Guna wang tabung beli jersi
$entry.content.caption.value

Minat mengumpul jersi Manchester United (MU) tercetus sejak menonton perlawanan pasukan itu di kaca televisyen sembilan tahun yang lalu. Lantas ingin mendapatkan jersi kesukaannya itu, Saiful Zamil Mohd Azmi (Saiful), mula mengumpul duit untuk membeli jersi berkenaan.

Memandangkan pada masa itu dia masih berada di peringkat sekolah menengah, maka wang tabung yang menjadi simpanannya selama tiga minggu digunakan untuk membeli jersi MU yang berharga RM30 pada masa itu.

Sejak berjaya membeli jersi, Saiful mula fanatik terhadap barangan itu. Setiap kali dia singgah ke kedai yang menjual koleksi jersi dari pelbagai pasukan, pastinya satu jersi dibeli untuk dijadikan koleksi peribadinya.

Ketika penulis bertanyakan bilangan jersi yang ada dalam simpanan Saiful pada masa kini, dengan tersenyum dia memberitahu jersinya kini sudah menjangkau lebih 46 helai.

“Saya gembira apabila berjaya dapatkan jersi kesukaan terutamanya jersi MU. Walaupun ada antara jersi berkenaan menjangkau harga hingga RM100 ke atas, saya sanggup beli.

“Apa yang penting, apabila orang lain tanya sama ada saya sudah memiliki atau tidak jersi terbaru di pasaran, sekurang-kurangnya jawapan yang akan diberikan adalah ya,” ujar Saiful bersungguh-sungguh.

Dia begitu tertarik dengan pasukan MU yang menampilkan warna merah sebagai trademark pasukan sekali gus menjadikannya sebagai warna untuk jersi mereka.

“Merah melambangkan keberanian dalam berhadapan apa jua cabaran. Sama seperti saya yang gemarkan warna itu dan mahu menjadi seorang yang berani dan yakin dalam melakukan sebarang perkara.

“Sebab itu apabila saya pakai jersi MU, semangat keberanian dalam diri tiba-tiba hadir,” katanya yang kini berusia 24 tahun.


Kumpul koleksi sejak 2003

Saiful berkata, permulaan dia membabitkan diri dengan hobi mengumpul jersi adalah pada tahun 2003.

Sejak itu, banyak jersi lambang pasukan luar menjadi simpanannya. Antaranya jersi England, Brazil, Sepanyol, Jerman dan Itali.

Dia juga turut memiliki jersi kelab ternama antaranya Barcelona, Real Madrid, Inter Milan, Manchester City, Liverpool, Chelsea dan Arsenal.

Juga tidak ketinggalan turut mengumpul jersi pasukan bola sepak dari negeri Pahang, Selangor dan jersi bola sepak Malaysia iaitu Harimau Malaya dan Harimau Muda.

Menurut mahasiswa tahun akhir jurusan Pentadbiran Kesihatan dari Universiti Teknologi Malaysia, Shah Alam, Selangor itu, segala koleksi kesayangannya disimpan rapi di asrama selebihnya tersusun cantik di rumahnya di negeri Pahang.

Tambahnya lagi, jersi-jersi berkenaan bukan sekadar dijadikan hiasan di dalam almari sebaliknya akan dipakai setiap hari sama ada untuk menghadiri kuliah, bersiar-siar bersama rakan mahupun berada di dalam bilik.
“Ramai tak percaya bila saya katakan tiap-tiap hari saya akan mengenakan jersi untuk pergi kuliah.

"Sampaikan bila ingin ke pusat membeli belah untuk membeli barangan keperluan, saya akan tetap menggayakan jersi terutamanya jersi MU.

“Sebenarnya saya banyak baju lain, tetapi saya lebih gemar pakai jersi. Keyakinan lebih terserlah apabila memakainya. Tak kisah apa yang rakan mahu katakan, penting saya selesa,” akuinya.


Jersi original

Memakai jersi bersaiz M, Saiful memberitahu, kebanyakan jersi miliknya adalah original.

“Namun, saya tidak kisah untuk mendapatkan yang tidak 'ori' kerana keselesaan memakai jersi menjadi keutamaan,” katanya yang mencapai kepuasan hati bila berjaya mendapatkan jersi asli.

Cerita Saiful lagi, ke semua jersi itu dibeli di mana saja antaranya di kompleks beli belah mahupun tapak karnival.

“Tetapi kini, zaman sudah berubah. Saya lebih gemar membelinya menggunakan perkhidmatan atas talian. Cara ini lebih mudah dan menjimatkan,” katanya.

Saiful berkata, jersi miliknya sering kali menjadi pilihan rakan untuk dipinjam.

“Sepanjang rakan meminjam jersi, saya tidak berhadapan sebarang masalah sama ada jersi koyak atau rosak.

"Lagipun, mereka yang meminjamnya adalah terdiri rakan rapat sahaja. Saya memang percayakan mereka,” katanya.

Ditanya mengenai cara penjagaan kesemua jersinya itu, Saiful berkata, segalanya amat dititikberatkan.

“Saya tidak pernah hantar pakaian ke dobi. Lebih senang basuh sendiri tetapi dengan berhati-hati.

"Kepuasan berganda apabila melihat jersi sentiasa bersih dan cantik,” ujarnya.


Berkongsi hobi

Anak sulung dari dua beradik ini memberitahu, adiknya, Mohd Shafwan Mohd Azmi turut teruja untuk memiliki jersi sama seperti dirinya.

“Satu hari dia melihat koleksi jersi di dalam bilik saya. Tiba-tiba timbul minat yang sama apabila melihat semua jersi itu cantik dan menarik.

“Pernah dia suakan kegilaannya mahu mengumpul jersi pada mak dan ayah. Alhamdulillah, mereka turut sokong.

Namun, nasihat turut dibekalkan kepada kami supaya tidak terlalu boros berbelanja hanya kerana mahu mendapatkan jersi kesayangan,” akhiri Saiful.


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.