala Kangsar, dua pulau yang paling popular adalah Pulau Semat di Manong dan Pulau Raya.

Baru-baru ini, Sinar Harian berpeluang menjelajah Pulau Raya bagi mencari ‘ibu akar’. Mengikut cerita penduduk, akar yang menjalar di seluruh pulau itu datang dari satu tempat, 'ibu akar'.

Perjalanan bermula dari Kem Lang Buana yang terletak bertentangan dengan pulau itu. Penulis perlu menaiki bot untuk ke pulau tersebut dan akhirnya menjejakkan kaki ke pulau itu pada jam 9.45 pagi.

Permulaannya saja sudah mencabar apabila laluan ke 'ibu akar' dipenuhi lumpur. Baru dua minit menjejakkan kaki di pulau itu, kaki penulis sudah dipenuhi lumpur. Paras betis jugalah.

Siti Norlizawati (kanan) menunjukkan buah dan biji dari petai gergasi yang ditemui dalam hutan itu.

Perjalanan tetap diteruskan meskipun terasa mahu patah balik dan menghentikan misi jelajah itu tetapi semangat untuk melihat sendiri keindahan alam menguatkan semangat penulis.

Menurut pencinta sejarah, Sukarno Abdul Mutalib, 68, Pulau Raya dulunya dikatakan sempadan antara kerajaan Melayu Perak dengan kerajaan Reman.

Katanya, kewujudan pulau itu sudah lama malah ia mungkin lebih lama dari Pulau Semat dan dulunya pulau seluas lebih 40 hektar itu pernah digunakan sebagai padang ragut untuk gajah.

“Bagaimana mendapat nama Pulau Raya? Raya dalam bahasa sanskrit bermaksud besar. Jadi, saya rasa Pulau Raya merupakan pulau terbesar sepanjang Sungai Perak.

“Dulu gajah Sultan Perak banyak ada di sini kerana kawasan pulau dulunya padang ragut. Kali terakhir saya nampak gajah di pulau itu pada tahun 1989.

“Jadi saya boleh katakan orang yang tinggal berhampiran pulau ini adalah orang hebat-hebat kerana bukan mudah nak bela gajah. Banyak kisah pulau itu tapi ramai tak tahu,” katanya.

Jumpa petai gergasi

Selepas hampir sejam meredah lumpur dan sungai, akhirnya penulis tiba di lokasi kering, namun kedua-dua belah kaki sudah mula gatal angkara pacat barangkali.

Perjalanan diteruskan dan penunjuk arah kami, Siti Norlizawati Narawi, 45, menunjukkan beberapa akar yang menjalar di atas pokok dan menurutnya, semua akar tersebut datang dari 'ibu akar' di tengah pulau.

“Saya pernah bawa 17 saintis dari pelbagai negara membuat kajian di sini pada 2012. Mereka buat kajian dan mendapati semua akar yang melingkar atas pulau itu datangnya dari 'ibu akar'.

“Banyak pokok herba ada di sini termasuk tongkat ali tapi sayangnya penerokaan banyak dilakukan di sini jadi banyak pokok herba seperti itu sudah hilang.

“Melihatkan kepada keadaan 'ibu akar' itu, kemungkinan usianya sudah ratusan tahun. Menurut saintis yang saya bawa dulu, mereka yakin usia 'ibu akar' di situ sudah melebihi 500 tahun,” katanya.

Bentuknya seperti petai, namun ia bukanlah petai seperti yang disangka.

Beberapa meter sebelum tiba ke 'ibu akar', mata kami terpesona dengan petai gergasi tergantung atas pokok. Bentuknya mirip petai, namun saiznya lebih besar. Satu papan panjangnya hampir satu meter.

Menurut penduduk, Md Isa Ismail, 48, dia tidak tahu nama pokok tersebut, namun buahnya sering dimakan haiwan liar seperti rusa serta babi hutan.

"Buah ini rangup seperti sengkuang tapi rasanya sedikit pahit," katanya.

Lingkaran akar bentuk seperti pintu gerbang

Selepas satu jam 30 minit merentas hutan akhirnya kami tiba ke destinasi dituju. 'Ibu akar' saiznya tidaklah besar, namun boleh nampak beberapa akarnya melingkari kawasan pulau.

Malah, beberapa kawasan kelihatan sungguh cantik di mana lingkaran akar tersebut seakan membentuk pintu gerbang mengalu-alukan kedatangan kami malah ada yang berpusing-pusing membentuk corak menakjubkan.

Penat meredah lumpur dan sungai hilang begitu sahaja sebaik melihat keajaiban alam sebegitu. Jika anda gemarkan aktiviti sebegini, mungkin anda perlu menyertai jelajah ke Pulau Raya.

Namun, jika ditanya adakah penulis sanggup menjelajah mencari 'ibu akar' selepas ini? Jawapannya, cukuplah sekali. Biarlah gambar menjadi bukti penulis pernah berjaya tetapi mencubanya sekali lagi mungkin tidak.