GerdQ
$entry.content.caption.value

Rasa tidak selesa selepas makan hidangan yang banyak? Anda mengalami rasa jeluak dan loya? Menderita pedih hulu hati pada waktu malam? Kalau anda sering menghadapi masalah ini, anda mungkin mengalami simptom penyakit gastro-esophageal reflux disease (GERD).

GERD terjadi apabila refluks atau jeluak kandungan gastrik menyebabkan simptom atau komplikasi yang mendatangkan masalah, seperti ditakrifkan dan diterima oleh sekumpulan doktor pakar GERD yang terdiri daripada 44 orang pakar dari 18 buah negara.

Dirujuk secara umumnya sebagai definisi dan klasifikasi montreal untuk GERD, kenyataan penuh mengklasifikasikan sindrom esofagus, ekstraesofagus, serta membincangkan pendekatan baru. Ini termasuk mengutamakan pesakit tanpa penemuan oleh endoskopi, serta mengiktiraf laringitis, batuk, asma dan kerosakan gigi sebagai kemungkinan sindrom GERD.

GERD boleh menyerang semua orang tanpa mengira usia, selalunya orang muda di peringkat paling produktif dalam hidup mereka dan penyakit ini boleh mendatangkan kesan kepada mutu kehidupan seseorang serta prestasi kerja mereka.

Penyakit ini tidak boleh dipandang ringan kerana boleh membawa kepada masalah kesihatan yang lebih serius seperti masalah sukar bernafas, pendarahan dan kecederaan pada esofagus, serta barah esofagus bagi sesetengah pesakit.

Di Malaysia, dianggarkan 50 peratus daripada jumlah penduduk dewasa mengidap sekurang-kurangnya satu masalah gastrousus. Kesilapan atau kegagalan mendiagnosis GERD boleh menyebabkan rawatan yang salah dan tidak berkesan.
Kegunaan diagnosis
Untuk membantu doktor dan pesakit mereka merapatkan jurang ini, AstraZeneca, syarikat farmaseutikal berasaskan penyelidikan yang terkemuka dunia, telah membangunkan alat mendiagnosis yang mudah serta berkesan, dipanggil GerdQ, yang boleh digunakan oleh para doktor di klinik mereka.

Dalam satu kajian tempatan yang dimulakan dan dipimpin Ketua Gastroenterologi dan Hepatologi di Universiti Malaya (UM), Profesor Datuk Dr Goh Khean Lee bersama 30 pengamal perubatan di Malaysia, GerdQ terbukti menjadi alat yang sangat mudah dan berguna untuk mendiagnosis serta menilai respons kepada rawatan GERD.

Menurut Khean Lee, ramai pesakit yang tidak menyedari bahawa mereka mempunyai simptom GERD yang boleh mendatangkan kesan serius jika tidak dirawat.

“Dengan GerdQ, lebih daripada 80 peratus doktor berkata bahawa alat ini boleh diharapkan dan akan dipertimbangkan bagi kegunaan diagnosis di masa hadapan,” katanya.

Menurutnya, hasil kajian yang dijalankan sangat memuaskan kerana alat tersebut membantu doktor mendiagnosis tahap GERD dengan lebih tepat lagi, dan mempreskripsikan rawatan yang terbaik untuk pesakit.

“Saya mengesyorkan pesakit dan doktor meluangkan masa beberapa minit untuk bersoal balas. Soalannya mudah sahaja tetapi keputusan yang diperoleh amat berguna dan akan membantu pesakit dan juga doktor,” katanya.

Khean Lee berkata, kekeliruan menerangkan mengenai simptom GERD dengan masalah gastroenterologi lain yang boleh membawa kepada kesilapan diagnosis. Oleh kerana simptom tidak difahami dengan jelas, ramai yang keliru simptom GERD dengan penyakit lain. Antaranya adalah simptom penyakit ringan seperti ketidakhadaman kepada simptom yang lebih serius seperti serangan jantung.

“Kajian ini menunjukkan bahawa penghidap GERD memandang ringan kesan buruk penyakit terhadap mutu kehidupan mereka dan tidak menyedari bahawa ini boleh mendatangkan kesan kesihatan jangka panjang yang serius.
Mereka hanya mendapat bantuan rawatan apabila rasa sakit dan ketidakselesaan menjadi semakin kerap, dengan hampir separuh pesakit menanggung simptom sekurang-kurangnya selama enam bulan sebelum berjumpa doktor.


NASIHAT DOKTOR

Bekas Presiden Persatuan Gastroenterologi dan Hepatologi Malaysia dan Perunding Gastroenterologi di pusat rawatan swasta, Dr Tan Huck Joo berkata, pesakit tidak perlu menanggung sakit dalam diam. Dapatkan nasihat daripada doktor supaya anda dapat mengetahui dengan lebih jelas mengenai tahap penyakit.

Menurutnya, pesakit kemudian boleh mendapat rawatan yang khusus untuk masalah GERD. Mereka menghidap GERD teruk mungkin diberikan ubat yang dikenali sebagai perencat pam proton (proton pump inhibitor - PPI) seperti esomeprazole berfungsi untuk menghalang pengeluaran asid dan pengalirannya ke esofagus.

Asid perut adalah kasar manakala lapisan esofagus pula lembut. Pesakit GERD mungkin mengalami pedih hulu hati apabila asid tertolak (refluks) ke esofagus dan jika refluks asid berterusan tanpa dirawat, boleh menyebabkan kerosakan tisu pada lapisan esofagus.

Keadaan boleh menjadi serius dipanggil hakisan esofagitis, tetapi dengan rawatan yang berkesan hakisan ini boleh sembuh. Jika dibiarkan tanpa rawatan, risiko barah esofagus dan esofagus Barrett (perubahan pada lapisan esofagus yang boleh mendedahkan pesakit kepada keadaan malignan) akan meningkat.

Selain daripada ubat, pesakit juga boleh meringankan simptom mereka dengan mengubah gaya hidup mereka bagi mengatasi rasa sakit dan tidak selesa. Meletakkan kepala dan bahu lebih tinggi daripada badan menjadikan asid sukar dijeluak sekali gus membolehkan pesakit tidur dengan lebih lena.

Amalkan diet sihat terdiri daripada hidangan kecil dan memakan lebih kerap membantu melawan GERD. Jumlah hidangan makanan yang banyak memberi tekanan kepada perut, seterusnya menyebabkan refluks asid.

Elakkan memakan makanan penyebab GERD seperti buah-buahan sitrus, makanan berlemak, makanan yang diproses, minuman berkafein dan berkarbonat juga membantu mengurangkan simptom GERD. Pengesanan dan rawatan awal GERD boleh menambahbaikkan mutu kehidupan pesakit dengan ketara dan mengekalkan kerjaya mereka.


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.