Jalinan perpaduan dalam bola keranjang
$entry.content.caption.value

SHAH ALAM - Bermain bola keranjang bersama tokoh politik dan warga kampus menjadi satu lagi program kemasyarakatan yang sedang hangat diperkatakan.

Walaupun hanya mempertaruhkan tiga pemain bagi setiap pasukan ternyata sukan ini tetap ada cabarannya yang tersendiri. Karnival Karangkraf yang berlangsung pada 27, 28 dan 29 Januari lalu telah membuka satu lagi ruang untuk warga kampus khasnya mendekati pemimpin dalam suasana lebih santai dan mesra. Biarpun sibuk dengan tugasan harian, namun tiga wakil rakyat sempat bersama-sama belia menunjukkan bakat bermain bola keranjang.

Kejohanan bola keranjang three on three (tiga lawan tiga), YB’s Can Jump & Fun itu disertai Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Gan Ping Shou dan Ahli Parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan.

 Penglibatan tiga Yang Berhormat (YBs) berkenaan berjaya menarik 35 pasukan daripada pelbagai kaum. Pasukan yang berjaya mengungguli pertandingan itu berpeluang menentang pasukan YBs.

Acara yang diadakan sempena Karnival Karangkraf 2012 itu mendapat tajaan minuman isotonik 100 Plus.

Pengurus Acara dan Tajaan F&N Beverage Marketing Sdn Bhd, Muhammad Fauzi Ahmad berkata penglibatan belia dalam kejohanan itu amat menggalakkan.

“Walaupun perancangan dibuat dalam waktu yang singkat, namun ia berjaya menarik perhatian ramai. Saya sangat berpuas hati dengan penganjuran kejohanan ini,” katanya.

Beliau percaya acara seumpama itu menggalakkan budaya hidup sihat dalam kalangan belia.

Melihat kepada kejayaan itu, pihaknya bersedia untuk menjadi penaja di kejohanan serupa pada masa akan datang.

Katanya, minuman 100 Plus sinonim dengan aktiviti sukan dan rekreasi. Justeru, penajaan ini dilihat bertepatan dengan konsep mereka.

Sementara itu, Saifudin menyifatkan acara berkenaan mampu mendekatkan kumpulan YBs dengan golongan belia.

Beliau berkata, acara ini cukup menarik, pihaknya juga berpeluang menunjukkan aksi hebat biarpun tidak dapat menandingi pasukan yang menang.

Bagi Gan, beliau gembira dapat bersama-sama golongan muda berentap dalam gelanggang bola keranjang ini.

“Karnival ini bukan sahaja mampu menarik minat remaja untuk membaca, malah dapat meningkatkan minat golongan terbabit menjalankan aktiviti sihat,” katanya.

Beliau berharap kejohanan seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang bagi mencungkil bakat baru dalam sukan ini.

Kejohanan YB’s Can Jump & Fun itu dijuarai pasukan Threesome apabila mengalahkan pasukan Renegade dengan mata 16-7.

Masing-masing membawa pulang hadiah berupa wang tunai berjumlah RM1,200 dan RM900.

Pasukan Newbie yang mendapat tempat ketiga memenangi wang tunai RM600 manakala pasukan di tangga keempat; Tomatoes memperoleh RM300.


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.