Jaguar XF
$entry.content.caption.value

Selepas meraih 88 anugerah dari media automotif antarabangsa dan tempatan, Sisma Auto Sdn Bhd, pengimport dan pengedar tunggal jenama Jaguar di Malaysia memperkenalkan Jaguar XF yang kini menerima peningkatan spesifikasi dan wajah baru bagi versi 2012.

Tiba masanya jentera sedan mewah untuk mendapatkan sentuhan terkini. Kehadiran Jaguar XF bakal memberi saingan pada model BMW 5 Siri, Mercedes E-Class dan Audi A6. Bagaimanapun, apabila melibatkan reka bentuk, XF seolah-olah menjadi kenderaan paling elegan berbanding barisan jentera sedan premium yang dinyatakan.

Pertama kali diperkenalkan untuk pasaran Malaysia pada 2008, Sisma Auto menawarkan semua tiga varian model XF yang menerima penambahbaikan iaitu XF 3.0 petrol, XF 3.0 diesel dan XFR 5.0 V8 Supercharged.

Untuk mendapatkan versi terkini, Jaguar telah mengembangkan dan meningkatkan karakter prestasi untuk membuatkan XF sebagai kereta yang paling dinamik secara visual dalam kelasnya.

Antara penambahbaikan yang dilakukan ialah penggunaan lampu utama bi-xenon, penawaran sistem navigasi Jaguar Satellite khusus serta sistem audio yang kini lebih berkuasa untuk kepuasan penumpang, dari kuasa 140kw kepada 400kw.

Mereka yang menginginkan kuasa dan prestasi , Jaguar XF diesel boleh dijadikan pilihan. Ia menghamburkan kuasa output 240kW dengan jumlah tork impresif 500lb yang menyediakan prestasi buas yang diharapkan daripada sebuah Jaguar. Untuk mencapai 100 kilometer sejam (km/j), ia melakukannya dalam tempoh 7.1 saat dengan kelajuan maksimum 240km/j serta tersedia dengan transmisi automatik lapan atau enam kelajuan.

 Bagi versi petrol pula, kuasa yang dikeluarkan adalah 238kW dan kilas 293lb dengan padanan transmisi automatik enam kelajuan. Pecutan dari sifar ke 100km/j, XF petrol mencatatkan 8.3 saat dengan kelajuan maksimum 250km/j.
Sementara XFR pula dijana enjin 5.0 V8 petrol supercharged dengan kuasa 510kW dan kilas 625lb. Dipadankan dengan kotak gear automatik enam kelajuan, XFR begitu pantas dengan mudah mencapai 100km/j dalam tempoh 4.9 saat.

Bagi versi diesel , XF dilengkapi dengan mod Dinamik yang memberi kelebihan untuk pemandu yang menginginkan pecutan yang lebih berkuasa dan jiwa sport. Model diesel juga yang dipasarkan dalam negara masih setara dengan piawaian Euro2.

Setiap kenderaan Jaguar dipasang dan di bawa masuk dari United Kingdom (UK). Dari segi rekaan luarnya, semakan semula kepingan logam pada gril, bonet dan sayap hadapan menggabungkan ruang udara sisi segi tiga baru yang menyerlahkan imej jentera lebih berotot.

Lampu depan kini menggabungkan teknologi bi- xenon HID dengan rekaan yang lebih langsing dan padat serta pada masa yang sama masih menyediakan kadar resolusi lampu yang cemerlang.

Selain itu, Jaguar turut menampilkan lampu siang hari LED berbentuk signatur ‘J-Blade’ yang dapat dikesan dengan segera pada bahagian hadapan.

Lampu belakangnya pula diperbaharui sepenuhnya dan dilanjutkan ke bahagian tengah penutup but. Unit baru itu kini sepenuhnya menggunakan lampu LED untuk berhenti dan penunjuk memberi XF rupa tersendiri pada waktu malam.

Sama ada yang berpengalaman dari tempat duduk pemandu atau penumpang, kabin Jaguar XF adalah kabin premium dan bergaya yang menggunakan material mewah dengan sentuhan kontemporari.

Malah ciri yang ditampilkan begitu menyenangkan seperti unsur Pemilih Pemanduan (knob gear) Jaguar yang muncul dari konsol tengah dan pendingin hawa yang berpusing kepada posisi terbuka apabila butang penghidup ditekan dan ia adalah sebuah kemas kini yang komprehensif.

Dalam tempoh tahun depan, Sisma Auto bakal memperkenalkan beberapa model diesel baru, dengan kapasiti enjin 2.2L serta kereta sedan kompak untuk mengukuhkan lagi kehadiran Jaguar di dalam segmen-segmen kenderaan premium popular di Malaysia.


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.