• Hidup tidak tenteram angkara sihir Hidup tidak tenteram angkara sihir
1 /

Belum pun masuk ke rumah, Ariana sudah kepanasan dan rasa tidak seronok untuk pulang. Seharian bekerja, dia berasakan badannya bertambah penat apabila melihat pintu rumah sendiri. Ariana tidak tahu kenapa sejak beberapa minggu ini hatinya tidak seronok setiap kali pulang ke rumah.

Bukan tak sayangkan rumah tangganya, tapi Ariana tidak faham kenapa sejak akhir-akhir ini dia panas hati melihat wajah Azlan, suaminya. Akibat sering bergaduh dan merasakan tidak lagi sehaluan, Ariana meminta cerai.

Begitu juga Azlan, ada-ada sahaja perkara kecil yang digaduhkan. Pernah dia memarahi Ariana kerana tidak memasak masakan kegemarannya. Padahal selama dua tahun mereka bernikah dia tidak pernah memilih.

Paling dia tidak boleh terima, dia sudah mula naik tangan dan tergamak memukul isterinya yang suatu masa dahulu amat dicintainya sepenuh hati. Bukan dia tidak pernah menyesal memukul Ariana, tetapi sebaik dia keluar dari rumah dan mendapatkan ketenangan di luar, hatinya terbetik rindu dan kasihankan Ariana di rumah.

Yang menjadi masalah, dia dan isteri tidak betah berlama-lama di rumah atau menghadap satu sama lain. Seakan ada sesuatu yang menghalang mereka daripada berdamai sehingga berterusan untuk saling memusuhi.

Bertujuan tidak baik

Ustazah Rozaini Abu Hassan atau lebih mesra disapa Umi berkata, faktor yang menjadi penyebab Ariana dan Azlan saling bermusuhan adalah kerana gangguan makhluk halus yang dihantar orang lain dengan tujuan khianat.

“Ia satu bentuk gangguan atau disebut sebagai sihir pemisah. Sihir ini akan membuatkan pasangan suami isteri, adik-beradik, saudara-mara, ibu atau ayah dan anak berantakan dan saling membenci.

“Memang tujuannya untuk membuat sesebuah hubungan yang harmoni bertukar keruh dan seterusnya berakhir dengan perpisahan,” katanya.

Beliau menambah, pasangan suami isteri itu terkena gangguan yang kuat memandangkan ketika mereka menjejakkan kaki ke pusat rawatan, mereka tetap dalam keadaan bergaduh.

“Suasana hingar seketika kerana suara mereka bergaduh. Azlan pada mulanya tak percaya dengan apa yang berlaku kepada mereka. Dia tidak tahan bila Ariana meminta cerai.

"Dan sebagai ikhtiar terakhir, dia minta Ariana ikut sama ke sini untuk berubat sebelum membuat sebarang keputusan. Syukurlah selepas mendapatkan rawatan, hubungan suami isteri itu kembali jernih dan tidak jadi bercerai,” katanya yang merupakan satu-satunya perawat wanita di Pusat Perubatan Islam Sinar Zamdurrani di Cheras, Kuala Lumpur.

Beliau memulakan khidmat sebagai perawat sejak setahun lalu selepas menamatkan ijazah perawatan Islam yang ditawarkan pusat tersebut. Menurut Ustazah Rozaini, sihir pemisah biasanya dituju kepada suami isteri. Bagaimanapun, kes lain melibatkan hubungan kekeluargaan juga boleh berlaku.

Tanda-tanda lain bagi mereka yang terkena sihir pemisah adalah benci kepada pasangan atau orang lain, sering memperbesarkan perkara kecil, tidak boleh bersama bagi suami isteri dan mahukan penceraian.

“Bagaimanapun, apabila pasangan suami isteri berjauhan, mereka akan kesal dan teringat-teringat pula. Mereka akan sayang dan takut kehilangan pasangan masing-masing.

“Biasanya mereka yang datang untuk berubat akan dibekalkan dengan ayat al-Quran untuk diamalkan agar terus terhindar daripada sebarang gangguan. Saya sering mengingatkan kepada pesakit agar terus meningkatkan ibadah dan mengamalkan zikir yang dapat mendinding diri daripada gangguan syaitan.

“Kalau kita datang berubat hari ini, tapi esok kita lupakan ALLAH, ia tidak bermakna apa-apa. Ini kerana tanpa iman yang kuat, seseorang mudah didampingi jin atau makhluk halus,” katanya.

Pengalaman pesakit

Amiza sudah lama menyedari penyakit batuknya tidak pernah berkurangan biar pun berbotol-botol ubat batuk telah ditelannya. Tetapi, Amiza hilang punca dan tidak tahu bagaimana lagi hendak merawat penyakitnya.

Tidak lama dahulu, seorang kenalan pernah meminta Amiza berubat kampung dengan meminum pelbagai jenis akar kayu dan air penawar, tapi batuk Amiza sembuh sekejap sahaja dan akan berulang semula seperti tidak ada apa-apa kesan.

Suatu hari, selepas menonton sebuah program televisyen berkenaan perawatan Islam, Amiza datang bertemu Ustazah Rozaini. Amiza yakin untuk menjalankan perubatan di situ kerana yang mengendalikan proses rawatan adalah seorang wanita.

Sebaik Ustazah Rozaini membacakan ayat suci al-Quran (membaca rukyah), Amiza mula batuk sedikit demi sedikit dan semakin lama semakin menjadi-jadi. Dia mula memuntahkan segala isi perutnya namun menghairankan, yang keluar hanyalah air dan darah pekat.

Tidak pula makanan seperti nasi dan lain-lain yang Amiza makan pagi itu. Tubuh Amiza yang kesakitan dan rasa bisa sepanjang proses rawatan menjadi segar semula sebaik proses rawatan selesai.

Wanita itu bersyukur dia membuat tindakan segera sebelum gangguan di tubuhnya kekal lama dan memberikan kesan sampingan terhadap kesihatannya yang lain. Dia tidak mahu tahu siapa yang menganiaya hidupnya tetapi berikhtiar akan memperbaiki diri agar lebih dekat dengan-NYA kerana percaya setiap yang berlaku adalah dengan izin-Nya serta mempunyai hikmah terselindung.