ACARA larian Illumi Run Malaysia menitik-beratkan kepentingan menyumbang kembali kepada masyarakat telah memberikan sumbangan kewangan kepada S.O.S Kids, sebuah kumpulan sokongan komuniti di Sarawak dengan tujuan meningkatkan kualiti penjagaan kanak-kanak yang kritikal dan kurang bernasib baik.

Dana tersebut dikumpulkan melalui kutipan dari sebahagian yuran pendaftaran serta sumbangan tambahan dari peserta, dalam larian berlangsung di Kelab Turf Selangor, baru-baru ini.

Melalui  Illumi Run diharap acara ini dapat meningkatkan kesedaran mengenai kanak-kanak tajaan S.O.S serta lebih banyak dana dapat disumbang ke arah usaha mereka menyediakan rawatan perubatan lebih baik untuk golongan ini.

Acara dianjurkan oleh Infinitus Productions Pte Ltd dengan kerjasama penaja terhormat, MPI Generali Insurans Berhad itu berjaya menarik lebih 4,000 peminat sukan larian santai dan festival.

Menariknya pada acara itu, para peserta menikmati suasana malam berlari melalui pemandangan cantik cahaya berwarna-warni dengan 'air sinaran illumi'.

Ketua Pegawai Eksekutif MPI Generali Insurans Berhad, Oliver Tan berkata, pihaknya sangat teruja menjadi sebahagian daripada pengalaman baharu acara larian ini.

"Kami berbesar hati acara ini dapat menyediakan platform untuk kami melibatkan diri dengan komuniti, pekerja dan rakan kongsi perniagaan kami.

"Kami juga berbangga menyaksikan acara larian Illumi Run Pertama di Malaysia, dan lebih penting menyaksikan pencapaian cemerlang dalam tujuan sebenar acara ini, iaitu; gabungan keseronokan yang sihat, semangat kemasyarakatan dan masa sama menggalakkan sukan berlari," katanya.

Hadir sama dalam program itu Pengarah Infinitus Productions Pte Ltd, Jeffrey Foo,

Diadakan buat kali pertamanya di Malaysia, Illumi Run menyediakan laluan bertemakan ‘Syurga Neon’ lengkap dengan zon bercahaya bersuasana gambaran syurga yang menyiram para peserta dengan air sinaran Illumi ketika berlari dan menari diiringi rentak pelbagai lagu menyegarkan sepanjang malam.

Larian bermula jam 8 malam itu dimulakan dengan laluan ‘Hutan Hujan Laser’ mempamerkan paparan cahaya 3D dan paparan cat neon diiringi muzik rancak.

Laluan ‘Gula-gula Pop’, laluan impian bagi peminat manisan mempamerkan gula-gula berukuran sebesar manusia bersama percikan warna-warna pelangi di mana ‘Illuminator’ Menembak peserta dengan air bersinar.

Sementara itu, laluan ‘Taman Kosmos’ membawa pelari ke dunia galaksi planet dan bintang, sementara laluan di zon ‘Kehidupan Pantai’ sangat mendamaikan dengan suasana syurga berpasir memaparkan papan luncur air, pelampung dan bola bercahaya.

Acara larian diteruskan melalui laluan ‘Impian Flora’; zon bersinar dan menghiburkan pelari melalui taman berbunga neon lain dari biasa.

Keseronokan terus berlanjutan, dengan zon ‘Papan Gelongsor Bersinar Illumi’ di perkampungan festival, di mana peserta dapat merasa dingin selepas berlari dengan lebih banyak pancuran air bersinar dan festival Illumi terunggul dengan persembahan secara langsung oleh penghibur seperti Jenni-F (MY) dan Dangerdisko (MY).

Festival muzik tersebut menjadi kemuncak keseluruhan laluan larian kerana para pelari mengakhiri malam.

Di samping itu, Larian Pagi Kanak-kanak Illumi juga diadakan pada hari sama pada jam 7.30 pagi dengan jarak 2km di mana lebih daripada 300 kanak-kanak dan ibu bapa mengambil bahagian dalam acara itu.

Maklumat lanjut, layari www.illumirun.com/my