RASANYA yang manis, saiz buah yang besar dan hanya boleh didapati di Kuala Rompin, Pahang menjadikan buah jambu batu jenis unda ini mendapat permintaan menggalakkan daripada penggemarnya malah amat berpotensi untuk dikomersialkan dan memberi pendapatan lumayan.

Lebih-lebih lagi, pokok jambu jenis ini yang dihasilkan menerusi kacukan jenis Lohan dan GU 8, memiliki kelebihan tersendiri apabila ia mampu menghasilkan buah sepanjang tahun selepas matang.

Keputusan seorang usahawan tani, Che Soh Haron, 48, untuk menanam dan mengkomersialkan jambu ini sejak enam tahun lalu  ternyata membanggakan.

Dia kini mengusahakan ladang jambu hasil kacukan sendiri itu di dua kawasan dengan luas keseluruhan 8.4 hektar di Kampung Bukit Serdang dan Kampung Simpang Sepayang, Kuala Rompin.

Che Soh berkata, dia memulakan usaha menanam jambu itu  dengan membeli ladang seluas 1.2 hektar milik seorang rakan lima tahun lalu dengan harga lebih RM100,000 di Kampung Bukit Serdang.

Berdasarkan permintaan semasa, dia kini dalam proses untuk menambah keluasan ladang untuk meningkatkan pengeluaran jambu berkenaan bagi menampung permintaan.

Katanya, mengusahakan tanaman jambu jenis unda mampu memberi pulangan yang menguntungkan sekiranya dilakukan secara bersungguh-sungguh dan mengikut jadual kerja membabitkan aktiviti membaja, memangkas serta meracun.

Bagaimanapun, kejayaan yang dikecapi itu tidak mudah sebaliknya dia juga turus berdepan pelbagai cabaran yang tidak terjangka.

Che Soh menjual jambu unda gred terpilih mengikut saiz dan kualiti di kedainya yang terletak di Pusat Pengumpulan Hasil PPK Rompin di Sungai Puteri.

“Pada 2014 saya diuji dengan  musim kemarau menyebabkan pokok hampir mati selain mengalami masalah pembesaran kerana kekurangan bekalan air.

“Ketika itu saya hampir berputus asa apabila melihat pokok menjadi layu dan daun berwarna kekuningan, pelbagai usaha terpaksa dilakukan antaranya terpaksa  menyiram setiap dua hingga tiga hari sekali.

“Lebih membimbangkan  apabila kolam air yang terdapat dalam kawasan ladang kering menyebabkan sumber air terputus. Ketika itu saya hanya bertawakal sambil berdoa berharap hujan turun,” katanya yang pernah berkhidmat selama 18 tahun dengan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan.

Cabaran 'pokok manja'

Dikategorikan sebagai ‘pokok manja’, Che Soh mengakui jambu unda memerlukan perhatian lebih disebabkan penyakit dan serangga mudah menyerang sekiranya pengawalan tidak dilakukan dengan sempurna.

Menurutnya, ia akan mengeluarkan hasil apabila mencapai umur setahun setengah hingga dua tahun bergantung kepada penjagaan, kesuburan dan kadar kelembapan tanah.

Dia turut mengakui sebagai pengusaha perlu banyak bersabar kerana kemuncak pengeluaran buah adalah ketika pokok berusia lapan tahun.

Ketika itu hasil yang dikeluarkan mencecah sehingga 45 tan membabitkan kawasan seluas 1.2 hektar.

“Bermula dengan pengeluaran hasil sebanyak 15 tan dan saya jangka ia terus meningkat dengan berat buah antara 800 gram hingga 1.8 kilogram sebiji.

“Ia mengeluarkan buah sepanjang tahun namun kemuncaknya hanya dua kali setahun, setiap pokok mampu berbuah antara 100 hingga 200 biji setahun manakala 10 hingga 15 peratus akan rosak,” katanya yang menjadi individu pertama mengusahakan tanaman jambu batu jenis unda di negara ini.

Che Soh di kebun jambu unda miliknya di Kampung Bukit Serdang, Kuala Rompin.

Che Soh yang juga ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) cawangan Sungai Puteri, Rompin berkata, buah jambu jenis unda dibahagikan kepada tiga gred iaitu A, B dan C ditentukan berdasarkan saiz serta kualiti buah dengan harga berlainan.

Che Soh berkata, harga ladang bagi buah berkenaan ialah antara RM3 hingga RM3.50 bergantung kepada gred, namun buat masa ini beliau selesa menjualnya sendiri.

Potensi agro pelancongan

Menurut bapa kepada empat anak itu, bagi memenuhi permintaan pekebun, dia juga menghasilkan anak pokok jambu itu menggunakan teknik tut yang dijual dengan harga RM16 sepokok.

Katanya, dia sedia berkongsi pengalaman dengan mana-mana pihak yang berminat mengusahakan kebun jambu unda kerana tanaman berkenaan mampu memberi pendapatan lumayan kepada mereka yang mengusahakannya.

“Untuk membantu memasarkan buah jambu terutama pada kemuncak pengeluaran buah saya terpaksa mendapatkan bantuan daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Pahang dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Rompin.

“Saya juga menjalankan aktiviti promosi dan pemasaran di pekan sehari dan pasar tani, permintaan terhadap buah jambu ini semakin menggalakkan,” katanya yang merancang untuk meluaskan pasaran ke seluruh negara.

Selain itu, dia turut merancang untuk menceburkan diri dalam kegiatan agro pelancongan melalui ladang jambu dimilikinya.

“Apabila ladang jambu ini sudah betul-betul sempurna, saya akan membukanya kepada pelancong dengan bayaran tertentu dan mereka boleh memetik buah sendiri dengan kaedah yang ditunjukkan,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • [VIDEO] GURUH berdentum, kilat bersahutan, ku singkap jendela, hujan makin lebat, rejim tentera Myanmar mundar-mandir depan rumah tanpa arah tujuan.
  • BERPELUANG menjejakkan kaki ke bumi Syria tentunya memberikan seribu satu pengajaran buat Badan Bukan Kerajaan (NGO) Syria Care semasa misi 5.0 mereka di sana Oktober lalu.
  • SEBELUM tertubuhnya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Shah Alam, Bandar Diraja Klang adalah ibu negeri Selangor, bagaimanapun kegemilangan bandar berkenaan kembali menyinar apabila ia makin terkenal dengan aktiviti pelancongannya.
  • LAZIMNYA, pengguna akan membuang saja beg yang sudah rosak atau koyak biarpun ada antaranya berjenama terkenal dan mahal harganya.
  • ALLAHYARHAM Nor Azira Ahmad Azzudin, 24, bakal melangsungkan perkahwinan dan persandingan secara serentak bersama kakaknya, pada Mac tahun hadapan.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.