FIRMAN ALLAH SWT, “Dan tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka beribadah kepadaKu.” (Surah al-Dzariyat: 56)

Apa yang disebutkan oleh ALLAH dalam ayat al-Quran itu adalah tentang satu-satunya tujuan hidup manusia di dunia ini.

Sesungguhnya manusia dihidupkan di dunia ini bukan semata-mata untuk makan, minum dan tidur, tetapi satu-satunya tujuan hidup kita hanyalah untuk memenuhi satu tujuan dan satu matlamat iaitu menyembah ALLAH, Tuhan semesta alam.

ALLAH, Dialah satu-satunya Tuhan yang layak disembah seperti mana yang terkandung dalam ucapan tauhid ataupun ucapan syahadah kita; Laa-Ilaaha-illa-ALLAH (tiada Tuhan kecuali ALLAH), iaitu tiada Tuhan yang berhak disembah kecuali hanya ALLAH.

Apa yang dimaksudkan dengan Laa Ilaaha illa ALLAH bererti segala urusan ibadah seperti solat dan apa juga ibadah; misalnya puasa, sedekah, membaca al-Quran, berdoa, berzikir, memohon, menyeru, bergantung harap, tawakal atau apa juga ibadah; tiada yang berhak untuk kita lakukan ibadah-ibadah ini kecuali hanya kepada ALLAH.

Maka hanya kepada ALLAH kita beribadah dan pada masa yang sama kita harus menjauhi segala bentuk perkara yang bertentangan dan menyalahi ucapan Laa-lailahaillallah ini. Ini bererti segala bentuk sembahan, atau kuasa-kuasa lain harus kita jauhi dan tinggalkan. Ini kerana perbuatan sedemikian bertentangan dengan ucapan tauhid lailahaillallah.

Maka sekiranya kita solat, rukuk, tunduk dan sujud kepada selain ALLAH, berdoa kepada selain ALLAH, menyeru, menyembelih binatang untuk selain ALLAH, ketahuilah bahawa kita telah meruntuhkan ucapan Tauhid ini, kerana kita telah beribadah kepada selain ALLAH.

Berdoa, tawakal hanya pada ALLAH

Nabi SAW bersabda, “Doa itu adalah ibadah” (Sahih Abu Daud dan Al-Tirmizi). Maka jangan sesekali kita berdoa kecuali hanya kepada ALLAH. Seperti mana perintah ALLAH di dalam al-Quran, “Dan Tuhanmu berfirman: “Berdoalah kepadaKu, nescaya akan Aku perkenankan bagimu.” (Surah Ghafir: 60)

Dengan ini kita ingin menekankan tentang betapa perlunya kita sama ada ketika berdepan dengan musibah dan ujian, juga ketika kita senang, hendaklah kita serahkan urusan dan takdir kita kepada ALLAH semata-mata.

Ketahuilah, tiada yang mampu mengangkat musibah kita, tiada yang mampu menolong kita kecuali ALLAH kerana Dia adalah Tuhan sekalian alam yang telah menciptakan langit dan bumi, bahkan segala urusan tadbir di dalam alam ini adalah di bawah kekuasaanNya. Tiada Tuhan yang lain, tiada kuasa yang lain melainkan kuasa ALLAH mengatasi segala-galanya.

Seperti mana sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Rasulullah SAW bersabda, “Jagalah ALLAH, nescaya ALLAH akan menjagamu.” Jagalah hubungan kita dengan ALLAH; maksudnya hendaklah di dalam urusan ibadah, hanya kita berikan kepada yang selayaknya iaitu ALLAH, tanpa menyekutukannya dengan sesuatu yang lain.

Maka Rasulullah SAW mengatakan kalau kita menjaga hubungan kita dengan ALLAH, nescaya ALLAH akan menjaga hubunganNya dengan kita. Lalu Rasulullah SAW melanjutkan, “Jika kamu memohon, maka mohonlah daripada ALLAH. Dan jika kamu meminta pertolongan, maka mintalah pertolongan daripada ALLAH.”

Rasullah SAW mengatakan lagi dalam hadis yang sama, “Dan ketahuilah, kalau sekiranya semua manusia di permukaan bumi ini berkumpul untuk memberikan kamu satu manfaat nescaya mereka tidak akan dapat memberikan manfaat itu melainkan dengan sesuatu yang ALLAH tetapkan bagimu. Dan sekiranya semua manusia berkumpul untuk memberikan kamu satu mudarat, mereka tidak akan dapat memudaratkanmu kecuali dengan sesuatu yang telah ALLAH tetapkan ke atasmu.” (Sahih Riwayat Ahmad). Maka kewajipan kita apabila berdepan dengan musibah adalah bersabar.

Seperti mana orang susah, ada ujian yang ALLAH timpakan kepada mereka, begitu juga dengan orang kaya dan orang senang. Orang kaya ALLAH uji dengan kesenangan, banyak wang ringgit dan seumpamanya, dan semua itu akan ditanya di akhirat kelak ke mana ia digunakan.

