• Kehadiran Imad memberi sinar kebahagiaan buat ibu bapanya. Kehadiran Imad memberi sinar kebahagiaan buat ibu bapanya.
  • Kak Syam dan suaminya rajin melayan karenah anak kesayangan mereka, Imad. Kak Syam dan suaminya rajin melayan karenah anak kesayangan mereka, Imad.
  • Keletah Imad yang semakin membesar menghiburkan sesiapa yang melihatnya. Keletah Imad yang semakin membesar menghiburkan sesiapa yang melihatnya.
1 /

TIGA belas tahun tahun menanti kelahiran cahaya mata, Kak Syam akui semangatnya untuk memiliki anak suatu masa nanti tidak pernah luntur.

Dia selalu menadah tangan dan berdoa mudah-mudahan ALLAH membukakan jalan buatnya dan suami untuk bergelar mummy dan daddy.

Walau selama mana pun, dia akan tunggu dan berusaha. Biarpun pernah dia mengalami keguguran yang hampir merenggut peluangnya untuk bergelar ibu secara lahiriah.

Oleh sebab itu, ajakan seorang teman untuk mendengar taklimat kaedah mendapatkan anak menerusi tabung uji tidak sesekali Kak Syam tolak dengan harapan ada ruang dan peluang buatnya.

“Alhamdulillah. Pelawaan kawan Kak Syam tu sebenarnya pembuka jalan buat Kak Syam. Melalui taklimat itu, Kak Syam mengenali Doktor Surinder Singh yang merupakan antara doktor terbaik di Tropicana Medical Centre, Damansara.

“Dia banyak memberi galakan dan semangat kepada Kak Syam sehingga akhirnya Kak Syam dikurniakan anugerah terindah ini, Imad Nasrullah,” luah Kak Sham mengimbau kenangannya.

Pilih tabung uji

Kak Syam atau Norsyamzani M Zawawi, 35, pada awalnya menjalani pemeriksaan untuk mengetahui tahap kesihatan dirinya dan suami, Effendi Shoib, 39.

“Sebelum ini, Kak Syam dah bertemu ramai pakar. Semuanya mengatakan tiada masalah, cuma telur yang diperlukan tiada... itu saja komen yang selalu diterima.

“Namun, pemeriksaan dengan Dr Surinder Singh, di klinik beliau di Puchong Women’s Specialist Centre, dapat mengesan masalah Kak Syam,” katanya.

Kak Syam dikesan menghidap masalah PCOS (Polycystic Ovarian Syndrome) dan kemudian dinasihatkan untuk menjalani pembedahan laparoscopy, iaitu menebuk lubang pada bahagian ovarinya (ovarian drilling) bagi membolehkan pergerakan keluar telur secara semula jadi.

Menerusi kaedah itu, Kak Syam diberitahu kemungkinan besar proses mengandung secara normal akan berlaku dan tidak perlu menggunakan kaedah tabung uji dahulu.

“Pada mulanya, Kak Syam berasa sedih bercampur gembira sebab kawan Kak Syam yang turut hadir taklimat sebelum ini, disahkan mengandung selepas empat kali menjalani pembedahan.

“Sedangkan Kak Syam masih tidak berjaya mengandung normal. Kawan Kak Syam dapat anak dulu dan sekarang dah pun mengandung secara normal anak kedua.

“Waktu tu Kak Syam memang patah semangat, tapi Dr Surinder mencadangkan kaedah IVF (In-vitro Fertilization). Pada mulanya Kak Syam tidak setuju kerana kurang
berkemampuan," katanya.

Bagaimanapun, Dr Surinder mengesyorkan Kak Syam merujuk Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang (HTAR), yang mempunyai program bersama untuk melakukan proses IVF ini.

Kak Syam kemudian memilih kaedah tabung uji atau IVF seperti dicadangkan doktor. Kaedah di mana telur dari ovum dan sperma pasangan dikeluarkan dan disenyawakan di makmal, sebelum dimasukkan semula ke dalam rahim ibu.

“Demi ALLAH, ibu bapa mana yang tidak teruja menunggu kelahiran anak sendiri” kata ibu kepada Imad Nasrullah Effendi yang kini berusia setahun lima bulan.

Komplikasi mengandung

Menceritakan pengalaman yang dilaluinya sepanjang mengandungkan Imad, Kak Syam memberitahu tiada bezanya seperti wanita hamil lain, cuma sedikit lucu apabila Abang Fendi yang banyak sakit dan demam.

“Kak Syam bersyukur kerana Kak Syam tidak mengalami alahan teruk, mual dan loya tekak tu ada la sikit. Cuma akak kena bersalin secara pembedahan kerana waktu hampir bersalin, tekanan darah naik dan bayi agak besar.

“Imad lahir di Hospital Raja Perempuan Zainab 2 Kota Bharu Kelantan pada 26 September 2011 seberat 3.7 kg. Oh Ya, lupa pulak, suami akak minta doa biar semua sakit akak ALLAH bagi pada dia. Mungkin ALLAH perkenan doa dia,” kata Kak Sham diiringi ketawa.

Kak Syam akui beruntung kerana proses tabung uji ini dijalankan secara kerjasama hospital kerajaan dan Tropicana Medical Cemtre. Dia hanya dikehendaki membayar lebih kurang RM6,000 untuk rawatan di Hospital Tropicana pada masa itu, manakala kos di hospital kerajaan hanya perlu bayar kurang daripada RM500.

“Kak Syam dapat tahu orang lain yang nak buat kaedah ini ada yang sampai RM20,000. Ada juga yang kena tunggu giliran lama. Tapi ALLAH memudahkan urusan Kak Syam dan suami. Kak Syam bersyukur,” katanya.

Untuk jangka masa panjang, Kak Syam dan suami telah menyimpan telur (Embryo Freezing) yang dikeluarkan sebelum ini untuk proses mendapatkan anak kedua nanti.
“Insya-ALLAH, selepas Imad genap dua tahun, Kak Sham dah bersedia untuk hamil lagi,” katanya di akhir perbualan.