• Banyakkan melakukan ibadat untuk memperkukuhkan iman. - Gamabr hiasan Banyakkan melakukan ibadat untuk memperkukuhkan iman. - Gamabr hiasan
  • Jaga telinga daripada mendengar perkara tidak sepatutnya. - Gambar hiasan Jaga telinga daripada mendengar perkara tidak sepatutnya. - Gambar hiasan
  • Berdiam lebih baik daripada berkata tidak berfaedah. - Gambar hiasan Berdiam lebih baik daripada berkata tidak berfaedah. - Gambar hiasan
1 /

Ramai beranggapan amat mudah untuk melakukan kebaikan dan ketaatan. Namun begitu sukar untuk meninggalkan gelodak hawa nafsu dan kemungkaran melainkan orang yang benar-benar beriman serta jujur dengan dirinya.

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: Orang yang berhijrah ialah orang yang mampu meninggalkan kejahatan, manakala orang yang berjuang ialah orang mampu melawan hawa nafsunya (Riwayat al-Bukhari dalam Kitab Iman bab 4).

ALLAH menciptakan dan menganugerahkan kepada manusia dengan anggota badan yang lengkap dan sempurna. Antaranya ALLAH memberikan mata untuk melihat, telinga untuk mendengar, lidah untuk berbicara, tangan untuk memegang, kaki untuk melangkah, perut untuk memproses makanan dan faraj untuk membezakan antara lelaki dan wanita.

Didik anak

Ketua Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Norsaleha Mohd Salleh berkata, semua ini adalah nikmat ALLAH yang perlu dipelihara dan dijaga daripada terlibat dengan kemungkaran dan maksiat kepada ALLAH. Seandainya anggota ini disalahgunakan untuk melakukan maksiat kepada ALLAH, kita sebenarnya telah melakukan pengkhianatan dan pecah amanah.

“Oleh sebab itu, anak perlu diajar untuk menghargai diri sendiri. Menghargai anggota tubuh badan yang dikurniakan ALLAH, menjaganya daripada melakukan kemungkaran dan maksiat kepada ALLAH.

“Selain itu, ibu bapa bertanggungjawab mendidik perkara ini kepada anak. Memberitahu mereka mengenai ciptaan ALLAH yang unik dalam diri mereka. Sebagai tanda kebesaran dan kebijaksanaan ALLAH menyusun atur fungsi tubuh badan manusia dengan begitu sempurna,” katanya.

Justeru antara fungsi ALLAH mengurniakan anggota badan Norsaleha berkata, adalah untuk kemudahan dan kesenangan insan berurusan di dunia ini. Sebagaimana ALLAH menundukkan matahari, bulan dan bintang untuk kemudahan manusia, begitu jugalah anggota tubuh sendiri.

Saksi di akhirat

Norsaleha berkata, setiap anggota mempunyai fungsi dan peranan masing-masing. Anggota ini jugalah yang akan menjadi saksi segala perbuatan kita sewaktu di dunia.

Firman ALLAH yang bermaksud: "Pada hari lidah mereka dan tangan mereka serta kaki mereka menjadi saksi terhadap diri mereka sendiri, tentang segala yang mereka lakukan." (Surah An-Nur : 22)

"Pada waktu itu Kami tutup mulut mereka dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing) dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan." (Surah Yasin : 65)

"Sehingga apabila mereka sampai ke neraka, (maka) pendengaran, penglihatan serta kulit-kulit badan mereka menjadi saksi terhadap mereka, mengenai apa yang mereka telah kerjakan." (Surah Fussilat : 20)  

Tiga ayat di atas, ALLAH menegaskan bagaimana anggota badan manusia sendiri seperti lidah, tangan, kaki, mata, telinga dan kulit akan menjadi saksi di atas perbuatan tuannya sewaktu hidup di dunia.

Tujuh anggota

Imam al-Ghazali menasihatkan kita untuk memelihara tujuh anggota daripada melakukan maksiat kepada ALLAH. Tujuh anggota tersebut ialah lidah, mata, telinga, tangan, kaki, perut dan faraj.

Disebabkan itu kata Norsaleha, peliharalah lidah daripada berbohong, mungkir janji, mengumpat, mengadu domba, mencaci maki dan menghina. Selain itu, jagalah mata daripada melihat gambar atau video yang menaikkan nafsu syahwat, mengintip, memandang serong dan benci kepada orang lain.

“Lebih baik untuk membiasakan telinga mendengar perkara kebaikan, nasihat dan pelajaran yang berguna. Tangan pula melakukan kebaikan seperti menolong orang lain dan bersalam-salaman sesama Muslim. Seterusnya ayunkan kaki ke masjid dan tempat yang boleh membangunkan jati diri dan maruah.

“Apa yang penting juga adalah penjagaan perut yang merupakan tempat sumber penyakit. Sebab itulah anak-anak perlu dididik untuk menjaga perut melalui pengambilan makanan yang seimbang, berzat tinggi dan halal. Anda adalah apa yang anda makan kerana setiap makanan yang masuk akan menjadi darah daging kita,” katanya.

Pesanan terakhir, kata Norsaleha, ialah menjaga faraj daripada mendatangi perkara yang haram. Firman ALLAH SWT yang bermaksud: "Dan mereka yang menjaga kehormatannya, kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela." (Surah Al-Mukminun : 5-6)
Norsaleha berkata, dalam ayat di atas ALLAH mengingatkan orang yang beriman agar menjaga faraj mereka melainkan kepada pasangan mereka atau hamba yang mereka miliki.

"Perkara pertama yang perlu dilakukan dalam konteks menjaga faraj ialah menjaga mata daripada memandang perkara maksiat dan lucah, menjaga hati daripada berfikir tentang perkara maksiat dan lucah, menjaga perut daripada mengambil makanan dan minuman yang haram dan mengelakkan diri daripada terlalu kenyang. Kesemua elemen tersebut dapat memelihara diri daripada mendekati zina dan maksiat," katanya.