BAGI mereka yang tidak pernah ke Kampung Telaga Nenas, Ayer Tawar mungkin menganggap ia cuma sebuah perkampungan biasa macam di tempat lain.  

Namun, kampung yang terletak lebih kurang 7km dari jalan utama Ayer Tawar ke Pantai Remis ini sebenarnya mempunyai kisah tersendiri dan keindahan yang tak diketahui umum.

Bagaimanapun, orang ramai yang mahu memasuki kampung berkenaan perlu melalui sebuah ladang sawit terlebih dahulu sebelum dapat melihat dan menikmati keindahan kampung yang terletak di tepi muara sungai itu.

Ketua Kampung Telaga Nenas, Mohamad Isa Husin, 48, berkata, kampung ini dinamakan berdasarkan pada sebuah telaga luar biasa yang terdapat di situ.

“Air telaga itu jernih dan tidak kering walaupun digunakan seluruh penduduk kampung apabila ketika lain kering pada musim kemarau.

“Dikatakan juga di tepi telaga itu ada sepohon pokok nenas yang sedang berbuah dan buahnya agak besar dari biasa,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, berdasarkan gabungan dua objek itu maka lahirlah nama kampung Telaga Nenas.

Beliau berkata, kampung ini dibuka pada tahun 1857 oleh Abdul Mutalib bin Lahad bin Datu dan saudaranya, Taha bin Datuk Nakhoda Geroyang serta dua orang sahabatnya iaitu, Raja Ngah dan Pak Sulong Abu.  

“Kampung ini terletak di tebing sungai Dinding dan dahulunya ia berada di seberang sungai kampung yang ada sekarang.

“Namun ia dipindahkan kedudukannya kerana keadaan geografinya yang berbukit, berlumpur serta sukar untuk penduduk berhubung dengan kawasan lain,” katanya.

Majoriti penduduk nelayan  

Mohamad Isa berkata, Kampung Telaga Nenas dihuni oleh lebih 250 penduduk pelbagai peringkat umur.

Katanya, rata-rata mereka yang tinggal di kampung ini bekerja sebagai nelayan.

“Ada juga yang kerja kerajaan, swasta dan sebagainya tetapi majoritinya nelayan.

“Mereka memilih pekerjaan tersebut kerana faktor kedudukan kampung yang terletak di muara sungai, sekali gus memudahkan untuk turun ke laut  bagi mencari hasil.

Menurutnya, dia juga tak terkecuali memilih kerja sebagai nelayan dan tinggal di sana walaupun pernah berhijrah dari kampung tersebut beberapa ketika.  

Keunikan dan kelebihan tersendiri  

Selain latar belakang sejarahnya yang unik, kampung ini juga mempunyai pelbagai kelebihan lain yang tak kurang juga menariknya.

Salah satunya ialah hasil laut yang segar terutamanya udang.

“Boleh dikatakan kami di sini bernasib baik kerana diberikan rezeki yang agak baik melibatkan makanan laut dan sungai ini.

“Hasil laut yang kami dapat ini segar dan dijual ke merata tempat hingga ia menjadi sebutan ramai,” kata Mohamad Isa.

Katanya, kampung ini juga berpotensi menjadi destinasi pelancongan yang menarik.

“Kampung kami terletak di tepi muara sungai dan suasanannya masih tidak berubah.

“Ia masih mengekalkan tradisi perkampungan nelayan yang cantik untuk dilawati,” katanya.

Justeru itu, beliau menggalakkan penduduk kampung supaya melibatkan diri dalam aktiviti pelancongan bagi menarik orang luar datang berkunjung ke kampung mereka.

“Ada penduduk yang mengusahakan chalet namun jumlahnya masih tidak banyak jadi saya galakkan mereka supaya sama-sama bantu buka chalet bagi memastikan lebih ramai pelancong datang.

“Saya juga ada mencadangkan kepada penduduk kampung supaya buka kedai makan melibatkan makanan laut yang segar,” katanya.

Tambahnya, kampung ini juga tak terkecuali daripada menjadi sasaran kaki pancing untuk memenuhi minat mereka.

“Di sini kami juga ada menyediakan bot untuk orang ramai memancing.

“Malah kami juga ada membuat projek kelong memancing, ternakan siput sudu dan kupang selain ternakan ikan sangkar,” katanya.

Jauh tapi tidak terpencil

Biarpun berada agak jauh ke dalam namun kampung inin tidak ketinggalan dari segi pembangunan.

Malah, Kampung Telaga Nenas juga tidak pernah terpinggir, sebaliknya sering mendapat bantuan yang sewajarnya.

Mohamad Isa berkata, kampung itu turut dilengkapi dengan kemudahan asas seperti jalan tar, sekolah, masjid, klinik kesihatan dan sebagainya.

“Terbaru kami bakal menerima sebuah masjid baharu yang dijangka menjadi mercu tanda kampung ini kerana ia dibina atas air atau masjid terapung.

“Pembinaan jambatan yang menghubungkan Kampung Baru dengan Kampung Teluk juga turut memberi manfaat besar kepada kami yang berada bersebelahan dengan Kampung Teluk kerana jarak perjalanan kami ke Seri Manjung juga lebih dekat,” katanya.