“MAK, besar nanti adik nak jadi cikgu, adik nak didik masyarakat jadi bijak,” antara ungkapan dituturkan semasa kecil yang masih terlekat di benak fikiran penulis. Guru, cikgu, teacher, sir atau lain-lain panggilan menghiasi kamus dunia pendidikan. Sejak dahulu lagi profesion perguruan dianggap kerjaya popular dan paling utama berbanding lain.

Ingat tak ungkapan ini wahai pembaca sekalian: “Lahirnya pendeta kerana guru, lahirnya imam kerana guru dan lahirnya perdana menteri kerana guru.” Semuanya guru. 16 Mei pastinya menjadi detik indah kepada insan bergelar guru. Ucapan terima kasih cikgu akan dilontarkan murid-murid dan pelajar sebagai tanda penghargaan di atas segala pengorbanan mendidik yang amat dibutuhkan. Citra minggu ini membawa pembaca merasai momen bersama muddaris (guru).

Kesusahan itu pendorong

Guru mata pelajaran Matematik dan Pendidikan Islam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Libaran, Sandakan, Sabah, Wan Nur Syamimi Wan Mat, 27, mengakui perasaannya sebaik sahaja menerima surat tawaran daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) bercampur baur antara sedih dan teruja untuk mendidik anak bangsa.

“Mula-mula dapat surat posting ke Sabah, timbul bermacam perasaan sebab terpaksa berjauhan dengan keluarga. Terfikir di benak ini bagaimanakah nasib ketika di sana kerana Negeri Bawah Bayu itu tidak pernah dijejak.

“Saya sematkan dalam hati masa mula-mula mendaftar di Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) walau di mana pun saya dihantar, akan cuba lakukan yang terbaik. Tetapi tidak terjangkau pula akhirnya saya mengajar di kawasan pedalaman yang jalannya berbatu, berlubang teruk, keadaan sekolah dalam kawasan ladang kelapa sawit. Sekolah pula diperbuat daripada kayu berbentuk seperti rumah panjang,” katanya yang mula mengajar sejak 2009 lagi.

Menurutnya, pelajar-pelajar di sini amat dahagakan ilmu, kesusahan langsung tidak menjadi penghalang kepada anak-anak di sini untuk belajar. Cuba anda bayangkan dalam kalangan mereka ada yang tidak dapat hadir ke sekolah kerana jaraknya yang jauh, tetapi mereka tetap mengulang kaji di rumah. Ibu bapa di sini tidak menghalang anak mereka untuk datang ke sekolah.

“Saya seronok berada di sini, melihat wajah pelajar yang bercahaya dan naif dalam menuntut ilmu menjadikan saya bersemangat. Lagi pun keputusan peperiksaan mereka memberangsangkan sungguh pun kekurangan kemudahan pembelajaran,” kata anak kelahiran Kelantan ini.


Bukan pilihan akhir

Sementara itu Rosli Mujni, 46, guru mata pelajaran Bahasa Melayu, berpengalaman hampir 23 tahun lamanya dalam dunia pendidikan berpendapat, terdapat perbezaan guru dahulu dan kini.
Ramai yang menjadikan profesion perguruan sebagai kerjaya pilihan akhir akibat tidak mendapat pekerjaan.

“Setiap pekerjaan di dunia ini bermula dengan guru, jangan musnahkan kemuliaan bidang pendidikan dengan menjadikan ia sebagai sandaran dalam mencari rezeki. Masyarakat perlu mengubah persepsi sedemikian.

“Berdasarkan pengalaman saya sendiri, semasa mula-mula menjadi guru, saya lihat bagaimana murid atau pelajar terlampau bergantung kepada cikgu. Maksudnya, setiap benda yang dilakukan pasti ada pendidik. Erat sangat perhubungan itu sehinggakan pelajar boleh datang bertandang ke rumah guru,” kata Rosli membuka cerita.

Menurutnya, kukuhnya hubungan pendidik dan anak didik. Ibu bapa juga sanggup tumpang sekaki belajar bersama anak-anak. Gembiranya saat itu, namun kini dek kerana kebejatan teknologi yang semakin canggih ibarat kata ‘dunia di hujung jari’ menyebabkan tugas pendidik dilihat hambar. Kita biasanya terbaca sajak atau kata-kata puitis diciptakan untuk guru, tapi itu hanya di kertas. jika benar jasa guru dihargai kenapa perlu ada kes bapa saman cikgu?


Pastikan yang terbaik

Mula mengajar sejak 1987, sekolah pertama adalah Sekolah Kebangsaan Clofford, Kuala Lipis, Pahang memberikan perubahan besar dalam hidup Rosjasmi Abdullah, 50, terhadap bidang pendidikan. Lahir dalam keluarga mendominasi kerjaya guru semakin menguatkan azam beliau untuk menjadi guru terbaik.

Ros seorang yang gemar mempelbagaikan corak pengajaran berpendapat, setiap murid itu tidak sama daya tumpuannya. Sebagai contoh apabila mengajar subjek Bahasa Melayu perlulah menggunakan cara bersesuaian. Apabila wujudnya keserasian barulah murid akan mudah faham.

“Saya pernah berdepan dengan murid yang tidak tahu membaca, murid ini perlu diasuh dan dididik dengan lembut, jadikan rakan mereka yang pandai membaca sebagai individu yang perlu dicontohi. Pada saya, anak-anak ini di sekolah lebih rapat dengan kawan-kawan seangkatan, sebab itu saya pastikan murid di bawah jagaan saya berkawan dengan individu yang mampu mengajar mereka bersama,” kata Ros.

Sesuai dengan tema hari guru tahun ini, “Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara”. Guruku, jasamu tidak mampu kubalas.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.