MUKADIMAH (Bahagian Akhir)

SHAH ALAM - Laporan dalam bahagian satu dan dua, menceritakan nasib Orang Asli Kampung Kuala Koh dari Suku Batek yang mendakwa terancam akibat aktiviti penerokaan tanah berhampiran penempatan mereka.

Penghulu Kampung Orang Asli Kuala Koh, Hamdan Keladi dan beberapa penduduk kampung mendakwa kehidupan mereka sedang terancam terutama melibatkan punca makanan selepas aktiviti penerokaan hutan itu.

Selepas meninjau sendiri dan memetik kenyataan beberapa penduduk kampung, dalam bahagian akhir ini, penulis mendapatkan kenyataan daripada pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Kelantan/Terengganu melalui timbalan pengarahnya, Azman Ngadiron. Ikuti laporannya.

Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Kelantan/Terengganu mengesahkan menerima surat aduan daripada penduduk kampung Orang Asli Kuala Koh berhubung aktiviti penerokaan hutan berhampiran penempatan mereka.

Timbalan pengarahnya, Azman Ngadiron berkata, surat daripada Penghulu Orang Asli Kampung Kuala Koh, Hamdan Keladi itu diterima pihaknya ketika siri lawatan Jakoa ke penempatan itu pada 29 Disember lalu.

Katanya, surat berkenaan ditujukan kepada pelbagai pihak atau secara umum termasuk Jakoa.

“Jakoa ada menerima surat daripada Penghulu (Hamdan) yang meminta pihak terlibat berunding dengan orang kampung di sana. Dalam surat secara umum itu, mereka minta kesusahan mereka akibat penerokaan hutan itu diambil kira,” katanya kepada Sinar Harian semalam.                

Sehubungan itu, Azman berkata, Jakoa meminta pihak terlibat mempertimbangkan aktiviti penerokaan hutan berhampiran penempatan Orang Asli di situ.

Azman berkata,  ini kerana kesannya terus menerus atau secara langsung terhadap penempatan kira-kira 35 keluarga Suku Batek berhampiran kawasan situ.

“Saya berpandangan pembukaan tanah di situ perlu ambil kira hal Orang Asli berhampiran.

“Program pembalakan memberi kesan secara langsung kepada penempatan mereka kerana itu kawasan mereka tinggal,  cari makan, bermain dan berehat.

“Jadi bila kita buka kawasan hutan secara besar-besaran, Orang Asli sama ada dewasa terutama kanak-kanak akan trauma melihat jentolak,” katanya.

Pada masa sama, beliau meminta pihak yang terlibat memantau atau menilai kembali program pembukaan tanah di kawasan berkenaan.

“Saya sarankan, pihak terlibat mengkaji betul-betul dan pantau penempatan Orang Asli di kawasan itu sebelum melakukan pembangunan hutan tersebut,” ujarnya.

 Azman turut mengesahkan pihak Jakoa belum menerima sebarang laporan rasmi mengenai aktiviti penerokaan tanah berhampiran penempatan Kampung Orang Asli Kuala Koh.

Dicadangkan barangkali ada baiknya, pihak terlibat meneliti kemungkinan memilih kawasan lain untuk dibangunkan bagi mengelak penempatan Orang Asli yang sudah terhad.

Azman berkata, Jakoa sentiasa membantu Orang Asli di penempatan berkenaan terutama dari aspek kebajikan.

Menurutnya,dari segi pendidikan misalnya Jakoa menanggung yuran persekolahan serta wang saku anak-anak Orang Asli yang bersekolah.

Manakala segi kesihatan, katanya, Jakoa sentiasa memantau pemeriksaan kesihatan termasuk aspek nutrisi pemakanan Orang Asli.

“Soal kebajikan, nampaknya tugas Jakoa berterusan tetapi  soal penempatan serta keselesaan Orang Asli, saya berpandangan pihak berkuasa negeri perlu melihat perkara ini,” katanya.


Saran kaji Orang Asli  di Kuala Koh

Azman berkata, kumpulan penyelidik terutama daripada universiti dialu-alukan membuat penyelidikan mengenai Orang Asli Suku Batek di Kuala Koh.

Menurutnya, setakat ini Jakoa tidak pernah menutup peluang kepada pihak yang berhasrat membuat penyelidikan namun  beliau meminta hasil penyelidikan tersebut dikongsi bersama Jakoa sebagai sumber maklumat pihaknya melakukan penambahbaikan dalam hal ehwal penjagaan kumpulan minoriti itu.

“Setakat ini pihak kami tidak menghalang orang luar terutama kumpulan penyelidik yang berhasrat melakukan kajian terhadap Orang Asli Kuala Koh.

“Begitu juga badan bukan kerajaan (NGO) atau pihak swasta yang berhasrat membuat program kebajikan di penempatan  tersebut.

“Tetapi manis, sekiranya pihak berkenaan menghantar surat pemberitahuan kepada Jakoa mengenai setiap program itu, “ katanya.


Agak sukar dijadikan model pelancongan

Berhubung permintaan Hamdan, supaya penempatan mereka  dijadikan pusat pelancongan, Azman berkata, ia agak sukar dilaksanakan dan memerlukan kajian pakar untuk melihat potensinya.

Katanya, ini kerana berdasarkan pemerhatian awal, tidak ada ruang untuk mengkomersialkan  atau mengetengahkan penempatan Orang Asli di situ sebagai pusat pelancongan kerana mereka tidak mempunyai sudut kraf tangan seperti anyaman dan tiada aspek warisan seperti tarian sewang yang boleh diketengahkan melainkan semata-mata amalan tradisi cara hidup berburu dan membuat sikat rambut buluh.

“Berdasarkan aspek itu, maka agak sukar kita mengkomersialkan penempatan dan Orang Asli Suku Batek itu walaupun penempatan mereka berhampiran Taman Negara.

“Cuma peluang terbuka kepada pelancong ke Taman Negara. Apabila mengunjungi hutan simpan Taman Negara, pelancong boleh terus ke penempatan itu.

"Ini bermakna, proses pelancongan itu terbuka menerusi Taman Negara kerana pihak Jakoa tidak pernah sekat sesiapa mahu mengunjungi penempatan Orang Asli Kuala Koh,” jelasnya panjang lebar.

Bagaimanapun, jika hendak dibangunkan potensi pelancongan  secara total ke atas penempatan tersebut adalah amat sukar berdasarkan faktor seperti dinyatakan beliau.

“Namun, Jakoa mengalu-alukan kajian untuk melihat potensi itu daripada pakar alam sekitar dan pakar aspek pelancongan,” katanya.

Namun adakah Suku Batek ini tidak boleh dilatih? Mungkin ini satu bahagian memerlukan pakar iaitu mengubah minda Orang Asli.

Suku Batek terkenal pemalu,namun berdasarkan pemerhatian penulis ketika berkunjung ke sana bersama sukarelawan dari Jabatan Biologi Fakulti Sains Universiti Putra Malaysia (UPM) minggu lalu, mereka sangat mesra dan boleh berkomunikasi dengan sukarelawan.

Ini menunjukkan mereka sudah terdedah dengan pelawat memandangkanberhampiran Taman Negara. Hal ini diakui oleh Azman.

Memandangkan dasar tiada sekatan ke penempatan itu,  jelas sebenarnya wujud peluang luas bagi sesesiapa berhasrat membantu Orang Asli Kuala Koh. Mungkin bukan sahaja Orang Asli di situ, tetapi  di penempatan lain, cuma kesedaran itu tidak pasti ada di kalangan kita.