• Jana pembangunan modal insan berjaya
1 /

Pembangunan modal insan atau sumber manusia berkualiti adalah perkara utama dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai negara maju dan berpendapatan tinggi. Ia merupakan sumber boleh diperbaharui kerana ia dibekalkan secara berterusan oleh populasi sumber manusia.

Di rantau Asia Tenggara, bekalan sumber manusia tidak pernah berkurangan namun kadar pertumbuhannya menurun di beberapa negara yang pesat membangun.

Sumber manusia amat penting dalam menggerakkan pertumbuhan ekonomi, politik dan sosial sebuah negara. Oleh demikian, wajarlah sumber manusia yang menjadi tunjang sesebuah negara itu mempunyai kualiti dan kebolehan seterusnya meningkatkan harga modal insan itu sendiri.

Berdasarkan situasi tersebut, institusi kewangan terkemuka negara iaitu Maybank menganjurkan Hari Kerjaya Maybank baru-baru ini bagi menyediakan peluang kerjaya kepada masyarakat terutama golongan belia sekali gus membantu negara merealisasikan wawasan yang ditetapkan.

Ketua Modal Insan Kumpulan Maybank, Nora Abdul Manaf berkata, program itu telah berjaya menarik penyertaan lebih 5,000 pengunjung dari seluruh negara yang memiliki kelulusan dan pengalaman pekerjaan dalam pelbagai bidang.

Menurutnya, Hari Kerjaya Maybank itu membabitkan seluruh operasi perniagaan Maybank termasuk operasi dalam dan luar negaranya.

“Program ini adalah unik kerana menggunakan pendekatan berbeza kepada calon-calon yang berpotensi untuk menyertai institusi kewangan ini.

“Pelbagai pendedahan dilakukan seperti falsafah organisasi, aspirasi, budaya, model perniagaan dan pembangunan tenaga insan selain capaian global kami,” katanya.

Majikan pilihan

Beliau berkata, program itu membuka pelbagai peluang kepada pengunjung menerusi pelbagai rangka kerja pembangunan kerjaya termasuklah peluang bekerja di 17 lokasi operasi institut kewangan itu di seluruh dunia.

“Kami membuktikan kepada pengunjung bahawa Maybank bukan sahaja menawarkan peluang pekerjaan tetapi juga kerjaya yang membolehkan warga kerjanya diberikan peluang untuk mencapai aspirasi masing-masing,” katanya.

Menurutnya, program ini turut menyediakan bakat-bakat berpotensi dengan maklumat terkini untuk membuat keputusan sama ada mereka akan menjadikan Maybank sebagai majikan pilihan.
“Selari dengan falsafah untuk menginsankan perkhidmatan kewangan, pelbagai maklumat dan interaksi diberikan dengan harapan agar dapat mengukuhkan misi kami dalam menyediakan laluan mudah dan selesa,” jelasnya.

Nora berkata, maklum balas yang menggalakkan diterima daripada pengunjung dan itu jelas menunjukkan daya tarikan Maybank sebagai majikan pilihan.

“Bilangan pengunjung yang menghadiri program ini jelas mengukuhkan kedudukan kami sebagai majikan pilihan utama Malaysia menerusi tinjauan yang diadakan baru-baru ini,” katanya.

Kerjaya terbesar

Nora berkata, semua sektor perniagaan seperti Perkhidmatan Kewangan Komuniti, Maybank Investment, Perbankan Pemborongan Global, Perkhidmatan Transformasi Enterpris, Modal Insan Kumpulan, dan anak syarikat berkaitan perniagaan insurans dan perbankan Islam telah menyediakan ruang pameran kerjaya masing-masing.

Selain itu, mereka turut menyediakan saluran elektronik kepada mereka yang mahu mengemukakan butiran peribadi dan kelulusan masing-masing.

“Sehingga akhir pameran, lebih daripada 2,700 e-Resume telah dikemukakan,” jelasnya.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Datuk Sri Abdul Wahid Omar dan Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, Lim Hong Tat, turut bersemuka dengan calon-calon di klinik kerjaya yang dianjurkan selain mengadakan taklimat untuk berkongsi maklumat mengenai operasi Maybank dan sektor perniagaannya.

Sementara itu, Maybank telah muncul sebagai peneraju bagi Anugerah 100 Majikan Graduan di Malaysia bagi kategori perkhidmatan Perbankan dan Kewangan dalam kaji selidik yang membabitkan 12,000 graduan dari universiti tempatan dan luar negara.

Kaji selidik itu dibuat oleh GTI Media, penyelidik perniagaan dan kerjaya graduan terbesar di dunia. Keseluruhannya, Maybank berada pada kedudukan kelima, meningkat daripada kedudukan ke-17 dalam anugerah sama pada 2010.

Selain itu, Maybank turut dinobatkan sebagai Majikan Pilihan Nombor 1 di Malaysia dalam kajian yang dikendalikan graduan pada Pameran Kerjaya Graduan Aspire 2011.

Maybank adalah sebuah nama dagangan untuk Malayan Banking Berhad iaitu rangkaian bank dan kumpulan kewangan yang terbesar di Malaysia.

Maybank turut menjalankan operasi perbankan penting di Singapura, Indonesia dan Filipina.
Bank ini juga mempunyai kepentingan besar dalam perbankan Islam melalui Maybank Islamic Bank dan insurans melalui anak syarikatnya Etiqa.

Maybank adalah bank mempunyai terbesar di Malaysia dengan lebih 374 cawangan tempatan dan 90 cawangan luar negara dan pejabat.