• Khoriah turut menerima tempahan gubahan bunga untuk pengantin baru Khoriah turut menerima tempahan gubahan bunga untuk pengantin baru
  • Sebahagian jambangan bunga Khoriah yang menjadi pilihan pembeli untuk<BR> dihadiahkan kepada graduan. Sebahagian jambangan bunga Khoriah yang menjadi pilihan pembeli untuk
    dihadiahkan kepada graduan.
1 /

Kegemarannya suka menggubah bunga.Walaupun bunga itu sudah digubah dengan sebegitu cantik, dia akan mencantikkan lagi jambangan bunga tersebut dengan kreativiti yang ada pada dirinya.

Dek bakat dan kemahiran Khoriah Darus, 42, yang kini menetap di Puchong, Selangor, maka setiap sudut rumah yang awalnya nampak suram kembali berseri hanya disebabkan beberapa gubahan bunga cantik menghiasi sudut berkenaan.

Malah, di halaman rumahnya juga menarik dengan hiasan bunga yang digubah dengan penuh keikhlasan oleh wanita ini. Penulis yakin, jika Khoriah benar-benar obses terhadap hobi gubahan bunga tersebut, dia mampu menjadikan kelebihan itu sebagai platform untuk menambah pendapatan dan membuka perniagaan pada masa akan datang.

Ketika penulis menemuinya di Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, baru-baru ini, kelihatan Khoriah khusyuk menyiapkan gubahan bunga yang ditempah pelanggan. Malah dia begitu seronok dengan apa yang dibuatnya itu walaupun tempahan diterima bertimbun-timbun.

“Hati saya akan tenang tiap kali menggubah bunga ini. Mungkin sebab saya sering dikelilingi pelbagai jenis dan warna bunga sehinggakan saya sering berasa ceria dan tenang.

“Malah bunga juga dikatakan membawa aura positif pada semua orang. Jika tidak masakan ada istilah mandi bunga dan sebagainya,” kata Khoriah kepada penulis.

Menurutnya, setiap gubahan bunga yang dihasilkan itu mampu disiapkan dalam masa 10 hingga 15 minit sahaja bergantung kepada mood penggubah bunga berkenaan.

“Mood memainkan peranan penting dalam diri seorang penggubah bunga. Jika mood baik, banyaklah gubahan bunga mampu disiapkan.

Jika tidak mungkin hanya satu jambangan bunga sahaja berjaya digubah,” ujarnya. Khoriah memberitahu, dia benar-benar tidak menyangka hobi gubahan bunganya itu kini menjadi kerjaya tetap.

Dia yang pada mulanya bekerja di sebuah syarikat swasta selama 11 tahun mengambil keputusan berhenti kerja kerana mahu menumpukan sepenuh perhatian pada hobinya itu.

“Selepas berhenti kerja, saya mula fokus pada gubahan bunga. Soal penyediaan bahan dipelajari satu persatu dan bila siap, saya jadikannya sebagai hiasan di rumah.

“Jadi, setiap kali rakan datang bertandang, mereka berminat dengan gubahan tersebut.

Dari situ, saya peroleh pendapatan sampingan secara berperingkat sehinggalah hobi ini dijadikan mata pencarian,” katanya sambil memberitahu antara gubahan bunga yang sering ditempah rakan adalah bunga menghiasi meja makan, meja tamu, bunga dinding dan bunga sudut agar ceria menerima kunjungan tetamu.

Rakan sedari bakat

Mengimbas kembali kisah Khoriah dan gubahan bunganya itu, dia sebenarnya tidak menyedari bahawa diri memiliki bakat terpendam dalam seni gubahan.

Sehinggalah pada satu hari Khoriah mengikuti seorang rakan yang mahir dalam gubahan bunga.

“Ketika itu musim konvokesyen. Saya bantu rakan siapkan tempahan bunga untuk diberikan pada insan tersayang.

