HASIL pengalaman sendiri, Rosnani Ahmad percaya seni budaya dapat dipupuk daripada sejarah keluarga.

Ini kerana, anak jati Jitra, Kedah ini berjaya memupuk minat membaca hasil galakan abang sulung, Akob Saidin.

“Abang selalu belikan bahan-bahan bacaan sejak saya kecil lagi. Biasanya, anak-anak akan mudah cenderung dengan penglibatan ahli keluarga.

“Secara tidak langsung, ia mendekatkan jiwa saya untuk minat dalam bidang tersebut,” katanya pada Sinar Harian.

Susulan itu, kecenderungan Rosnani mula terarah dalam bidang penulisan.

“Dengan hobi membaca, saya mula menulis dalam buku catatan dan seterusnya menyertai sayembara anjuran sekolah.

“Saya juga pernah memenangi beberapa pertandingan menulis selain karya diterbitkan di ruangan akhbar dan radio.

“Bahkan, ketika itu, saya juga sudah ada nama pena sendiri iaitu AZ Rosnan,” katanya.

Lebih membanggakan, namanya turut tersenarai di dalam buku Direktori Penulis Malaysia yang diterbitkan Dewan Bahasa & Pustaka (DBP) pada 1990.

Katanya, usaha dilakukan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) ini berjaya memuatkan 1,294 maklumat diri penulis dari seluruh negara.

“Saya terima surat daripada Prof Tan Sri Ismail Hussein melalui Gapena yang meminta maklumat diri saya. Sebagai penulis, sudah pasti saya bangga kerana nama turut tersenarai,” katanya.

Timba pengalaman

Langkah Rosnani menjadi semakin panjang selepas mendaftar sebagai Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (Asasi) pada 2012.

Bukan sahaja mengembangkan bakat, wanita berusia 49 tahun ini turut mengutip pelbagai pengalaman baru melalui bengkel-bengkel yang dianjurkan.

“Setiap kali sertai bengkel atau kelas, ia banyak membantu memperbaiki mutu karya saya.

“Bahkan, saya juga berpeluang menimba ilmu daripada mentor yang berpengalaman luas seperti Zaidin Abadi, Hasan Baseri Budiman, Prof Azmi Rahman dan Sanusi Din atau Ibnu Din Assingkiri,” katanya.

Tidak hanya itu, bekas pelajar Sekolah Menengah Maktab Mahmud Alor Setar ini juga kembali aktif menulis di alam maya.

“Facebook dan blog diguna sepenuhnya untuk asah bakat menulis saya. Boleh dikatakan, saya menulis di kedua-dua alam maya tersebut hampir setiap hari,” katanya.

Sehingga hari ini, beberapa karya telah diantologikan iaitu Antologi Bianglala Melukis Syurga (2017), Kumpulan Puisi Membaca Makna Sekuntum Hayat (2016), Antologi Pawang Ana Sebuah Hikayat (2016), Antologi Taiping Bandar Tua Perak (2016), Antologi Teluk Intan Bandar Menara Condong (2016) dan Naskah Pertiwi (2016).

Turut diantologikan ialah Malim Gunung (2015), Antologi Puisi Segugus Pasrah Buatmu MH370 (2015), Antologi Merungkai Mimpi (2015), Antologi Lentera 11 (2012), Antologi Puisi Ketika Gaza Penyair Membantah (2012), Antologi Sinar Siddiq (2011), Antologi Puisi Religi (Penyair Nusantara)(2011) dan Antologi Layang-Layang Impian (2011).

Bukan itu sahaja, karyanya juga dapat tempat dalam ruangan stesen radio, akhbar dan majalah tempatan.

Gaya tersendiri

Masih belum puas, Rosnani bagaimanapun akui sedang berusaha perbaiki penulisan ke tahap lebih baik.

Malah, bekas pelajar Sekolah Kebangsaan Seri Banai, Jitra ini bersedia sahut cabaran seiring zaman.

“Saya percaya persaingan wujud menerusi kualiti karya yang dihasilkan  penulis. Bahkan, editor lebih utamakan karya berkualiti dan bersesuaian dengan kehendak media.

“Penghasilan karya yang berkualiti menjadi tarikan kepada editor untuk mengangkat karya tersebut dalam media penerbitan,” katanya.

Lantaran itu, Rosnani lebih gemar menulis mengikut gayanya tersendiri.

“Saya cenderung guna majaz alam sebagai alat sastera bagi persembahkan

teknik dan gaya bahasa yang puitis dan romantis," katanya.