Ujian mereka adalah untuk bersyukur kepada ALLAH atas kenikmatan yang ALLAH berikan dengan menggunakan nikmat itu dengan cara yang sebaik-baiknya. Adapun orang susah, ALLAH uji mereka dalam bentuk yang lain pula iaitu kesempitan dan apa jua bentuk musibah, dan menjadi kewajipan atas mereka untuk bersabar.

Apabila ditimpa suatu musibah, jangan sekali-kali kita persoalkan kenapa ALLAH timpakan ujian yang seperti ini. Apa yang pasti, ada hikmah di sebaliknya. Walaupun barangkali kita tidak nampak hikmahnya, tetapi percayalah bahawa apa yang pasti, ALLAH ingin menguji kita untuk membuktikan sama ada kita tergolong di kalangan orang yang sabar ataupun tidak.

Sekiranya kita sabar, apatah lagi kalau kita reda dengan ujianNya, kita akan tergolong di kalangan orang yang berjaya bukan sahaja di dunia bahkan yang lebih penting di akhirat kelak. Di akhirat kelak, ALLAH akan membalas kesabaran dan keredaan kita dengan balasan yang setinggi-tinggi syurga ALLAH.

Dalam masa kita bersabar dan reda, ada peringkat yang lebih tinggi dan paling mulia iaitu kita bersyukur kepada ALLAH atas ujian yang diberikan itu. Paling tidak kita mengatakan ada orang yang ALLAH uji lebih dahsyat daripada kita. Kerana itu kita bersyukur.

Paling tidak kita bersyukur dengan nikmat yang ALLAH berikan untuk kita terus dapat hidup dan beribadah kepadaNya. Kerana apa yang pasti ada orang lain yang jauh lebih susah daripada kita. Apa yang ALLAH uji adalah sebahagian sahaja daripada ujian yang ALLAH timpakan atas hambaNya.

Oleh kerana itu kita bersabar, kita reda dan kita bersyukur di samping mengharapkan keredaan dan pahala daripada ALLAH, moga-moga kita tergolong di dalam golongan ahli syurga ALLAH di akhirat kelak.
Serahkan segalanya kepada ALLAH

Satu perkara yang ingin saya tekankan adalah tentang kewajipan apabila berdepan dengan kesusahan dan musibah, iaitu perlunya kita serahkan diri kita kepada ALLAH. Jangan sekali-kali kita serahkan urusan kita kepada mana-mana makhluk dengan kepercayaan bahawa dia ada kuasa tertentu. Itu sama sekali tidak benar, itu adalah dusta. Bahkan itu menyalahi ucapan penyaksian lailahaillallah.

Bahkan Nabi SAW mengajarkan doa yang dibaca pada pagi dan petang, meminta kepada ALLAH supaya jangan menyerahkan urusan kita kepada diri kita sendiri, “Wahai (ALLAH) Yang Maha Hidup, Yang Maha Terjaga, dengan rahmatMu Aku meminta pertolongan, perbaikilah urusanku seluruhnya, dan janganlah Engkau serahkan aku kepada diriku sendiri walau sekelip mata.” (Sahih Al-Hakim)

Maka jangan kita percaya ada kuasa lain di alam ini yang mampu membantu kita, jangan kita percaya bahawa si fulan yang telah mati mempunyai kuasa tertentu dan boleh membantu kita, itu jelas bercanggah dengan ucapan lailahaillallah.

Maka jangan sekali-kali kita pergi ke kubur untuk meminta bantuan. Jangan kita menyeru roh ahli keluarga atau nenek moyang kita yang telah mati. Jangan kita percaya dengan kuasa di mana-mana; di laut, di langit, di hutan dan sebagainya. Itu sama sekali tidak benar dan ianya menyekutukan ALLAH dengan makhlukNya.

Ini kerana apa yang pasti, tiada kuasa yang dapat menandingi kuasa ALLAH. Mengapa perlu untuk kita menyeru kepada selain ALLAH? Sedangkan ALLAH menyuruh supaya kita berdoa dan meminta daripadaNya. Bahkan ALLAH berjanji, kalau kita memohon daripada ALLAH nescaya ALLAH akan memperkenan doa kita.

Tetapi kalau kita memohon daripada selain ALLAH, adakah ALLAH akan membantu kita? Sama sekali tidak. Bahkan ALLAH akan tinggalkan kita dan serahkan urusan kita kepada siapa yang kita mohon. Kalau kita mohon kepada orang yang telah mati, ALLAH akan serahkan urusan kita kepada orang yang telah mati. Apa yang pasti, orang mati sudah pergi ke alam barzakh, dia belum tentu dapat membantu dirinya sendiri dan dia tidak akan mampu membantu kita.

Mudah-mudahan apa yang disampaikan dapat diambil pemahaman dan pengajaran daripadanya. Moga-moga ALLAH memperbaiki urusan kaum Muslimin di mana pun mereka berada, dan semoga kita semua tergolong di dalam golongan yang berjaya di dunia dan akhirat.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • ALLAH SWT berfirman bermaksud: “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepada mu (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku berada dekat dengan mereka. Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.