Apabila berjaya siapkan, rakan bagaikan terkejut kerana hasilnya cukup cantik dan mengagumkan.

“Apabila dipamerkan, ramai pembeli yang berebut-rebut untuk mendapatkan gubahan bunga tersebut. Memang saya betul-betul tak sangka.

Rakan pula terus memberi sokongan agar saya memberi sepenuh perhatian pada bakat itu,” katanya.

Selain menggubah bunga, Khoriah juga berbakat dalam penyediaan bunga untuk pelbagai jenis sambutan antaranya sambutan Hari Ibu, Hari Guru, hari ulang tahun kelahiran dan juga gubahan untuk hantaran perkahwinan.

Pendek kata, apa sahaja yang berkaitan seni gubahan antaranya gubahan bunga ruang kediaman, bunga majlis keraian, bunga tangan (hand bouquet) mampu dihasilkan dalam
masa yang singkat sahaja.

Anak keempat daripada lapan beradik itu berkata, menggubah bunga tidak boleh dilakukan sambil lewa, jika tidak hasilnya sudah tentu akan mengecewakan.

Seni menggubah bunga itu sebenarnya harus dipelajari sama ada berguru dengan mereka yang mahir atau mengikuti kursus yang ditawarkan institusi atau akademi berkaitan.

“Bagi diri saya pula, saya hanya belajar sendiri sambil dibantu kalangan rakan penggubah bunga yang berkemahiran dan handal setanding pereka gubahan antarabangsa.

“Mereka yang berkemampuan pula mungkin boleh mengikuti mana-mana kursus yang mengajar mengenai cara menentukan jenis gubahan bersesuaian dengan ruang, jenis bunga, warna dan tema.

“Saya yakin, jika minat seseorang itu cenderung pada seni gubahan, sudah tentu daripada seorang yang kurang mahir akan menjadi seorang penggubah bunga yang kreatif dan berani menghasilkan bentuk gubahan bunga berbeza dengan mengaplikasikan segala teknik yang tepat,” katanya yang mempelawa pembaca Sinar Harian untuk mengunjungi laman Facebooknya, korie darus untuk melihat lebih banyak gubahan bunga yang berjaya dihasilkan olehnya.

Pelbagaikan idea

Walaupun Khoriah sudah menempa nama dan miliki ramai pelanggan, namun dia masih belum berpeluang untuk membuka kedai gubahan bunga sendiri.

Sehingga ke hari ini, dia menjalankan hobi dan perniagaannya itu dari rumah sahaja.

Menamakan perniagaannya sebagai “Mentari Sayang Florist”, sambutan tetap hangat terhadap gubahan bunga sampaikan Khoriah sendiri tidak mempunyai rehat yang mencukupi demi menyiapkan tempahan pelanggan.

Ditanya mengenai keunikan gubahan bunga Khoriah berbanding penggubah bunga lain, beritahu Khoriah, seni gubahan perlu menampilkan kelainan sepanjang masa.

“Gubahan bunga tidak perlu terikat kepada bentuk tertentu semata-mata kerana banyak gaya dan garapan kreativiti boleh diketengahkan.

“Bijak bermain dengan warna bunga untuk hasil gubahan lebih dramatik juga antara elemen perlu diterapkan supaya ia tampak sempurna di mata anda dan orang lain,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Khoriah sempat berkongsi cara berkesan untuk menyimpan dan memastikan bunga segar yang digubah tahan lama dan tidak mudah layu.

“Sebelum memulakan proses menggubah, seeloknya bunga yang masih segar itu perlu direndam dahulu sekurang-kurangnya dalam tempoh dua jam.

“Seterusnya, bagi memastikan bunga sentiasa segar dalam jangka masa yang lama, batang bunga tersebut perlu dipotong serong sebelum direndam di dalam air.

“Air juga perlu ditukar sebanyak tiga kali sehari,” akhirinya kepada penulis.