PELBAGAI persediaan dilakukan bagi menyambut kehadiran Syawal terutama buat penghuni kota yang berhasrat meraikannya bersama insan tercinta di kampung halaman.

Bagi pencinta kucing, sudah pasti persediaan lebih awal dilakukan bagi memastikan penjagaan haiwan peliharaan mereka tidak diabaikan.

Hotel kucing adalah antara pilihan dan jalan penyelesaian buat pemilik kucing bagi menempatkan si bulus kesayangan sepanjang pulang ke kampung.

Cats Wonderland adalah antara premis pilihan pencinta kucing yang menyediakan pelbagai keperluan dan perkhidmatan untuk si bulus termasuklah hotel kucing.

Pemiliknya, Tengku Nurudeen Tengku Mohd Affandi berkata, sejak dua tahun beroperasi, permintaan terhadap perkhidmatan hotel kucing sempena sambutan hari raya amat menggalakkan.

“Alhamdulillah, selain jual barangan keperluan dan perkhidmatan salon kucing, hotel kucing yang kami tawarkan juga mendapat sambutan amat menggalakkan.

“Sempena hari raya tahun ini, kebanyakan pemilik kucing tempah hotel lebih awal dan dua minggu sebelum tiba hari raya. Boleh dikatakan hampir separuh daripada 100 sangkar yang kami sediakan penuh,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, berdasarkan sambutan menggalakkan sebelum ini, pihaknya membuat keputusan  menambah beberapa lagi sangkar, sekali gus boleh memuatkan sehingga 150 kucing sepanjang tempoh sambutan hari raya.

“Cats Wonderland ada tiga cawangan dan setiap perkhidmatan hotel kucing yang kami tawarkan boleh memuatkan sehingga 150 kucing.

"Kami juga tawarkan pakej sangkar iaitu RM16 dan RM25, yang mana perbezaannya adalah dari segi kebesaran sangkar dan kepadatan sangkar dalam satu bilik.

“Bagaimanapun, kami masih mengutamakan keselesaan kucing, bukan hanya memikirkan keuntungan semata-mata,” katanya.

Kucing perlu divaksin

Bagi mengawal kebersihan dan kesihatan si bulus yang ditinggalkan di situ, Tengku Nurudeen berkata, pihaknya hanya menerima kucing yang telah divaksin terlebih dahulu.

“Inilah syarat yang kami kenakan kepada setiap pemilik kucing bagi memastikan keadaan bersih dan bebas penyakit. Kucing yang telah divaksin mempunyai antibodi lebih kuat untuk melawan sebarang penyakit atau jangkitan.

“Sebab itu juga, kami tak terima kucing berusia 3 bulan ke bawah kerana berat badan kucing belum cukup untuk menerima vaksin, jadi kami tak nak ambil risiko,” katanya.

Selain itu katanya, bagi memastikan perkhidmatan eksklusif dan berkualiti, pihaknya sentiasa memastikan setiap kucing yang ditinggalkan di situ mendapat penjagaan sepenuhnya, melibatkan  pemakanan, keselesaan dan kebersihan.

“Sudah tentu, kucing-kucing yang menginap di hotel kami akan dipantau setiap hari oleh pekerja untuk memastikan keadaan sentiasa terjaga.

“Kucing akan dipantau dari segi pemakanan dan juga kebersihan supaya berada dalam keadaan selesa. Kucing perlukan air bersih dan makanan segar, kalau tak memang kucing tak akan makan,” katanya.

Sebagai pencinta kucing, pihaknya memahami dan menghargai kepercayaan diberikan pemilik kucing untuk menempatkan haiwan kesayangan mereka di hotel itu.

“Selain mementingkan keselesaan kucing itu sendiri, kami juga amat berbesar hati untuk menggalas tanggungjawab dan amanah yang diberikan pemilik kucing dengan sebaik mungkin.

“Kita mahu pemilik kucing meninggalkan kucing mereka dengan tenang tanpa perasaan bimbang keadaan haiwan kesayangan mereka di hotel kami,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • NEGARA Taiwan menjadi negara Asia pertama yang mengharamkan sebarang aktiviti penjualan dan makan daging kucing serta anjing selepas beberapa siri kekejaman yang mencetuskan kemarahan.
  • SI comel ini tidak diketahui nama sebenarnya. Namun keadaan fizikalnya yang menyayat hati menyebabkan Azimah Ghazali nekad untuk membantu dan menjaganya sehingga pulih.
  • “TAK dapat saya bayangkan kehidupan tanpa kucing-kucing ini. Merekalah nyawa dan pengubat duka serta kegembiraan saya,” kata Ruhaizah Anim, 43, yang obses memelihara kucing sejak zaman kanak-kanak lagi.
  • GEMAS - Meskipun kehidupan tidak mewah, namun situasi itu tidak pernah menghalang seorang wanita memelihara semua kucing jalanan yang dikutipnya di sekitar Gemas dan Segamat.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.