Penulis khat tersohor dari Beijing, China, Abdul Hakim Liu @ Liu Jingyi sememangnya dilahirkan dengan bakat seni yang sangat istimewa. Berasal dari Provinsi Hebei daerah Zhangjiakou, beliau mula menunjukkan minat mendalamnya terhadap dunia seni khat ketika usianya masih lagi kecil.

Beliau yang dilahirkan dan dibesarkan keluarga Islam mula memperkembangkan bakat yang ada padanya daripada bapa yang mahir dalam bidang kaligrafi.
Kini, Abdul Hakim mampu tersenyum kerana berupaya menguasai kepelbagaian tulisan khat seperti Arab dan Cina.

Malahan, Guo Zhen Duo, kaligrafi Cina terkenal pada masa itu juga telah mengiktiraf Abdul Hakim sebagai pelajar pintar, rajin dan cekap menerima ilmu serta teknik kaligrafi Cina yang diajar kepadanya dalam masa yang singkat sahaja.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Master Liu Jingyi telah mencapai tahap cemerlang dalam kaligrafi Cina dan Arab di mana tahap penguasaan dan karya agung unik dan tersendiri itu telah diiktiraf sehingga ke peringkat antarabangsa.

Hasil seni beliau pula sangat tinggi mutu kualitinya. Bermula dengan harga dari ratusan ringgit, kini harganya sudah mula mencecah ribuan ringgit nilainya. Seninya memang halus, sehalus tangan memegang berus untuk menghasilkan sesuatu kaligrafi.


Bantu umat Islam

Abdul Hakim yang menjadi Imam Besar Masjid Chifeng, Mongolia itu merupakan ahli seni khat yang sangat hebat. Hasil tulisannya sudah tersebar lama di bumi Malaysia. Hasil tulisan seperti petikan ayat suci al-Quran, hadis dan nama perseorangan berjaya dikuasai Imam Abdul Hakim.

Apabila ditanya mengenai koleksi kaligrafi yang dimilikinya itu, Imam Abdul Hakim menyebut bahawa semuanya tersimpan rapi di rumahnya di Nieuwjie, Beijing, China. Segala koleksi berkenaan sangat berharga dan tinggi nilainya.

Menurutnya, setiap kali beliau datang ke Malaysia, pastinya pameran mahupun program berkaitan Seni Khat akan disertai olehnya. Beliau sangat suka menyertai Pameran Seni Khat di Malaysia kerana rakyat di negara ini begitu prihatin terhadap saudara sesama Islam dari negara lain.

“Malah, rakyat di sini sangat pemurah dan sentiasa menghulurkan bantuan kepada masjid dan juga orang susah,” katanya ketika ditemui penulis baru-baru ini.

Jelas Imam Abdul Hakim, setiap kali pameran berlangsung, beliau akan menunjukkan bakat seni kaligrafi yang ada pada dirinya. Beliau tidak menjual kaligrafi ini walaupun ramai yang menyarankan kepadanya agar menjadikan bakat ini sebagai satu perniagaan.

“Saya tidak melihat wang sebagai fokus utama dalam kehidupan sebaliknya wang yang dikutip hasil daripada jualan kaligrafi ini digunakan untuk membantu umat Islam yang miskin dan mendermakannya ke masjid di Chifeng, Beijing, China serta ke masjid yang memerlukan,” katanya sambil tersenyum.


Teruskan perjuangan

Sepanjang penulis menemu bual seniman kaligrafi ini ternyata beliau seorang insan yang cukup sederhana, penuh kesopanan dan rendah diri. Bercerita dengannya, banyak perkongsian mengenai pengalaman hidup dan cabaran yang dihadapinya sepanjang mempelajari dunia seni khat itu.


“Saya tidak pernah kenal penat lelah untuk menyempurnakan dan meningkatkan kemahiran dalam bidang ini.

“Walaupun usia sudah mencapai 82 tahun, saya akan terus berjuang dengan penuh dedikasi dalam bidang kaligrafi ini khas untuk Islam dan umat Islam,” katanya yang masih lagi sihat dan cergas malah mukanya cukup berseri dengan cahaya keikhlasan dan tulus daripada hatinya.

Melihatkan segala koleksi pada Pameran Seni Khat Muslim China di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur minggu lalu, jelas setiap nilai karya seni yang dihasilkan oleh Imam Abdul Hakim ini mempunyai nilai yang begitu tinggi.

Sejujurnya beliau mampu meraih kekayaan dalam hidupnya hasil jualan kaligrafi tersebut. Namun sepertimana yang diperkatakannya sebelum ini setiap karya khat tidak dijual sebaliknya kutipan jualan itu diserahkan kepada mereka yang memerlukan.

Imam Abdul Hakim berkata, dia bersyukur kerana bakatnya dinilai semua pihak. Beliau membuat kaligrafi Arab berserta terjemahan Cina dan mendapat pujian ramai.

“Pengiktirafan paling tinggi apabila hasil khat ini dipamerkan di Muzium Beijing Kesenian dan kaligrafi di Istana Kebudayaan Etnik satu ketika dulu.

“Saya sebenarnya terkejut kerana mendapat banyak perhatian dan memperoleh pengiktirafan daripada pakar seluruh dunia,” katanya yang pernah mendapat hadiah pertama di Inner Mongolia Wilayah Kren Cup Autonomi kaligrafi dan pertandingan lukisan.

Pada usianya sekarang, penulis yakin Imam Abdul Hakim tidak ingin bersara lagi sebaliknya dia mahu bergerak ke seluruh dunia untuk mengajar kemahiran kepada generasi baru dan akan terus menampilkan karya agungnya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.