PELUANG diberikan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) untuk menyertai tanah rancangan di Felda Palong, Jempol pada 1986 nyata tidak sia-sia, malah berjaya merubah landskap kehidupan Othman Paiman, 61,

Ketika itu kehidupannya susah dengan bapanya mengambil upah menoreh getah di estet dan kebun getah Cina, sehingga tidak mampu menghantarnya ke sekolah.

“Saya anak ‘NGO’ yang disebut orang kampung ketika itu ‘noreh getah orang’.

"Arwah ayah saya (ketika itu) tak ada tempat tinggal dan (mengambil upah) menoreh di estet dan kebun Cina. Ketika itu (ayah saya) tak mampu nak sekolahkan saya.

“Dahulu kita masuk ke rancangan Felda bukan tebang hutan (sebaliknya) kita dijemput masuk kita dah ada pokok getah, dah ada rumah (yang disediakan kerajaan). waktu itu memang susah air paip tak ada, jalan berhabuk, elektrik pun tak ada,” katanya kepada Bernama.

Othman yang merupakan Ketua Peneroka Negeri Sembilan berkata, selama 31 tahun menyertai Felda, beliau menyaksikan pelbagai perubahan hidup yang sangat ketara dalam kalangan peneroka 49 rancangan Felda di seluruh negeri ini, hasil bantuan kerajaan.

“Kalau kita lihat dekat Felda ini, ramai warga peneroka semuanya rumah-rumah dah besar… kita dah tak nampak rumah-rumah yang lama dan kita nampak semua rumah-rumah baharu yang serba moden dan itu membuktikan misi kerajaan untuk membangunkan masyarakat Felda itu warga contoh luar bandar tercapai,” katanya.

Beliau yang lebih mesra dipanggil ‘Pak Lurah’ berkata, selaku peneroka, beliau menerima pelbagai bantuan disediakan Felda dan kerajaan terdiri daripada pelbagai aspek seperti keusahawanan, perladangan sawit dan getah, perumahan, prasarana, serta kerohanian dan pembinaan modal insan.

“Kalau kita tengok dahulu, kami datang daripada kumpulan orang-orang yang tak ada pelajaran tinggi. Jadi Felda tak jemu-jemu mendidik masyarakat Felda, membantu bukan sahaja dari segi ekonomi tapi juga ilmu pengetahuan dalam pelbagai perkara termasuklah kepada diri saya sendiri.

“Dalam Felda ini, selain kita mengusahakan ladang getah dan sawit yang merupakan perniagaan teras, Felda juga menggalakkan peneroka bertani, membela ternakan, berniaga seperti membuka kilang kecil bagi industri kerepek, bahulu, kuih dan sebagainya dan Felda turut menghantar usahawan-usahawan untuk menimba ilmu,” katanya.

Othman berkata, antara bantuan yang sangat terkesan di hatinya ialah Skim Insentif Usahawan Felda (SIUF),  pinjaman komputer dan pinjaman pembesaran rumah peneroka.

SIUF yang diwujudkan pada 2002 dengan tabung pusingan RM50 juta bertujuan untuk menggalakkan warga peneroka menjalankan aktiviti ekonomi bagi menambah pendapatan keluarga, melahirkan pengusaha baharu dan membantu pengusaha sedia ada menjadi usahawan yang berdaya maju dan merangsang pertumbuhan ekonomi di rancangan.

Bagi pinjaman komputer, ia membolehkan seseorang peneroka membuat pinjaman berumlah RM2,400 dengan tempoh bayaran balik tanpa faedah selama 35 bulan, manakala pinjaman pembesaran rumah peneroka tanpa faedah pula menyediakan sejumlah RM10,000 hingga RM40,000 bagi peneroka yang layak dengan tempoh bayaran balik selama 15 tahun.

“Kami diberikan pinjaman komputer sebab Felda nak semua warganya celik Teknologi Maklumat (IT).

"Setiap rumah boleh kata semua ada komputer dan ada juga pinjaman perumahan Felda untuk pembesaran rumah, yang ini amatlah berkesan sekali kerana dengan nilai RM40,000 kita boleh buat sampai 1,020 kaki persegi,” katanya.

Mengulas mengenai enam insentif diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 23 Julai lepas, Othman berkata,  perkara berkenaan membuktikan keprihatinan kerajaan dalam membela nasib komuniti Felda.

“Saya selaku Ketua Peneroka Negeri Sembilan dan Ketua Peneroka Felda Wilayah Raja Alias menyambut baik serta merakamkan terima kasih kepada perdana menteri  di atas pengumuman enam insentif terkini kepada warga peneroka Felda,” katanya.

Menerusi insentif terbaru itu, peneroka antaranya menikmati pelupusan hutang, bayaran insentif, kewujudan dana khas dan geran khas serta insentif perumahan.

Najib turut mengumumkan bayaran insentif khas untuk kebajikan warga Felda sebanyak RM5,000 kepada 94,956 keluarga peneroka yang layak penuh.

Negeri Sembilan mempunyai 16,434 peneroka dengan 15, 432 adalah peneroka Melayu, 384 (Cina), 617 (India) dan satu (Orang Asli).

Dalam pada itu, Othman berkata, Felda yang diwujudkan pada 1956, berjaya membangunkan keseluruhan masyarakat peneroka sebagai satu komuniti contoh di luar bandar dan berpendapatan tinggi.

“Memang ada peneroka yang kurang berjaya dalam penghidupannya tetapi bilangannya tidak ramai dan nisbahnya kira-kira 1:10,” katanya.

Beliau berkata, jasa besar kerajaan dan Felda juga berjaya melahirkan generasi kedua dan ketiga Felda kini berada dalam kelompok kumpulan profesional dalam kerjaya masing-masing seperti doktor, peguam, jurutera dan juruterbang.- Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • HYDERABAD - INDIA . Hitarth Dholakia, anak kepada jutawan di Gujarat yang memiliki kekayaan lebih 6000 crore (RM 4b) di Surat dihantar ke Hyderabad untuk merasai sendiri kesusahan kehidupan orang biasa.
  • SUBANG JAYA - Mydin Mohamed Holdings Bhd, Sinar Harian dan Kumpulan Media Star menerima pengiktirafan Malaysia Book of Record (MBR) untuk pengedaran origami Jalur Gemilang terbesar di seluruh negara.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.